Dahulu, seni pembuatan kolam dianggap milik wanita, namun kini semakin ramai lelaki tampil menunjukkan bakat mereka.
Antara yang aktif mengangkat seni tradisi ini sejak lebih dua dekad lalu ialah Ruben Prakash, 39.
Baginya, kolam bukan sekadar hiasan tetapi simbol kesyukuran dan keharmonian dalam kehidupan masyarakat India
Katanya, kemahiran itu dipelajari ketika usianya 15 tahun apabila menghuni di sebuah rumah kebajikan.
Minatnya berterusan hingga ke dewasa dan menjadi kerjaya.
Istimewanya, kolam sentuhannya berbeza dengan jenis tradisional yang biasa dilihat.
Corak yang dihasilkan bertemakan dua dan tiga dimensi (3D) di samping hiasan bergerak dan lampu.
Kreativitinya itu berjaya menarik perhatian ramai, sekali gus meraih projek-projek besar.
Tahun ini, projek kolam Deepavali terbesarnya ialah di pusat beli-belah The Garden.
Biasanya, tempoh dua hingga tiga malam diambil untuk menyiapkan tugasan kolam besar di pusat beli belah.
Bagi memastikan kolam buatannya sentiasa menarik, Ruben memilih untuk tidak mengulangi corak sama.
“Misalnya, saya tidak akan mengekalkan corak burung merak, namun menambahkan lagi idea seperti bangunan, budaya India, gaya Deepavali dan banyak lagi,” katanya.

Pelanggan luar negara
Bakat luar biasa Ruben turut mendapat pujian dari luar negara.
Ia berdasarkan karya-karya yang dimuat naik di media sosial.
Katanya, setiap tahun, dia dipanggil oleh pelanggan dari Australia dan Singapura untuk membuat kolam di sana.
Katanya, kini permintaan membuat kolam bukan hanya terhad untuk sambutan perayaan kaum India.
Sebaliknya, ia turut menghiasi majlis perkahwinan dan hari jadi disebabkan keunikan dan kecantikannya.
Bahan-bahan
Selain beras, Ruben turut menggunakan tepung bagi menghasilkan kolam.
“Jika tempoh pameran itu pendek, ada kalanya saya guna kelapa parut berwarna yang boleh bertahan satu atau dua hari.
“Selain itu, saya turut menggunakan bunga-bunga bersaiz kecil dan tumbuhan daun sederhana, mengikut kehendak pelanggan,” katanya.
Ujar Ruben, gabungan pelbagai bahan itu menjadikan kolam lebih menyerlah dan unik.
Malah, memberi sentuhan semula jadi bagi padangan mata.
Ruben turut membuka kelas bagi berkongsi ilmu dengan generasi muda yang berminat mempelajari seni itu.










