Kimci merupakan hidangan yang cukup popular di Korea Selatan dan dijadikan sebagai salah satu simbol ikonik sebagaimana makanan dari negara ini.
Malah, ia turut menjadi lambang sejarah, budaya, kesihatan dan teknik fermentasi yang diwarisi turun-temurun.
Bagi mengetengahkan menu ini, Festival Kimci Korea 2025 kini diadakan di K-Plus Food Market, The Curve dari 8 hingga 16 November.
Pengerusi KMT Group of Companies, Datuk Matthew Lee berkata, pihaknya berbangga dapat membawa hidangan kebanggaan Korea untuk dikongsikan kepada rakyat Malaysia.
Dalam edisi kali ketiga ini, pelbagai jenis kimci dan hidangan Korea ditampilkan kepada pengunjung.
“Istimewanya, kami turut menjemput pakar kimci yang didatangkan khas dari negara itu untuk berkongsi teknik dan cara pembuatannya secara tradisional,” katanya.
Acara anjuran Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corporation (aT Center) di bawah Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea (Mafra) dengan kerjasama KMT Food & Beverage Sdn. Bhd. itu bertujuan mengukuhkan hubungan budaya serta kulinari antara Korea dan Malaysia.
Dalam masa sama, ia dapat memperkenalkan keaslian dan manfaat kesihatan hidangan tradisional yang kian mendapat tempat di hati rakyat tempatan.
Sementara itu, Pengarah aT Center Kuala Lumpur, Chang Chung Ho berkata, industri halal dunia semakin berkembang, malah Korea turut menjadi sebahagian daripada usaha mendapatkan pengiktirafan sijil halal bagi menembusi pasaran halal Malaysia dan global.
“Semua produk makanan yang dibawa ke festival ini disahkan halal untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam di negara ini.
“Malah sehingga kini, kami juga mempunyai badan pengiktirafan halal Korea untuk memastikan produk makanan yang dibawa ke Malaysia halal dan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jakim,” jelasnya.










