Kerap berhubungan intim kurang risiko kanser prostat?

Kerap berhubungan intim kurang risiko kanser prostat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia kesihatan lelaki, kanser prostat sering menjadi topik yang dipenuhi persoalan, mitos dan andaian.

Ada yang percaya seks kerap boleh mencegah kanser prostat, ada yang risau diet moden menjadi punca dan ada juga yang takut rawatan kanser boleh menjejaskan kejantanan.

Pakar Urologi Ampang Puteri Specialist Hospital, Dr. Tam Wei Lun berkata, ada kajian menunjukkan frekuensi ejakulasi yang tinggi mungkin memberi kesan perlindungan terhadap risiko kanser prostat berisiko rendah.

Malah, kajian besar Harvard yang diterbitkan dalam jurnal JAMA pada 2016 mendapati lelaki yang mempunyai 21 kali ejakulasi sebulan mempunyai risiko lebih rendah berbanding yang kurang daripada tujuh kali.

Begitupun, katanya, ia bukan lesen untuk menganggap hubungan intim sebagai strategi pencegahan utama.

“Kaedah ini semata-mata tidak boleh dijadikan suatu strategi pencegahan kanser prostat kerana banyak faktor lain yang tidak diambil kira dalam kajian ini. Malah, ia berbentuk pemerhatian,” katanya baru-baru ini.

Prostat ialah kelenjar bersaiz sebesar kacang walnut yang terletak di bawah pundi kencing dan di hadapan rektum.

Fungsi utamanya menghasilkan cecair mani yang membantu menyuburkan dan membawa sperma.

Walaupun kecil, prostat memainkan peranan penting terhadap kesihatan lelaki apabila meningkat usia.

MAKANAN TINGGI LEMAK TEPU TINGKAT RISIKO
Menurut Wei Lun, kepercayaan mengenai makanan segera dan diet tinggi lemak boleh meningkatkan risiko kanser prostat ada asasnya.

Garis panduan Persatuan Urologi Eropah (EAU) menyatakan diet tinggi lemak tepu, daging merah diproses dan makanan bergoreng memang dikaitkan dengan kanser prostat yang lebih agresif.

Begitu juga lelaki yang obes atau mengalami sindrom metabolik mempunyai risiko lebih tinggi.

Sebaliknya, diet Mediterranean yang kaya dengan buah-buahan, sayur, ikan, bijirin penuh dan minyak zaitun menunjukkan kesan perlindungan.

Namun, seperti isu lain dalam kanser prostat, bukti masih bersifat pemerhatian dan belum kukuh sebagai sebab langsung.

Tambahnya, sayuran seperti tomato dapat membantu kesihatan prostat.

Kandungan lycopene dalam tomato dikaitkan dengan kesan perlindungan sederhana.

Soya pula mengandungi isoflavone yang mempunyai kesan anti-karsinogenik dan berpotensi mengurangkan risiko kanser, namun bukti masih tidak konklusif.

Kajian Italian PREVENT study mendapati teh hijau mengurangkan kebarangkalian lelaki yang mempunyai high-grade prostatic intraepithelial neoplasia daripada terjadinya kanser prostat.

“Anti-oksidan dan mengawal replikasi sel prostat dipercayai merupakan mekanisme yang mendatangkan kesan pencegahan.

“Teh hijau dikatakan berpotensi membawa manfaat pencegahan tetapi masih tiada cukup bukti kajian yang boleh menjadikan ia satu saranan kuat.

“Kajian-kajian ini secara lazimnya melibatkan bilangan sampel yang terlalu kecil, dos jangka pendek atau formulasi tidak konsisten,” jelasnya.

Selain itu, kanser prostat lebih kerap berlaku selepas usia 50 tahun dan risikonya meningkat seiring usia.

“Umur ialah salah satu risiko utama, tetapi bukan satu-satunya.

“Faktor keturunan seperti mutasi gen BRCA1 dan BRCA2 atau sejarah keluarga terdekat yang menghidap penyakit tersebut turut meningkatkan risiko pada umur lebih muda,” katanya.

Tambahnya, risiko juga berbeza mengikut etnik, dengan lelaki Cina mencatatkan kadar paling tinggi berbanding Melayu dan India.

“Kita tidak boleh halang penuaan atau genetik. Tetapi kita boleh melambatkan risiko melalui gaya hidup sihat.

“Jaga berat badan ideal, senaman tetap, diet kaya omega dan lycopene serta berhenti merokok,” sarannya.

 

RAWATAN, KEBIMBANGAN TERHADAP KEJANTANAN
Di Malaysia, kanser prostat merupakan kanser ketiga paling kerap dihidapi oleh lelaki, merangkumi kira-kira 9.5 peratus daripada keseluruhan kes kanser lelaki pada tahun 2022.

Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan (2017-2021), risiko seumur hidup untuk menghidap kanser prostat dalam kalangan lelaki Malaysia ialah kira-kira 1 dalam 83, namun lebih

tinggi dalam kalangan lelaki Cina (1 dalam 50), dengan umur median ketika diagnosis ialah 70 tahun.

Selain itu, kajian komuniti menunjukkan 16.3 peratus lelaki Malaysia berumur 40 tahun ke atas mengalami gejala pembesaran prostat atau Benign Prostatic Hyperplasia (BPH) (CodeBlue, 2022).

Statistik ini menunjukkan keperluan meningkatkan kesedaran dan menjalani saringan awal terutamanya bagi lelaki berumur lebih 40 tahun atau yang mempunyai sejarah keluarga penyakit prostat.

Pengesanan awal penting memastikan kesihatan prostat terjaga.

Kaedah saringan seperti ujian darah Prostate-Specific Antigen (PSA) dan pemeriksaan rektum digital (DRE) menjadi amalan standard di seluruh dunia.

Ujian PSA menilai paras protein tertentu yang mungkin meningkat akibat kanser, keradangan atau pembesaran prostat, manakala DRE membolehkan doktor menilai struktur dan kekerasan tisu prostat bagi mengesan ketulan atau perubahan tidak normal.

Wei Lun berkata, lelaki berumur 50 tahun ke atas atau individu seawal usia 45 tahun yang mempunyai sejarah keluarga kuat sangat digalakkan menjalani saringan tahunan.

“Kadar kelangsungan hidup lima tahun boleh mencapai sehingga 98 peratus jika kanser dikesan awal berbanding kurang daripada 30 peratus jika dikesan pada peringkat lewat.

“Rawatan masalah prostat pula berbeza mengikut diagnosis. BPH ringan biasanya dapat dikawal melalui perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan,” katanya.

Namun, bagi kes lebih serius yang menyebabkan komplikasi seperti jangkitan saluran kencing berulang, pembentukan batu pundi kencing atau kerosakan buah pinggang, pembedahan mungkin diperlukan.

Berita baiknya, kemajuan teknologi perubatan membolehkan kebanyakan prosedur dilakukan secara kurang invasif melalui teknik endourologi tanpa memerlukan potongan kulit.

Antara prosedur moden yang digunakan termasuk Transurethral Resection of the Prostate (TURP), terapi wap air rezum dan rawatan laser yang menawarkan pemulihan lebih cepat serta risiko komplikasi lebih rendah.

Jika pesakit disahkan menghidap kanser prostat, rawatan akan disesuaikan mengikut peringkat penyakit dan keadaan keseluruhan pesakit.

Ada pesakit yang memerlukan pembedahan atau radioterapi, manakala pesakit berisiko rendah mungkin hanya memerlukan pemantauan rapi melalui pendekatan pemantauan aktif, tanpa rawatan agresif.

Pendekatan ini sesuai bagi pesakit yang ingin mengelakkan kesan sampingan rawatan tetapi masih berada dalam kawalan klinikal yang selamat.

Namun, masih wujud kebimbangan sama ada rawatan kanser prostat boleh menjejaskan kejantanan.

Wei Lun tidak menafikan risiko tersebut, kerana rawatan seperti pembedahan radikal atau radioterapi boleh menjejaskan keupayaan ereksi dan fungsi ejakulasi.

Namun katanya, teknologi perubatan kini jauh lebih maju.

Teknik pembedahan nerve-sparing, misalnya, direka khusus untuk melindungi saraf yang mengawal fungsi seksual.

Selain itu, ubat moden seperti PDE5 inhibitors, termasuk sildenafil membantu ramai pesakit memulihkan fungsi seksual selepas rawatan.

“Pemantauan aktif secara berkala tanpa rawatan seperti pembedahan atau radioterapi juga boleh dipilih bagi pesakit kanser risiko rendah untuk mengelak kesan sampingan akibat pembedahan atau radioterapi,” ujarnya.

Kesimpulannya, dengan peningkatan usia, perubahan hormon, faktor keturunan dan gaya hidup moden, lelaki perlu lebih peka terhadap tanda-tanda awal dan pentingnya saringan berkala.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN