“Kembalikan rotan ke sekolah? Sebenarnya bukan hanya pelajar bermasalah perlu dirotan, sebaliknya seluruh lapisan masyarakat, ibu bapa dan orang politik turut perlu dirotan!”
Rotan atau pukulan ringan kadangkala berguna untuk menyedarkan orang yang melakukan kesilapan.
Peristiwa rogol di sekolah dan pembunuhan pelajar tingkatan tiga oleh pelajar tingkatan satu memang mengejutkan negara.
Berikutan semua insiden itu, ramai yang menyarankan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) mengembalikan hukuman rotan kepada pelajar-pelajar bermasalah sebagai satu mekanisme mendidik.
Polemik keselamatan di sekolah menjadi semakin panas dengan pendedahan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad yang menemui banyak perkara negatif berkait sistem pendidikan negara yang ‘disimpan di bawah permaidani’, hanya dalam tempoh tiga bulan dilantik ke jawatan berkenaan.
Beliau menganggap perkara itu seperti duri dalam daging yang bakal membuahkan lebih banyak penyakit akhlak kronik melibatkan pelajar dan kakitangan di bawah seliaannya.
Kenyataan beliau itu dibuat dalam Majlis Peluncuran Program Kempen Anti Buli anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang turut hadir Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dan timbalannya, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Berbalik kepada perbincangan tentang rotan, pada zaman nabi pernah berlaku kisah sendu mengenai pukul-memukul.
Kisahnya bermaksud: Aishah menceritakan, seorang lelaki bertanya Nabi: “Wahai Rasulullah, Aku ada beberapa hamba yang selalu dustai, khianati dan derhakai aku. Disebabkan perangai mereka itu, Aku telah cela dan pukul mereka. Bagaimana agaknya situasi Aku dengan mereka (di sisi Allah di akhirat kelak?)”
Baginda menjawab: “Mereka akan diaudit pada kadar apa yang mereka khianati, derhakai, dustai-mu dan juga pada kadar hukumanmu terhadap mereka. Jika hukumanmu terhadap mereka sesuai dengan kesalahan mereka, maka ia akan mencukupi (habuan kedua pihak tanpa tuntutan).
Jika hukumanmu terlalu rendah tidak setimpal kesalahan mereka, maka kelebihan (pahala) akan diberi padamu. Manakala, jika hukumanmu melebihi kadar kesalahan mereka, kamu akan dibalas dengan lebihan hukuman itu.” Lelaki itu menjauhkan diri sambil meraung menangis (kerana takutkan azab akhirat)…..
Lelaki itu kemudiannya berkata: “Demi Allah tiada jalan terbaik antara aku dan mereka selain berpisah. Oleh itu, Aku jadikan engkau (Wahai Rasulullah)sebagai saksi yang aku (dengan ini) memerdekakan mereka.” (Sunan al-Tirmidzi, 3165).
Islam sebagai agama manusiawi tidak menafikan keperluan hukuman dalam mendidik.
Nabi sendiri membenarkan ibu bapa ‘memukul secara manja dan ringan’ anak kecil yang enggan solat setelah berusia 10 tahun.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Suruh anak-anak kalian solat ketika mereka berusia 7 tahun dan pukul mereka (dengan pukulan ringan tidak mencederakan) jika mereka enggan solat setelah mereka berusia 10 tahun. Asingkan juga mereka pada tempat tidur. (Sunan Abu Daud, 495).
Cuma kadangkala apabila rotan berada di tangan, kadar pukulan sukar untuk disesuaikan dengan kadar kesalahan yang dianggap bersalah.
Pun begitu, izinkan penulis berbeza pandangan dalam isu rotan sebagai alat mendidik.
Secara metafora, kesilapan yang memerlukan hukuman rotan bukan terbatas hanya di sekolah tetapi merangkumi seluruh masyarakat.
Ibu bapa juga perlu dirotan! Terutama sekali ibu bapa yang salah mendidik anak sehingga memangsakan pihak lain di sekolah sama ada guru atau pelajar lain dengan jenayah buli dan sebagainya.
Perlu disedari, kelakuan anak biasanya hasil pantulan tingkah laku ibu bapa semasa di rumah.
Bak kata pepatah, bapa borek anak rintik.
Hukuman rotan kepada ibu bapa muncul dalam bentuk nasihat yang mendalam disalut nasihat agama.
Tugas ibu bapa bukan hanya ‘menternak’ anak tetapi merangkumi tanggungjawab mendidik dan menjadikan mereka manusia berguna bebas neraka (al-Tahrim: 6)
Ibu bapa yang terlalu beremosi memihak bulat-bulat kepada anak tanpa usul periksa atau tidak mahu mendengar kekangan pihak sekolah juga perlu dirotan!
Kita mungkin menang di mahkamah menghukum pihak guru atau sekolah, namun berkat ilmu akan hilang.
Orang politik atau penyokong tegar politik juga perlu dirotan!
Ini kerana ‘segelintir’ mereka suka menunggang semua isu nasional demi kepentingan politik.
Sedarlah! Bukan semua isu perlu dihadap dalam neraca politik.
Tukar menteri atau sesiapa yang bertanggungjawab memegang teraju kementerian tidak semestinya menyelesaikan masalah segera atau menjamin kesejahteraan berpanjangan.
Alangkah indahnya jika gendang politik disimpan seketika ketika insiden bahaya berlaku dan duduk bersama memberi cadangan terbaik untuk semua rakyat.
Apabila bencana berlaku melibatkan keselamatan di sekolah, ia tidak lagi mengenal bendera politik parti mana yang menjadi anutan si mangsa atau keluarganya.
Menyalahkan satu pihak rentetan sesuatu peristiwa yang berlaku jauh lebih mudah kerana tiada modal yang diperlukan selain air liur, suara yang nyaring atau pukulan jari jemari pada papan kekunci dalam media sosial.
Rehat seketika dan ambil panduan Allah ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud: (Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam perang Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (kekalahan) ini? “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kemalangan serta kekalahan) itu berpunca daripada kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)”. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas setiap sesuatu (ali -‘Imran:165)
Ayat ini turun sebagai muhasabah untuk umat Islam yang mengalami kekalahan dalam perang Uhud.
Frasa ayat: “Kemalangan serta kekalahan itu berpunca daripada kesalahan diri kamu sendiri,” secara tidak langsung mengajar kita agar menerima terlebih dahulu kelemahan serta kesilapan diri dalam mengurus tadbir kehidupan.
Kaji bersama kesilapan tersebut kerana tiada manusia atau sistem pengurusan yang sempurna.
Panggil semua pakar bidang yang melibatkan pendidikan di Malaysia untuk mencari punca masalah yang berlaku.
Gerakkan usaha ini atas semangat syura tanpa mengira bendera politik.
Kemudian, laksanakan dapatan mereka dengan sokongan kerajaan demi melahirkan generasi muda yang punyai akhlak mulia dan produktif.
Tiada bumi yang tidak ditimpa hujan.
Siapkan bumbung kukuh yang mampu menampung limpahan hujan agar ia tidak terus membanjiri negara dengan pelbagai masalah.-UTUSAN
Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) ialah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti, Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










