Ya Allah! Bantulah misi Sumud Flotila

Ya Allah! Bantulah misi Sumud Flotila

Sekumpulan aktivis belayar dari Bizerte, Tunisia pada 14 September 2025 menyertai Global Sumud Flotilla ke Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pejam celik, sudah lebih dua tahun surau kami, Surau Muwafaqah di Taman Melawati, Fasa 6 melakukan Qunut Nazilah dalam solat Subuh untuk rakyat Palestin yang berterusan dihenyak dan dizalimi rejim haram Zionis.

Terbaharu, saya menambah dalam Qunut Nazilah kami doa penghilang lapar.

Ertinya: Ya Allah! Mereka sedang kelaparan, maka kenyangkan mereka!

Itu antara doa yang pernah baginda Rasulullah SAW baca ketika keluar ke medan perang Badar.

Waktu itu, keadaan umat Islam sangat daif. Tiada kenderaan berkualiti, tiada juga pakaian lengkap dan perut kelaparan yang amat sangat.

Baginda berdoa yang bermaksud: “Ya Allah! Mereka ini berjalan tanpa alas kaki (kenderaan), maka bawalah mereka dengan kenderaan. Ya Allah! Mereka ini tiada pakaian, maka berilah mereka pakaian. Ya Allah!

Mereka sedang kelaparan, maka kenyangkan mereka!”

Allah lantas memberi mereka kemenangan dalam perang Badar.

Ketika pulang, hampir setiap orang membawa seekor atau dua ekor unta. Mereka juga berpakaian sempurna dan kekenyangan (Sunan Abu Dawud, 2747).

Terbaharu, seluruh dunia dikejutkan dengan usaha para aktivis yang cuba memecahkan sekatan kemanusiaan Israel terhadap Gaza melalui jalan laut.

Inisiatif maritim kemanusiaan ini dinamakan Global Sumud Flotila, melibatkan puluhan kapal pelbagai saiz dari lebih 50 buah negara yang belayar membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Rombongan ini turut disertai delegasi Malaysia yang memakai label Sumud Nusantara.

Dalam Bahasa Arab Sumud bermaksud ketabahan, keteguhan dan tidak tunduk kepada penindasan.

Ia dipilih sebagai simbol keberanian rakyat Palestin dan solidariti dunia untuk bersama mereka. Flotila pula merujuk kepada kumpulan kapal kecil yang bergerak bersama untuk suatu misi.

Ringkasnya, misi ini seumpama satu jemaah pelbagai bangsa, negara dan agama yang mengkagumi ketabahan rakyat Palestin berdepan dengan penindasan luar biasa Zionis.

Kumpulan ini tidak hanya meluahkan belas kasihan atau kagum dari jauh tetapi berusaha memecahkan kepungan kemanusiaan dengan tindakan bersama.

Logiknya, jika Israel masih berkeras, mereka seolah-olah sedang berdepan tentangan puluhan negara dunia.

Usaha sebegini pernah dilakukan oleh pelbagai aktivis seluruh dunia.

Contohnya, tentera Zionis pernah menyerang kapal Mavi Marmara pada tahun 2010 yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Serangan tersebut mengorbankan enam aktivis Turki.

Pada tahun 2016, Dr. Fauziah Hasan seorang pakar sakit puan dari KPJ Ampang Puteri pernah terlibat dalam misi Woman’s Boat to Gaza (WBG).

Ia sebahagian daripada usaha Freedom Flotila Coalition (FFC) yang menganjurkan pelayaran sekumpulan wanita besi dari seluruh dunia untuk memecahkan kepungan haram Israel ke atas penduduk Gaza.

Begitupun, cubaan itu juga gagal kerana bot mereka digempur komando Israel dalam jarak 35 batu nautika sahaja dari perairan Gaza.

Dr. Fauziah dan temannya ditahan serta disoal siasat di Pelabuhan Asdod, Israel.

Akhirnya, beliau dihantar pulang ke Malaysia melalui Bangkok.

Kisah Dr. Fauziah boleh anda hayati dalam buku 35 Batu Nautika, Sebuah Travelog Woman’s Boat To Gaza.Kempen Sumud Flotila ini ditambah marak dengan ucapan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar

Ibrahim yang menyelar Israel dan menyeru tindakan tegas perlu segera diambil semasa Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar pada 15 September lalu.

Kempen Sumud Flotila ini wajar dipuji dan disokong kerana Islam dihantar untuk membela nasib orang yang ditindas tanpa mengira bangsa atau agama.

Rasulullah SAW sendiri pada zaman mudanya pernah terlibat dalam Hilf al-Fudhul di rumah tokoh besar Quraysh, Abdullah bin Jud’an.

Hilf al-Fudhul ialah perjanjian bersama orang Quraisy untuk membela nasib orang yang ditindas di Mekah (Sirah Ibn Hisyam).
Pernah rombongan Muhajirin Habsyah yang baru tiba ke Madinah bercerita peristiwa ajaib yang pernah mereka saksikan di sana.

Kisahnya, seorang rahib wanita tua berjalan memikul tembikar berisi air.

Seorang pemuda menolaknya sehingga terjatuh dan pecah tembikarnya.

Si rahib wanita kemudian memberi amaran kepada si pemuda.

Kata-kata itu bermaksud: “Kelak engkau akan tahu wahai si jahat, apabila Allah meletakkan kerusi keadilan-Nya untuk mengadili manusia, kemudian dikumpulkan seluruh manusia dari awal wujud dunia sampai akhirnya, tangan dan kaki pula berbicara terhadap apa yang pernah mereka kerjakan.

Kelak kamu (wahai si jahat) akan tahu bagaimana nasibku dan nasibmu (atas penganiayaan ini) di sisi Tuhan kelak.”

Mendengar kisah ini, Nabi SAW lantas bersabda yang bermaksud: “Benar! Benar! Mana mungkin Allah akan membersihkan dosa (atau membantu) sesuatu kaum yang tidak membela golongan yang dizalimi oleh golongan yang zalim dalam kalangan mereka (Sunan Ibn Majah, 4010).

Kita harapkan lautan akan menjadi tentera Allah membantu Sumud Flotila menembusi kepungan jahat Zionis.

Jika dahulu Allah SWT pernah menelan keangkuhan Firaun dengan lautan-Nya, kita harapkan kali ini Allah akan menelan sebarang usaha jahat Israel yang cuba menyekat bantuan kemanusiaan ini sampai ke Gaza.

Sebut sahaja inisiatif maritim, mengingatkan saya kisah ajaib dalam hadis berkaitan laut.

Hadis itu bermaksud: Rasulullah SAW bersabda kepada Ummu Haram binti Milhan: “Aku bermimpi melihat sekumpulan orang dari umatku pergi berperang pada jalan Allah dengan berlayar di lautan sebagaimana para raja yang memimpin pasukannya.”

Ummu Haram berkata: “Wahai Rasulullah, doakan agar aku termasuk golongan mereka.”

Rasulullah SAW mendoakan Ummu Haram dengan hajatnya itu… Anas bin Malik berkata yang bermaksud: “Ummu Haram kemudiannya keluar belayar di lautan bersama suaminya pada zaman pemerintahan

Mu’awiyah (untuk tujuan jihad). Selepas berlabuh, beliau menaiki seekor tunggangan kemudian terjatuh yang mengakibatkan kematiannya (dengan mati syahid) (Sahih Muslim, 3535).

Kisah ini menjelaskan bagaimana kemuliaan Ummu Haram yang gugur syahid kesan doa Baginda Nabi SAW.

Apa pun hasil misi Sumud Flotila ini, kita doakan mereka mendapat dua keputusan gemilang iaitu kejayaan membantu rakyat Palestin atau mendapat limpahan ganjaran luar biasa daripada Allah SWT berkat usaha gigih mereka. Insya-Allah!-UTUSAN

Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz), Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN