Ketika membahaskan isu berkaitan kubur, akan timbul dakwaan melaksanakan solat dan berdoa di sisi kubur dilarang oleh syarak.
Ini atas alasan Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Allah telah melaknat orang Yahudi dan Nasrani. Mereka telah menjadikan kubur-kubur para Nabi mereka sebagai masjid”.
Semasa belajar di Mesir, saya mempunyai beberapa sahabat yang terkesan dengan aliran Salafi dan melarang saya melaksanakan solat di masjid-masjid yang ada di dalamnya kubur orang soleh seperti Masjid al-Badawiyy di Tanta dan Masjid Saidina Husain di Kaherah.
Oleh kerana hadis ini menjadi sandaran mereka untuk melarang orang Islam melaksanakan solat di dalam masjid yang mempunyai kubur, maka perlu dibahaskan secara cermat maksud yang diinginkan di dalam hadis ini.
MAKSUD SEBENAR MENJADIKAN KUBUR SEBAGAI MASJID
Al-Sayyid Abdullah bin Muhammad al-Siddiq al-Ghumariyy di dalam kitabnya yang berjudul I‘lam al-Roki‘ al-Sajid menyatakan maksud menjadikan kubur sebagai masjid mempunyai dua pengertian.
Pertama, sujud di atas kubur. Kedua, menyembah kubur (melaksanakan solat dengan menghadap ke arah kubur).
Seterusnya beliau menyatakan ada golongan yang memahami maksud menjadikan kubur sebagai masjid adalah membina masjid yang merangkumi kubur. Namun, makna ketiga ini salah.
Almarhum Dr. Umar Abdullah al-Kamil di dalam kitab al-Insof Fi Ma Uthiro Hawlahu al-Khilaf telah menukilkan kenyataan daripada kitab Sulh al-Ikhwan masjid bermaksud lokasi sujud seperti yang difahami di dalam bahasa Arab.
Maka, orang yang dilaknat di dalam hadis yang bermaksud: “Allah telah melaknat orang Yahudi dan Nasrani. Mereka telah menjadikan kubur-kubur para Nabi mereka sebagai masjid” adalah orang yang sujud di atas kubur menjadikan kubur sebagai lokasi sujud.
Adapun orang yang melaksanakan solat di tepi kubur dan dia sujud di atas tanah yang bukan kuburan dalam keadaan dia berada jauh dengan kubur atau ada penghadang di antara dia dengan kubur, maka dia tidaklah dilaknat oleh Allah SWT.
Bagaimana dia akan dilaknat sedangkan Allah di dalam Surah al-Kahfi ayat ke-21 menceritakan kisah orang-orang beriman pada zaman Ashabul Kahfi yang mencadangkan agar sebuah masjid dibina di kubur Ashabul Kahfi.
AL-IMAM AL-NAWAWI MENJELASKAN HUKUM SOLAT DI KUBUR
Al-Imam al-Syiroziyy di dalam kitabnya yang dikenali dengan al-Muhazzab berkata: “Seseorang tidak boleh melaksanakan solat di kubur kerana hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Sa‘id sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: Bumi semuanya adalah masjid kecuali kubur dan bilik air”.
Lalu, al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu‘ telah menghuraikan kenyataan al-Imam al-Syiroziyy dengan menyatakan isi-isi berikut:
Pertama: Sekiranya kubur pernah dikorek agar mayat baharu dikebumikan di liang kubur mayat yang lama, maka solat yang dilakukan di atas tanah kubur tersebut tidak sah tanpa sebarang khilaf sekiranya orang yang melaksanakan solat tersebut tidak membentangkan sesuatu sebagai sejadahnya.
Namun, sekiranya kubur tersebut tidak pernah dikorek semula, maka solat di kubur tersebut sah namun tindakan melaksanakan solat di atas tanah kubur adalah makruh.
Adapun sekiranya kita tidak pasti adakah kubur itu pernah dikorek atau belum pernah dikorek, maka ada dua pandangan. Pandangan yang paling kuat adalah solat tersebut sah tetapi makruh.
Pandangan kedua pula solat tersebut tidak sah.
Kedua: Para Ashab (ulama besar di dalam mazhab al-Imam al-Syafie) menyatakan melaksanakan solat dengan menghadap kubur adalah makruh.
Lalu, al-Imam al-Nawawi menyatakan kalaulah dikatakan solat menghadap kubur adalah haram berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Marthad bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kalian duduk di atas kubur dan janganlah kalian melaksanakan solat ke arahnya”, itu tidaklah dianggap jauh (daripada kebenaran).
Lalu, al-Imam al-Nawawi mendatangkan pandangan pengarang kitab al-Tatimmah yang berkata: “Adapun solat di sisi kepala kubur Rasulullah SAW dalam keadaan mengadap ke arahnya, maka ia adalah haram”.
Ketiga: Al-Imam al-Nawawi turut mendatangkan pandangan selain pandangan mazhab al-Imam al- Syafie terhadap hukum melaksanakan solat di kubur seperti berikut:
Al-Imam Malik mempunyai dua pandangan. Namun, pandangan beliau yang lebih masyhur adalah solat di kubur tidak makruh selagi tidak diketahui yang kubur itu pernah dikorek semula.
Al-Imam Ahmad berpandangan solat di kubur haram.
Diriwayatkan Daud al-Zohiriyy berpandangan solat di kubur sah sekalipun kubur itu pernah dikorek.
SEBAB MAKRUH MELAKSANAKAN SOLAT MENGHADAP KUBUR
Al-Imam al-Bijirmiyy di dalam kitab Tuhfah al-Habib ‘Ala Sharh al-Khotib menjelaskan solat menghadap kubur atau ditepi kubur atau di atas kubur makruh kerana seseorang dimakruhkan melaksanakan solat dalam keadaan setentang dengan najis.
Ini kerana mayat setelah hancur akan menajiskan tanah.
Namun, kita sudah tidak lagi dimakruhkan solat di kawasan perkuburan sekiranya sudah tidak lagi setentang dengan lokasi mayat seperti seseorang yang solat di kubur namun sudah berada jauh dari lokasi kubur mayat.
Menurut al-Imam al-Bijirmiyy, pemakruhan solat setentang dengan kubur sudah tidak lagi berlaku sekiranya kubur tersebut kubur para nabi dan para syuhada peperangan.
Al-Imam al-Bijirmiyy turut menyatakan larangan di dalam hadis yang bermaksud: “Allah telah melaknat orang Yahudi dan Nasrani. Mereka telah menjadikan kubur-kubur para nabi mereka sebagai masjid” ditujukan kepada orang yang melaksanakan solat ke arah kubur untuk mengambil keberkatan atau sebab selainnya.
HUKUM MEMBINA MASJID YANG MELIPUTI KUBUR DI SISI PANDANGAN AL-IMAM AL-SYAFIE
Al-Imam al-Syiroziyy di dalam kitabnya yang dikenali dengan al-Muhazzab berkata: “Makruh membina masjid di atas kubur berdasarkan hadis Abu Marthad al-Ghonawiyy sesungguhnya Nabi SAW melarang solat ke arahnya.
Al-Syafie berkata yang bermaksud: Saya tidak suka seseorang makhluk diagungkan sehingga dijadikan kuburnya sebagai masjid kerana takut akan menjadi fitnah buatnya dan orang yang datang selepasnya.”
Lalu al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu‘ menghuraikan kenyataan al-Imam al-Syiroziyy dengan menyatakan teks al-Imam al-Syafie dan para Ashab (ulama besar di dalam mazhab al-Imam al-Syafie) menyatakan makruh membina masjid di atas kubur.
Tidak kira sama ada mayat tersebut masyhur dengan kesalihannya atau mayat selainnya. Ini berdasarkan larangan umum oleh hadis-hadis Rasulullah SAW.
Al-Imam al-Nawawiyy turut menyatakan al-Imam al-Syafie dan para Ashab telah memakruhkan solat dengan menghadap ke arah kubur tidak kira mayat itu mayat orang soleh atau tidak.
Bahkan al-Imam al-Nawawi turut mendatangkan kenyataan al-Imam Abu al-Hasan al-Za‘faroniyy yang berbunyi: “Tidak boleh melaksanakan solat ke arah kubur atau di sisi kubur kerana ingin mengambil keberkatan dengannya dan kerana mengagungkannya kerana ada hadis yang melarang perkara itu”.-UTUSAN
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










