Warna pastel sering menjadi pilihan fesyen sopan kerana mampu menampilkan kelembutan dan aura anggun wanita.
Rona lembut ini bukan sahaja menenangkan pandangan, malah menyerlahkan personaliti seseorang secara semula jadi dan tanpa berlebihan.
Pendekatan itu turut menjadi pegangan dua pengasas serta pereka bersama jenama Maglifestyle, Wong Yen Lee dan Wong Shiau Lee menerusi Serenity Blooms.
Koleksi musim bunga dan panas 2026 itu menampilkan merah jambu pucat, ungu, hijau seafoam serta kuning mentega.
Yen Lee berkata, rona pastel menyuntik nafas segar dalam fesyen sopan sekali gus menjadikan penampilan wanita memikat dan menawan.
“Dengan Serenity Blooms, kami mahu memberi wanita ruang untuk merasai kelembutan dan kekuatan dalam satu masa melalui gaya yang sopan tetapi tetap anggun.
“Penggunaan fabrik premium seperti double georgette, broked, mesh dan kapas menambahkan lagi keselesaan kepada si pemakai.
“Apatah lagi, setiap helaian direka dengan fokus pada siluet memikat, fungsi praktikal dan nilai jangka panjang bagi memenuhi keperluan wanita moden,” katanya selepas pertunjukan fesyen, Fashionably Modest Asia baru-baru ini.
Sebanyak 23 helaian indah ditampilkan dalam koleksi sopan pertama Maglifestyle itu.
Antaranya, set jaket dan palazo broked beserta skaf di samping blazer kuning bermanik dan skirt.
Koleksi ini disempurnakan dengan hijab sifon pastel serta skaf inner yang digayakan untuk keperluan harian.
Sementara itu, Shiau Lee berkata, fesyen sopan membolehkan wanita mengekspresikan keunikan diri tanpa perlu mengorbankan keselesaan.
Katanya, koleksi itu dicipta untuk mengangkat keyakinan wanita melalui rekaan yang ringan, lembut dan mudah digayakan.-UTUSAN









