Dari Segamat ke Jepun, Ameran bina empayar kereta terpakai

Dari Segamat ke Jepun, Ameran bina empayar kereta terpakai

bermula dengan khemah kecil, Ameran Ismail kini menerajui legasi Ameran Motor Sdn. Bhd.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perasaan cemburu melihat kejayaan dicapai bangsa lain dalam bidang perniagaan mendorong seorang anak peneroka dari Felda Sungai Kelamah, Negeri Sembilan menceburkan diri dalam bidang perniagaan kereta terpakai walaupun telah berkhidmat sebagai seorang anggota polis pada tahun 1991.

Datuk Ameran Ismail, 64, yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu membuat keputusan berani dengan meninggalkan kerjaya dalam badan beruniform tersebut setelah menabur bakti selama 10 tahun di Sabah dan Johor untuk menjadi peniaga kereta terpakai Melayu pertama di Segamat.

Bagaimanapun, perjalanannya sebagai seorang usahawan berjaya sehingga dianugerahkan pangkat Datuk pada tahun 2023 tidak datang secara bergolek, sebaliknya dipenuhi pelbagai cabaran termasuk pandangan sinis masyarakat ketika itu.

Bukan sahaja terhadap usahawan Melayu tetapi juga sebagai anak seorang peneroka felda.

“Setelah berkhidmat sebagai anggota polis selama kira-kira 10 tahun, saya tergerak hati untuk menceburi bidang perniagaan. Berbekalkan minat terhadap industri automotif serta wang modal permulaan perniagaan berjumlah RM18,000 yang diperoleh selepas melakukan pembiayaan semula kereta sendiri, saya ceburi bidang ini pada tahun 1991.

“Ya, saya akui perasaan cemburu terhadap kejayaan bangsa lain dalam bidang perniagaan antara punca utama menyebabkan saya mahu mencontohi kejayaan mereka. Rasa cemburu ini bukan didorong sikap rasis atau kebencian sebaliknya mahu membuktikan orang Melayu dan anak peneroka juga mampu berjaya.

“Buktinya, saya bekerja dengan sebuah syarikat kereta terpakai milik seorang rakan berbangsa Cina selama beberapa tahun untuk mempelajari selok-belok perniagaan ini. Akhirnya, pada tahun 1996 saya mengorak langkah seterusnya dengan membuka syarikat sendiri iaitu Ameran Motor Sdn. Bhd.,” katanya.

Antara kereta terpakai yang dijualnya ketika itu termasuklah Ford Laser, Mitsubishi Galant Sigma termasuk jenama Proton yang mendapat sambutan hangat orang ramai ketika itu.

“Walaupun keuntungan menjual sebuah kereta terpakai ketika itu hanya sekitar RM200 hingga RM300, saya yakin mampu membangunkan perniagaan ini. Tidak pernah ada rasa ragu-ragu ketika itu kerana saya telah nekad berhenti kerja bagi menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Ibu bapa juga menyokong keputusan saya.

“Alhamdulillah, saya diberi kepercayaan pihak bank untuk mendapatkan pinjaman bagi memperluas perniagaan ini sehingga terpilih sebagai salah sebuah syarikat yang diberikan Approved Permit atau AP mengimport kereta terpakai dari luar negara untuk pasaran tempatan.

“Sejak itu, anak peneroka yang dahulunya memulakan perniagaan kereta import terpakai secara kecil-kecilan menggunakan lima buah khemah di tepi jalan di Segamat ini telah berkali-kali menjejakkan kaki ke Jepun bagi membina rangkaian kerjasama serta menaikkan imej Ameran Motor Sdn. Bhd. sebagai salah satu syarikat menjual kereta import terpakai utama di Malaysia,” ujarnya yang turut mempunyai seramai tujuh orang cucu.

Syarikatnya kini merupakan antara pihak yang aktif membawa masuk model kereta popular seperti Honda Civic FK8 dan FL5; Lexus; Mercedes; Toyota Alphard; Vellfire serta pelbagai lagi.

“Kenderaan seperti ini memiliki golongan peminat tersendiri dan jenama kami sudah dikenali kerana membawa masuk hanya kereta dengan kualiti dan gred tertinggi. Purata jualan bulanan antara 30 hingga 40 buah kereta dengan pelanggan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk usahawan, artis, kakitangan kerajaan, peneroka felda dan lain-lain.

“Ketika ini, perniagaan ini diurus sepenuhnya oleh saya bersama ahli keluarga. Saya juga bercadang membuka sebuah bengkel menyediakan pelbagai khidmat berkaitan pada masa hadapan untuk memperluas lagi perniagaan ini.

“Walaupun sudah mencapai usia warga emas, saya masih aktif bekerja dengan berada di pejabat selaku pengarah syarikat seawal pukul 9 pagi hampir setiap hari, bukan hanya sebagai bos, tetapi sebagai panduan kepada pekerja yang juga merupakan anak-anak dan menantu,” ujarnya yang gemar melihat generasi muda khususnya masyarakat Melayu menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Antara anugerah yang diterimanya termasuklah sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) bagi pertubuhan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) serta Platinum Dealer daripada Ambank selama 10 tahun berturut-turut sejak 2015.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN