Perkasa wanita luar bandar, anak-anak OKU

Perkasa wanita luar bandar, anak-anak OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN Belanjawan 2026 membuka lembaran baharu buat wanita luar bandar untuk melangkah lebih jauh dalam dunia keusahawanan.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid, pendekatan itu sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kaum hawa tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Katanya, bantuan kewangan dan pembiayaan mikro sebanyak RM500 juta itu dalam masa sama dapat mengurangkan halangan modal permulaan bagi yang ingin memulakan perniagaan.

Ia merangkumi RM230 juta melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) manakala RM270 juta lagi disalurkan menerusi Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN), Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta SME Bank bagi menyokong usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Bantuan kewangan dan pembiayaan mikro mampu melonjakkan bilangan usahawan wanita khususnya di luar bandar.

“Paling penting, ia juga dapat meningkatkan literasi kewangan dan keupayaan pengurusan perniagaan dalam kalangan mereka,” katanya baru-baru ini.

Namun, menurut Kartini keberkesanan bantuan itu bergantung kepada mekanisme pelaksanaan dan aksesibiliti maklumat kepada golongan sasar.

Justeru, pemantauan berkala terhadap agensi pelaksana, saluran maklum balas terbuka kepada penerima bantuan dan kerjasama antara kementerian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita dan sektor swasta penting bagi memastikan dasar tidak hanya berkubur di atas kertas.

Walaupun fokus utama bajet ini adalah kepada pemerkasaan ekonomi dan fiskal, tetapi katanya, terdapat juga penekanan terhadap modal insan, kesihatan dan pendidikan.

Tetapi, perincian mengenai kesihatan wanita seperti reproduktif, mental ibu bekerja dan sokongan penjagaan anak masih kurang jelas dalam intipati awal bajet.

Oleh itu, besar harapannya agar belanjawan akan datang dapat memberikan tumpuan kepada empat aspek.

Aspek itu ialah keseimbangan kerja dan kehidupan; kesaksamaan gaji dan peluang kenaikan pangkat serta kesihatan mental dan fizikal wanita termasuk sokongan selepas bersalin dan menopaus.

Tidak ketinggalan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk pelajar perempuan sebagai pelaburan jangka panjang.

 

Kukuh pendidikan awal, autisme
Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Siti Noor Fauziah Abd. Rahim berkata, peruntukan RM66.2 bilion kepada sektor pendidikan adalah yang tertinggi dalam sejarah negara sekali gus menggalakkan pembinaan sistem pendidikan berasaskan nilai kemanusiaan.

Katanya, pendidikan awal perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang memastikan setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang mendapat akses pendidikan berkualiti sejak awal.

“Sebagai ahli psikologi pendidikan yang meneliti aspek perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak, saya menyambut baik pengumuman Belanjawan 2026 yang menunjukkan peningkatan hampir RM2 bilion bagi sektor pendidikan berbanding tahun sebelumnya.

“Di bawah Tekad 6: Merapatkan Kesenjangan, Mencipta Peluang, peluasan Program Chup Badui Sikulah (CBS) untuk komuniti Orang Asli amat signifikan.

“Isu keciciran pendidikan bukan hanya berpunca daripada kekangan logistik, tetapi turut dipengaruhi oleh faktor sosio-budaya dan persepsi terhadap pendidikan.

“Maka, pembangunan kurikulum kontekstual dan berasaskan budaya tempatan wajar diberi keutamaan bagi memperkukuh rasa kepunyaan dan minat belajar dalam kalangan masyarakat peribumi,” katanya.

Selain itu, pembinaan Tabika Kemas Tunas Istimewa untuk kanak-kanak autisme ringan dan peruntukan RM70 juta bagi memperkukuh literasi digital di lebih 10,000 taska dan tabika mewujudkan sistem pendidikan inklusif dan berdaya saing digital.

Namun, keberkesanannya bergantung kepada kecekapan guru mengintegrasikan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dalam pembelajaran awal.

Bagi Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Mohd. Nazrul Mohd. Amin, peluasan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) ke seluruh negara memberi sinar kepada golongan autisme yang kini mencecah 67,000  orang berdaftar.

Pusat-pusat itu bukan sekadar tempat terapi, tetapi juga menjadi pusat sehenti bagi ibu bapa menjalani saringan awal dan mendapatkan rawatan.

“Jika anak sudah didiagnos autisme, intervensi perlu dilakukan seawal mungkin.

“Dengan terapi yang betul, ramai kanak-kanak autisme berpotensi masuk ke sekolah arus perdana menjelang usia tujuh tahun,” katanya.

Dalam pada itu, perunding motivasi keibubapaan dan kepemimpinan, Zaid Mohamad berkata, Belanjawan 2026 memahami realiti hidup ibu bapa bekerja.

Pelepasan cukai yuran taska dan tadika sehingga umur 12 tahun adalah langkah penting mengiktiraf penjagaan berkualiti sebagai sebahagian daripada pembangunan modal insan.

Bantuan awal persekolahan RM150 pula membolehkan keluarga berpendapatan sederhana dan rendah menarik nafas lega.

“Berbanding tahun lalu, saya lihat fokus kerajaan kali ini lebih menyeluruh, bukan sekadar bantuan tunai, tetapi turut menggalakkan penyertaan sektor penjagaan kanak-kanak yang sah dan berdaftar sekali gus mengukuhkan ekosistem pendidikan awal negara, daripada peringkat taska hingga ke sekolah rendah.

“Namun, untuk memastikan impaknya maksimum, pelaksanaan di lapangan perlu dipantau. Contohnya, memastikan taska dan pusat jagaan yang layak benar-benar berdaftar dan memenuhi standard keselamatan serta kualiti penjagaan,” katanya.

 

Perluas khidmat pengangkutan OKU

Dalam pada itu, ibu bapa kepada anak-anak orang kurang upaya (OKU) berharap perkhidmatan van mobiliti khas oleh

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dapat diperluaskan ke luar bandar.

Norzelawati Abdul Kadir, 50, berkata, inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 itu hanya terhad di bandar sahaja.

“Saya sedikit kecewa kerana tidak berpeluang menikmati manfaat tersebut.

“Jadi saya minta kerajaan kaji semula perkara ini bagi meringankan bebanan keluarga untuk menghantar anak mendapatkan rawatan dan janji temu doktor,” katanya.

Bekas cikgu PPDK ini menambah, setiap keluarga terpaksa membelanjakan lebih RM100 untuk kos penghantaran anak-anak OKU ke hospital.

Itu tidak termasuk upah mengangkat anak-anak ke dalam kereta jika tidak boleh berjalan atau terlantar.

Terdahulu, Prasarana komited menyediakan 100 van mobiliti khas untuk memudahkan pergerakan golongan OKU,

Van itu mampu membawa sehingga tiga penumpang berkerusi roda dan dilengkapi dengan sistem pengangkat kerusi roda.

Bagaimanapun, Norzelawati menyambut baik pemberian pas MyRailLife secara percuma bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan Shuttle Timuran (DMU) kepada komuniti OKU.

Malah dia gembira dengan manfaat-manfaat lain yang ditawarkan kepada golongan istimewa itu.

Antaranya ialah menambah baik kemudahan sekolah dan peralatan supaya mesra OKU dengan peruntukan RM30 juta.

Justeru, dia berharap agar bantuan tersebut dapat merangkumi bukan hanya di sekolah, malah turut melibatkan pusat rawatan atau pemulihan.

Katanya, sebelum ini, cikgu dan ibu bapa di pusat-pusat pemulihan terpaksa mengorbankan wang sendiri bagi membaik pulih dan menyediakan kemudahan bagi pelajar OKU.

Mengulas mengenai pemberian elaun, katanya, ia perlu ditingkatkan kepada RM200 sebulan.

Jumlah RM150 yang diperuntukkan itu tidak mencukupi terutama bagi keluarga berpendapatan rendah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN