Penyelidik Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Dr. Keeren Sundara Rajoo memperkenalkan amalan tradisional ‘mandi embun’ sebagai terapi berasaskan alam pada forum antarabangsa Forests for Health, Happiness and Well-being di Korea Selatan.
Forum itu menghimpunkan peserta dari lebih 30 negara seperti Presiden Korea Forest Therapy Forum, Prof. Shin Won-Seop.
Dr. Keeren yang juga Ketua Makmal Biodiversiti Borneo, Institut EkoSains Borneo (IEB) berkata, amalan mandi embun mencerminkan kefahaman awal masyarakat terdahulu terhadap manfaat fizikal dan mental hasil interaksi dengan alam, selari dengan prinsip saintifik terapi hutan masa kini.
“Hutan kita sejak dahulu menjadi tempat penyembuhan jasmani, emosi dan rohani.
“Dengan menimba pengalaman daripada kejayaan Korea Selatan dalam memperkukuh terapi hutan, kita mampu membentuk model tersendiri yang meraikan biodiversiti serta warisan budaya Malaysia sambil meningkatkan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Tambahnya, model terapi hutan di Korea Selatan merupakan antara yang paling mapan di dunia dengan sokongan institusi dan penglibatan komuniti yang kukuh.
“Saya berhasrat menyesuaikan pengalaman ini dengan konteks Malaysia yang kaya dengan landskap tropika, warisan tradisi dan nilai komuniti,” katanya.
Dalam forum tersebut, beliau turut memperkenalkan buku terbaharunya berjudul Terapi Hutan dalam Konteks Malaysia, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Buku itu menyorot amalan penyembuhan tradisional berasaskan alam semula jadi di Malaysia serta kaitannya dengan konsep terapi hutan moden, termasuk amalan mandi embun, iaitu aktiviti menikmati embun pagi di hutan sebagai rawatan semula jadi yang dikatakan turut diamalkan oleh pahlawan Melayu legenda, Mat Kilau,” katanya.
Selain itu, penyertaannya disokong melalui Projek Glocal University 30, hasil kerjasama penyelidikan antara UPM dan Universiti Kebangsaan Chungbuk, Korea Selatan, di bawah inisiatif Kementerian Pendidikan Korea Selatan.
“Projek ini bertujuan memperkukuh peranan universiti wilayah agar lebih berdaya saing di peringkat global melalui kolaborasi strategik dan perkongsian kepakaran antarabangsa,” katanya.










