Sebuah sistem agihan bantuan zakat, wakaf dan sumbangan yang telus dan berpaksikan prinsip syariah berjaya dibangunkan menerusi penggunaan platform e-wallet kad digital khas oleh syarikat tempatan, MyBarakah Synergy Sdn. Bhd. (MyBarakah).
Menurut Pengarah Urusannya, Noorhaslizan Shah Sulaiman, platform berasaskan teknologi itu sekali gus dapat memudahkan urusan bantuan dan pemberian dana bagi golongan penerima bantuan.
Selain itu katanya, kad digital tersebut boleh digunakan untuk transaksi pembayaran, pembelian dan juga pengagihan zakat serta bantuan kepada penerima yang layak.
“Setakat ini, kami mempunyai kira-kira 3,000 penerima bantuan. Namun, dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pusat zakat negeri serta pihak berkuasa lain, kami menjangkakan jumlah itu akan meningkat kepada 180,000 penerima dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menariknya, semua sumbangan akan disalurkan terus kepada penerima bantuan yang layak dan setiap transaksi dapat disemak oleh penyumbang serta pentadbir dana secara telus.
Platform digital yang dibangunkan itu juga membuka peluang kepada masyarakat umum untuk menyumbang dan menerima bantuan dengan lebih mudah, tanpa kekangan lokasi mahupun rasa ragu terhadap ketelusan agihan.










