GERAK tangannya lincah diiringi pernafasan yang jelas ketika memimpin lagu Carmen Suite No 1. (excerpts) dalam konsert The Symphony of Friendship di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini.
Teknik ‘bahasa senyap’ yang digunakan konduktor dan pengarah artistik, Quek Ling Kiong itu penting bagi membantu pemuzik orang kurang upaya (OKU) mengikuti isyarat dengan tepat.
Kira-kira separuh daripada 200 pemuzik orkestra yang dipimpinnya itu terdiri daripada individu autistik, ketidakupayaan intelektual serta cacat penglihatan dan pendengaran.
Menurut Ling Kiong, melatih pemuzik OKU sememangnya mencabar kerana masing-masing mempunyai keperluan dan cara pembelajaran berbeza.
Namun, cabaran itu dapat diatasi menerusi komunikasi berkesan, arahan visual jelas dan bimbingan fizikal tepat.
Selain gerak tangan dan kawalan pernafasan, dia turut mengamalkan teknik penyampaian arahan yang lebih spesifik kepada para pemuzik.
“Sebagai contoh, saya maklumkan lebih awal yang sesuatu bahagian perlu diulang sebanyak tiga kali dan selepas itu, saya perlu berhenti seketika atau terus beralih ke bahagian lain.
“Pengulangan terlalu banyak boleh menyebabkan segelintir pemuzik autistik berasa tidak selesa dan menunjukkan reaksi emosi.
“Teknik lain yang saya gunakan ialah menulis arahan pada kertas,” katanya.

Kerja kerasnya membimbing The Purple Symphony sejak 11 tahun lalu membolehkan orkestra inklusif terbesar Singapura itu membuat persembahan di pelbagai acara.
Persembahan sulung mereka di Kuala Lumpur bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) baru-baru ini dianjurkan oleh Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dengan kerjasama Temasek Foundation.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenaan menyaksikan persembahan itu.
Yang hadir sama, Pengerusi Temasek Trust, Datin Paduka Ho Ching, Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishamuddin Abd. Rahim dan Datuk Bandar Majlis Pembangunan Masyarakat
Singapura Tengah merangkap Penasihat The Purple Symphony, Denise Phua.

LEBIH YAKIN, BERANI
Penyertaan dalam orkestra itu bukan sahaja membina keyakinan para pemuzik istimewa, malah turut menjadikan mereka lebih berani.
Ling Kiong bangga melihat anak didiknya mampu mengekalkan hubungan mata semasa berinteraksi.
“Perlahan-lahan, saya dapat melihat perubahan sikap mereka dan kini, jika saya mahu ulangi bahagian latihan pada bila-bila masa sekalipun, tiada masalah kerana kebanyakannya sudah dapat memahami arahan,” katanya

MISI KEMBANG BAKAT, POTENSI
Sementara itu, Hishamuddin berkata, misi YRZSNJ adalah untuk membina jambatan antara komuniti melalui pendidikan dan seni.
Pihaknya percaya setiap individu, tanpa mengira latar belakang atau keadaan diri, mempunyai potensi untuk menyumbang kepada masyarakat.
“Melalui konsert seperti ini, kami berharap dapat memupuk rasa hormat, persefahaman dan empati dalam kalangan semua komuniti.
“Kami amat terinspirasi dengan komitmen The Purple Symphony terhadap inklusiviti sekali gus mendidik kita yang muzik seperti kehidupan, ia akan lebih harmoni apabila setiap orang diberi ruang untuk menyumbangkan bakat serta potensi masing-masing.
“Kami komited untuk terus belajar daripada model ini dalam usaha membina komuniti yang lebih inklusif dan berdaya di Johor,” katanya.
Bagi Denise, persembahan di Kuala Lumpur ini amat istimewa selepas penampilan pertama dalam Symphony of Friendship di Johor Bahru pada 2023.
“Apatah lagi konsert ini meraikan inklusiviti, perpaduan dan keyakinan yang setiap individu mampu bersinar apabila diberikan peluang,” katanya.









