Bagi kebanyakan wanita, kasut bukan sekadar pelindung kaki.
Ia adalah gaya, penambah keyakinan, malah cerminan kepada personaliti tersendiri.
Justeru, memilih kasut yang sesuai amat penting bagi menjadikannya benar-benar lebih daripada sekadar rupa.
Ia perlu padan dengan bentuk kaki, memberi sokongan sepanjang hari dan tahan dengan cuaca tropika yang tidak menentu.
Pengasas jenama Sunday Staples, Cherriann Wong berkata, wanita sering terperangkap dalam keinginan memilih kasut memukau pada pandangan pertama, sedangkan yang paling penting ialah keselesaan dalam setiap langkah.
Penampilan tidak dapat menutup hakikat kasut yang tidak selesa akhirnya tinggal tersusun dalam almari.
“Sebab itu, Sunday Staples memberi perhatian khusus kepada potongan kasut yang sesuai dengan bentuk kaki wanita Asia yang lebih lebar, rendah pada lengkungan dan memerlukan sokongan lembut di kawasan tertentu.
“Apabila kasut ‘duduk’ dengan baik pada kaki, ia bukan sahaja mengurangkan rasa sakit, malah menjadikan gaya keseluruhan tampak lebih anggun secara semula jadi,” katanya.
Bahan juga memainkan peranan penting. Di negara beriklim lembap seperti Malaysia, kasut perlu mempunyai pengudaraan yang baik dan tahan kelembapan.
Ramai tidak sedar kasut yang kurang ‘bernafas’ boleh menyebabkan kaki cepat penat, berpeluh dan tidak selesa.
“Jenama kami menggunakan bahan lembut, fleksibel dan berstruktur baik termasuk fabrik linen kalis air agar pemakai bebas bergerak sama ada pada hari panas terik atau hujan.
“Kualiti jahitan dan binaannya pula memastikan kasut boleh dipakai lama, bukan sekadar beberapa bulan,” ujarnya.

REKAAN, PERSONALITI
Namun, soal reka bentuk tetap menjadi daya penarik utama bagi kebanyakan wanita.
Wanita yang lebih ringkas biasanya memilih tona neutral dan rekaan minimalis, manakala mereka yang berjiwa ekspresif gemar memilih warna-warna berani atau tekstur unik.
Ada juga yang mengekspresikan mood dan karakter melalui kasut.
Misalnya, wanita berwibawa yang melangkah yakin dengan kasut bertumit struktur kukuh atau seorang yang berjiwa santai memilih sandal empuk yang memanjakan kaki sepanjang hari.
“Wanita moden hari ini memerlukan kasut yang mampu bergerak seiring gaya hidup fleksibel mereka.
“Dari pejabat ke hujung minggu, mesyuarat ke janji temu makan malam, kasut ideal mestilah seimbang antara gaya dan fungsi,” katanya.
Kesilapan paling kerap dilakukan wanita ketika membeli kasut ialah memilih kasut cantik tetapi hanya sesuai dipakai untuk beberapa jam.
Ada yang membeli untuk ‘suatu hari nanti’, lalu menyimpannya terlalu lama sehingga gam mula mengeras, menjadikan kasut mudah rosak walaupun belum dipakai.
Kasut juga perlu ‘hidup’, ia harus dipakai dari semasa ke semasa supaya tahan lama.
Bagi wanita yang ingin melabur dalam kasut berkualiti, Cherriann menyarankan pemilihan rekaan yang tidak lapuk dek zaman dan mudah dipadankan dengan pelbagai gaya.
Warna neutral meluaskan potensi gaya, manakala ketelitian pada aspek seperti padding, lining dan struktur menjadikan kasut bukan sahaja indah dipandang, tetapi memberi keselesaan bertahun-tahun.
Sepasang kasut sempurna bukan diukur pada rupa semata-mata, sebaliknya keseimbangan harmoni antara keselesaan, rekaan dan keyakinan.
Kasut yang sempurna ialah apabila setiap langkah terasa begitu mudah, namun tetap memberi rasa bangga dan berdaya.
Kasut juga mampu meningkatkan keyakinan seorang wanita.
Apabila kaki terasa selesa, tubuh secara semula jadi membawa diri dengan lebih tegap.
Langkah menjadi lebih lancar, gerak terasa lebih yakin dan aura keseluruhan berubah tanpa disedari.
Beranilah bereksperimen sama ada dengan tekstur renda, warna berani seperti merah wain, kuning mentega atau rekaan bertali halus yang memberi sisi romantik.
Kasut yang tepat mampu mengubah keseluruhan aura seseorang wanita, menjadikan langkahnya lebih yakin, geraknya lebih indah dan penampilannya lebih bersahaja tetapi memikat.
Kasut bukan sekadar aksesori. Ia adalah keyakinan yang anda sarungkan setiap kali melangkah keluar.










