Bagi penggemar buku yang mencari ‘lubuk bacaan’ tanpa perlu berbelanja besar, ruangan Santai minggu ini menawarkan lokasi-lokasi menarik untuk dikunjungi.
Semestinya mesra bajet buat para pengunjung, terutamanya di sekitar Lembah Klang.
Perpustakaan Raja Tun Uda
Perpustakaan yang terletak di Shah Alam, Selangor ini mempunyai keluasan 203,600 kaki persegi berkonsepkan ruang ilmu yang mengharmonikan alam semula jadi dan reka bentuk moden.
Pengunjung dapat menikmati pemandangan di tepi tasik sambil membaca mahupun menyiapkan tugasan sama ada di tingkat bawah atau tingkat-tingkat atas.
Bagi yang mempunyai keluarga kecil, jangan lepaskan peluang untuk membawa anak-anak ke zon kanak-kanak interaktif.
Di zon tersebut, terdapat ruangan khas dengan reka bentuk ceria, permainan pendidikan dan pelbagai pilihan buku untuk menggalakkan si kecil mencintai ilmu sejak awal usia.
Selain itu, pengunjung juga dapat menikmati tayangan interaktif di ruang pawagam mini 6D melalui pengalaman visual dan bunyi yang mengujakan untuk menimban dengan cara yang menyeronokkan.
Malah, jika anda bersama rakan-rakan ingin membuat perbincangan tanpa ada sebarang gangguan, terdapat pelbagai pilihan bilik untuk disewa mengikut jam.
Di bahagian luar pula, terdapat kafe dan ruang rehat yang agak besar.
Sambil menikmati hidangan sedap pelbagai pilihan, ibu bapa juga dapat memantau anak-anak yang sedang bermain.
Selepas menghabiskan waktu di perpustakaan, pengunjung boleh mengambil peluang untuk bersenam di gim, berlari di sekeliling tasik sambil menikmati pemandangan hijau yang indah atau bermain golf di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah.
Perpustakaan Rumah Attap, Bangsar
Lokasi ini menampilkan suasana tempat pembacaan yang lebih santai, seolah-olah sedang berada di rumah.
Reka bentuk dalamannya persis ruang tamu kediaman yang estetik dan menarik untuk bergambar.
Bertemankan sofa selesa dan cahaya semula jadi termasuk bantal kusyen yang terdampar di atas lantai, pastinya akan membuat pengunjung khusyuk membaca tanpa menyedari waktu kian berlalu.
Walaupun kelihatan seperti perpustakaan biasa, namun, Rumah Attap mempunyai bahan bacaan dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Cina dan Melayu.
Ia memberi peluang kepada para pengunjung untuk meneroka pelbagai bidang seperti sains dan falsafah dalam pelbagai sudut pandangan.
Ruang yang dibina dalam bangunan bersejarah itu, terletak di deretan rumah kedai yang dipulihkan sekitar tahun 1950-an di kawasan Kampung Attap, Kuala Lumpur.
BookXcess RexKL
Bagi penggemar buku, berkunjung ke BookXcess RexKL dapat membuatkan anda rambang mata dan tidak kisah berbelanja banyak membeli buku.
Tempat tersebut menawarkan pelbagai kategori buku, malah ada juga ruang disediakan untuk membaca secara percuma.
Lokasi ini turut menawarkan pelbagai pilihan permainan kreatif dan barangan unik bagi pengunjung yang tidak gemar membaca.
Selain itu, rekaan bagi dalamannya agak unik, termasuk rak buku tinggi menjulang, tangga bertingkat dan gabungan dinding konkrit, membuatkan para pengunjung pasti akan mengambil masa yang lama untuk
lepak di kedai buku tersebut.
Setiap sudut di sini sesuai dijadikan sudut bergambar bagi yang gemar berkongsi detik indah di media sosial.
Lokasinya yang terletak di kawasan ChInatown Kuala Lumpur dapat memudahkan pengunjung untuk menikmati pengalaman budaya, seni lain dan makanan selepas singgah di kedai buku tersebut.-UTUSAN










