Melayan pelanggan dengan penuh keikhlasan dan kejujuran antara tunjang kekuatan dalam usaha membina kepercayaan serta mengekalkan reputasi sebagai penyedia perkhidmatan pelancongan.
Malah, setiap yang berurusan dengan pihak syarikat dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga bagi memastikan layanan sempurna dapat diberikan walaupun hanya sekadar mendapatkan maklumat semata-mata.
Itu kunci kejayaan bagi penyedia perkhidmatan pelancongan Sanwa Tours (M) Sdn. Bhd. yang menerima anugerah Promising Business Excellence in Travel & Tour Services Award di Bumiputera Business Excellence Awards (BBEA) 2025 baru-baru ini.
Pengarah Urusannya, Zaid Sambit berkata, anugerah yang diterima itu sekali gus menjadi pendorong dan penguat semangat kepada kakitangan untuk mengekalkan piawaian serta kualiti dalam aspek perkhidmatan pelanggan.
Selain itu, katanya, anugerah tersebut menjadi pemangkin semangat bagi Sanwa Tours untuk terus bekerja keras pada masa akan datang.
“Kami percaya kualiti perkhidmatan tidak ditentukan oleh saiz, tetapi keikhlasan, konsistensi dan keinginan sebenar untuk membantu pelancong menikmati perjalanan dengan tenang,” katanya.
Beliau berharap kejayaan itu menjadi perangsang kepada semua kakitangan untuk mengukuhkan kredibiliti syarikat dalam kalangan pemain industri, meningkatkan keyakinan pelanggan dan membuka peluang baharu untuk pertumbuhan.









