Dianggarkan 70 hingga 80 peratus kos operasi ladang ayam atau kolam ikan datang daripada makanan ternakan yang kebanyakannya bergantung kepada bahan import, menyebabkan harganya tidak stabil dan meningkat.
Menyedari isu ini, Penyelidik Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail membangunkan formulasi makanan ayam dan ikan berasaskan bahan tempatan yang lebih murah, berkhasiat dan mesra alam.
Inovasi ini bermula sejak 2021 melalui kajian penggunaan azolla, sejenis paku air yang tumbuh pantas, sebagai alternatif bahan asas makanan ternakan.
Sejak itu, beliau mengetuai sembilan projek penyelidikan bagi memperhalusi komposisi nutrisi dan keberkesanan pelet ternakan.
Hasilnya, inovasi pelet makanan ayam dan ikan yang dibangunkan terbukti mampu mengurangkan kos lebih 30 peratus berbanding makanan komersial tanpa menjejaskan kualiti.
Ayam membesar cepat dengan imuniti lebih baik, manakala ikan keli menunjukkan kadar pertumbuhan dan kelangsungan hidup tinggi.
Bagi komuniti luar bandar, pengurangan kos makanan bermakna penternak boleh mengekalkan margin keuntungan yang lebih baik.
Sekali gus, membantu meningkatkan taraf hidup, selari dengan usaha kerajaan memperkasakan ekonomi desa.
“Kajian ini tidak boleh berhenti di makmal sahaja. Ia perlu sampai ke komuniti untuk dimanfaatkan. Sebab itu, mana-mana usahawan yang berminat boleh menghubungi saya untuk kerjasama selanjutnya,” katanya.









