Sukan bukan hanya tentang kemenangan atau kekalahan, tetapi semangat, usaha dan detik yang penuh emosi.
Dalam kehidupan moden, sukan menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat, sama ada dimainkan secara profesional atau sekadar riadah.
Antara sukan paling digemari dan sering menjadi tumpuan jurufoto ialah bola sepak kerana aksi dan emosinya menarik untuk dirakam.
Ramai jurufoto sukan bermula tanpa kelengkapan profesional.

Mereka mungkin hanya menggunakan kamera asas atau lensa biasa dan bukan lensa telefoto yang panjang seperti 70 hingga 200 milimeter.
Walaupun tanpa peralatan canggih, jurufoto tetap mampu menghasilkan gambar hebat jika memahami teknik asas, masa tepat dan komposisi menarik.
Kelebihan seorang jurufoto sukan terletak pada kepekaan terhadap momen.
Mereka perlu tahu membaca rentak permainan serta bersedia merakam detik penting seperti tendangan, jaringan atau reaksi pemain.
Pengetahuan tentang kelajuan shutter, bukaan diafragma dan pencahayaan membantu memastikan imej yang tajam serta bertenaga.
Namun, seni foto sukan bukan sekadar tentang teknikal.

Ia merangkumi penceritaan melalui gambar yang memaparkan emosi seperti kegembiraan, kekecewaan dan semangat juang.
Jurufoto perlu berani mencari sudut unik dan sabar menunggu momen sempurna.
Kadangkala, hanya satu gambar dalam keseluruhan perlawanan mampu menggambarkan kisah yang mendalam.

Akhirnya, menjadi jurufoto sukan bukan bergantung kepada peralatan mahal, tetapi kepada mata hati dan semangat yang selari dengan para atlet.
Kamera hanyalah alat, manakala kepekaan terhadap emosi dan cerita menjadikan jurufoto sebagai pencerita visual yang merakam perjuangan manusia dalam dunia sukan penuh makna.
Pensyarah kanan Jabatan Fotografi dan Pengimejan Kreatif, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, Perak










