Pada pandangan mata kasar, pasangan muda ini menjalani kehidupan seperti biasa.
Pasti tiada siapa menyangka rumah tangga Noor Hasnita Rosli dan suaminya, Mohamad Azhar Abdul Kadir, 34, menyimpan sebuah kisah penuh cabaran yang tidak pernah dijangka.
Tujuh tahun pertama perkahwinan dipenuhi tanda tanya.
Suaminya tidak pernah memukul, meninggikan suara, setia, malah sentiasa menurut kata.
Di sebalik kebaikan itu, ada sesuatu yang tidak kena dengan suaminya.
Noor Hasnita sering tertanya-tanya mengapa komunikasi mereka tidak lancar dan suami tidak mampu membuat keputusan hingga terasa seperti dia memikul tanggungjawab rumah tangga seorang diri.
“Semasa rumah tangga di fasa tekanan, suami tidak mampu lalui. Daripada situlah kami mula dapat gambaran ada sesuatu yang lain.
“Selama tujuh tahun pertama, hidup kami memang sukar, terutama bab komunikasi. Saya terpaksa bagi arahan jelas barulah sesuatu perkara berjalan.
“Ketika doktor sahkan suami autisme, saya rasa sangat bersyukur. Sebab sebelum itu, hidup penuh persoalan. Saya tidak tahu apa silap dan puncanya. Jadi bila ada jawapan, saya lega kerana terlerai segala tanda tanya selama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah wanita berusia 34 tahun itu, tanpa kesedaran yang jelas, hampir mustahil untuk menyedari simptom atau ciri autisme.
Disebabkan itu, dia tidak menyedari sebarang kelakukan pelik Mohamad Azhar ketika fasa perkenalan.
Pada pandangan biasa, individu autisme hanya kelihatan pendiam, kurang bergaul, sopan dan menurut arahan.
“Tambahan pula mereka pandai masking. Bila mereka unmask? Selalunya apabila mereka dah berada dalam zon selesa, contohnya di rumah.
“Jadi, sebab itulah kebanyakan pasangan hanya akan betul-betul nampak kelainan selepas kahwin.
“Ada individu autisme yang tidak didiagnosis sebenarnya bijak dan berprestasi tinggi. Macam suami saya sendiri, dia pelajar terbaik semasa menuntut di politeknik. Dia juga tiada sebarang masalah ketika bersekolah,” ujarnya.
KEKUATAN BAHARU
Bagi Noor Hasnita, mengetahui kebenaran itu memberi kekuatan baharu.
Dia mula memahami punca emosi suaminya sering mendatar, keputusan kecil pun sukar dibuat dan komunikasi antara mereka kerap buntu.
Jawapan itu bukan menamatkan cabaran, tetapi sekurang-kurangnya memberi kefahaman dan ketenangan buat jiwa seorang isteri yang berkecamuk.
Hidup bersama pasangan autisme dewasa bukanlah perkara yang mudah.
Jika mengurus anak autistik boleh dilakukan dengan pendekatan mendidik, lain pula halnya apabila berdepan dengan pasangan hidup.
“Kalau anak, kita boleh marah dan didik dengan tegas. Tetapi, lain ceritanya untuk pasangan.
“Apabila saya marah atau terlalu tegas, akhirnya saya pula yang rasa sedih dan bersalah. Lagi pula, orang dewasa yang ada autisme sudah ada cara hidup sendiri sebelum berkahwin.
“Walaupun kadang cara tidak betul, sangat susah hendak ubah. Itu beza besar antara jaga anak dan pasangan,” luahnya.

BELAJAR MENERIMA
Suaminya yang lebih selesa dengan dunia telefon, komik dan permainan video jarang menunjukkan minat untuk bersosial.
Dalam majlis keluarga, lelaki itu lebih suka menyendiri.
Bagi Noor Hasnita, suatu ketika dahulu perkara sebegitu menjadi punca salah faham dan pertengkaran, tetapi selepas mengenal pasti punca sebenar, dia belajar menerima.
“Dulu di awal perkahwinan, dia hanya tunggu arahan. Tidak pernah minta makan, kecuali diajak.
“Dia juga tidak banyak berborak, suaranya keluar bila jawab soalan saya dan susah bergaul. Selain minat main telefon, memang dia tidak buat apa-apa.
“Sekarang saya lebih memahami dan tahu had dia. Dalam membuat keputusan, saya kena bagi arahan jelas. Kalau biar dia fikir sendiri, kebiasaannya tidak jadi.
“Jadi, saya ambil peranan itu walaupun kadang-kadang penat. Saya pun sudah tidak letak harapan dia jadi ketua keluarga macam orang lain,” ujarnya.
HADAPI STIGMA, SALAH FAHAM
Lebih sukar daripada cabaran rumah tangga ialah tanggapan masyarakat. Orang luar hanya nampak yang di permukaan.
Suami Noor Hasnita kelihatan seperti lelaki biasa yang pendiam, sopan, baik serta tidak banyak kerenah.
Tetapi, hanya dia yang tahu realiti memikul hampir semua tanggungjawab dalam rumah tangga.
“Saya banyak disalahkan sebab nampak lebih ke depan daripada suami. Ada yang kata saya jahat sebab suka mengarahnya. Padahal, saya tahu tahap suami saya, saya yang kena jaga dia. Apabila ada masalah, orang kata saya kuat marah.
“Pernah juga kawan tuduh suami sombong sebab bercakap tanpa pandang muka. Itu sebenarnya isu autisme. Dia ada masalah eye contact,” ujarnya yang menetap di Kuala Lumpur.
Masyarakat lebih biasa dengan autisme kanak-kanak, jarang sedar ia juga berlaku pada orang dewasa.
Walau penat, pernah menangis sendirian, dia tetap bertahan dan percaya setiap ujian datang dengan hikmah.
“Sejujurnya, rumah tangga saya bukan mudah. Ia celaru. Suami memang baik, dia ikut arahan, tidak melepak, memukul apatah lagi mendera.
“Tetapi benda-benda kecil, lama-kelamaan buat kita penat dan merana. Saya cuba kuatkan diri sebab percaya Allah akan bagi saya bahagia satu hari nanti.
“Saya juga cuba pegang pada hakikat yang suami saya bukan orang jahat. Dia cuma ada keterbatasan. Itu yang buat saya masih bertahan,” kongsinya.
Bila stres melanda, Noor Hasnita mencari ruang untuk meluahkan. Ada kalanya melalui tulisan, mewarna atau sekadar menangis.
Semuanya terapi untuk mengembalikan kekuatan.
“Satu benda yang saya pegang, saya mahu lalui ujian dunia ini dan akhirnya ‘balik’ dengan suami bersama-sama. Doa adalah kekuatan utama saya,” ujarnya yang masih belum menimang cahaya mata.

MENCARI HIKMAH DI SEBALIK PERBEZAAN
Di sebalik segala kepayahan, Noor Hasnita melihat ada keindahan yang tersirat.
Hidup bersama suami autisme membuatkan dia lebih memahami kebesaran ciptaan Ilahi.
“Kita tidak sangka ada orang yang pemikirannya sangat berbeza daripada kebiasaan.
“Sebelum kahwin, saya tidak pernah bayangkan ada orang yang pandang hidup, berfikir dan bertindak dengan cara yang begitu berbeza daripada saya.
“Tetapi, hidup dengan suami buat saya nampak betapa hebatnya ciptaan Allah. Perbezaan itu bukan semata kelemahan, tetapi sebahagian daripada keindahan,” ujarnya.
Bagi Noor Hasnita, kisah hidupnya bukan sekadar tentang dirinya, tetapi juga tentang kesedaran masyarakat.
Autisme bukan hanya tentang kanak-kanak. Orang dewasa pun ada, malah cabarannya lebih rumit apabila masuk alam rumah tangga.
“Jangan cepat menilai bila nampak pasangan autistik tidak mengikut norma atau bila pasangannya kelihatan lebih dominan. Itu sebenarnya cara kami bertahan.
“Kalau ada rumah tangga yang berpisah dengan alasan yang nampak ‘tidak masuk akal’, sedarlah perbezaan neurologi itu tidak kelihatan pada mata kasar. Hanya pasangan yang hidup bersama yang tahu betapa sukarnya,” ujarnya.
Untuk suaminya, dia berharap agar Mohamad Azhar sentiasa terbuka menerima teguran dan berusaha untuk memahami dirinya sebagai isteri.
“Saya tahu saya kuat kerana Allah yang beri kekuatan itu. Sejak awal kahwin hingga sekarang, Allah pelihara saya. Saya cuma mahu terus bahagia bersama suami, walau dengan cara kami yang berbeza,” katanya.
Bagi masyarakat pula, Noor Hasnita berharap lebih banyak kesedaran tentang autisme dewasa agar tiada lagi pasangan lain yang terpaksa memendam rasa sendirian.
“Autisme dewasa yang tidak didiagnosis memang wujud. Kita boleh jumpa mereka dalam macam-macam keadaan sebagai kawan, pasangan atau rakan kerja.
“Jadi, belajarlah tentang ini, supaya apabila keadaan tidak selari, kita tidak mudah tuding jari atau salah-menyalahkan.
“Saya percaya, apabila ada kesedaran, barulah wujud ruang untuk kita sama-sama faham, bukan sekadar menghakimi,” katanya.










