DAHULU televisyen menjadi sumber hiburan di setiap ruang tamu, tetapi kini trend itu berubah apabila semakin ramai pengguna beralih kepada projektor.
Apatah lagi, saiznya yang kompak sekali gus memudahkan untuk menonton rancangan kegemaran dan kandungan media sosial, bermain permainan video mahupun membuat pembentangan kerja.
Justeru, tidak hairanlah peranti ini sering dibawa ke mana-mana sebagai pilihan ideal untuk hiburan dan produktiviti.
Terbaharu, syarikat syarikat inovasi global dalam hiburan ultra mudah alih, Aurzen memperkenalkan projektor trilipatan pertama dunia, Aurzen Zip.
Rekaannya menarik dengan saiz 84 x 78 x 26 milimeter manakala berat hanya 280 gram.
Walaupun bersaiz poket, namun ia mampu memancarkan imej berkualiti pawagam sehingga 100 inci.
Lebih istimewa, peranti ini tidak memerlukan sambungan WiFi selain turut dilengkapi ciri autofokus sifar sela masa.
Fungsi ini membolehkan projektor mudah alih tersebut melaraskan fokus dan pembetulan keystone secara automatik sebanyak 30 kali sesaat.
Dari segi bateri pula, kapasiti 5,000mAh itu mampu membekalkan kuasa sehingga 1.5 jam tempoh tontonan dan menyokong pengecasan pantas 24W PD melalui USB-C.
Semua kelebihan ini menjadikan Aurzen Zip yang berharga RM1,899 ini sesuai digunakan seisi keluarga di rumah dan untuk aktiviti perkhemahan.









