Bentuk organik dan struktur rapuh rangka penyu di Pulau Sipadan, Sabah dijadikan inspirasi untuk menghasilkan siluet tiga dimensi (3D) yang memikat pada busana.
Ia jelas dilihat pada bahagian lengan yang menampilkan bentuk tulang belakang reptilia marin itu.
Bagi rekaan kedua pula, pereka muda, Mohamad Daniel Rosli menghasilkan siluet bentuk sama di bahagian belakang koleksinya.
“Untuk rekaan ketiga, saya memilih menggunakan tulang jari penyu diikuti keempat, tulang ekor dan cengkerangnya.
“Inspirasi ini tercetus semasa saya meneroka Pulau Sipadan dan menemukan Gua Penyu yang menyimpan begitu banyak rangka haiwan tersebut.
“Pengalaman itu saya terjemahkan menerusi koleksi ini bagi melambangkan perjuangan hidup, bahaya tersembunyi di bawah lautan dan keindahan samudera tenang,” katanya.
Penghasilan koleksi itu tidak mudah kerana banyak cabaran yang dihadapi sama ada dari segi teknikal atau kreatif.
Antara yang terbesar adalah untuk meniru tekstur permukaan kasar gua dan bentuk mikroorganisme halus.
Justeru, dia terpaksa bereksperimen dengan pelbagai teknik, bahan dan kaedah lapisan untuk mencapai tekstur kedalaman serta kerumitan persekitaran gua bawah air.

Pemilihan fabrik
Bukan mudah untuk Mohamad Daniel memilih fabrik bersesuaian yang boleh menyimpan tekstur, struktur dan mencerminkan inspirasi semula jadi.
“Sebagai contoh, untuk rekaan ketiga saya menggunakan PVC dan fabrik lembut yang bersih bagi menghasilkan ilusi ketelusan, sekali gus membolehkan struktur rangka di bawahnya terserlah.
“Reka bentuk ini memerlukan lebih 180 panel individu bagi membentuk tulang dengan tepat, namun usaha itu benar-benar berbaloi,” katanya.
Keunikan koleksinya membolehkan graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini meraih Anugerah Perak semasa pertunjukan fesyen baru-baru ini.
Harapannya agar koleksi itu dapat menjadi karya seni yang mengajak masyarakat bersuara tentang dunia yang sering dilupakan di dasar laut.










