Dahulu, jemaah haji terpaksa meredah samudera luas selama berbulan-bulan demi menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah.
Kini, nostalgia itu dihidupkan semula melalui pelayaran umrah istimewa yang diperkenalkan Aroya IslamiCruise, bermula tahun depan.
Pengarah Projeknya, Ab Rahman Mohd. Ali berkata, pelayaran itu bukan sahaja menawarkan kemewahan dan keselesaan, malah turut menekankan aspek bimbingan rohani di sepanjang perjalanan.
Paling menarik, pengisian rohani di atas kapal itu akan dipimpin oleh dua penceramah terkenal iaitu Ustaz Wadi Anuar dan Ustaz Abdul Somad.
“Sepanjang pelayaran, jemaah dan keluarga dapat memanjakan diri, menyuburkan jiwa dan berehat dalam suasana yang tenang serta penuh keberkatan
“Apatah lagi, kapal Aroya ini dilengkapi dengan hospitaliti Arab dan nilai-nilai Islam,” katanya baru-baru ini.

Keseluruhan perjalanan mengambil masa selama 16 hari bermula dari Pelabuhan Klang ke Arab Saudi.
Istimewanya, jemaah berpeluang singgah di tiga destinasi ikonik seperti Oman, Maldives dan Banda Aceh, Indonesia.
Seterusnya, menunaikan umrah selama tiga hari dua malam di Mekah.
Tempahan untuk pakej tersebut dikendalikan secara eksklusif oleh lima agensi pengendali umrah dan haji iaitu Tabung Haji Travel & Tours (THTS), Andalusia Travel & Tours, Rayhar Travel & Tours, Jay Ibrahim Travel, dan Insaff Travel.










