JIKA wanita ini tidak mengikuti kursus kelingkan yang dikendalikan nenek saudaranya di Kelantan 20 tahun lalu, mungkin seni hiasan tekstil tradisional Melayu itu sudah lenyap daripada bumi Cik Siti Wan Kembang.
Hakikat itu diakui Nik Marhamah Nik Megat, 52, terutama apabila melihat keadaan kesihatan Nik Rahimah Nik Idris, 84, yang kian uzur.
Malah, warga emas yang juga adiguru sulaman kelingkan itu kini tidak lagi mampu melihat.
Ini sekali gus menjadikan kesinambungan seni warisan itu bergantung sepenuhnya di tangan Nik Marhamah.
Dia kini merupakan satu-satunya penyulam kelingkan yang masih aktif di Kelantan.
Amanah berat itu digalasnya dengan penuh semangat dan dedikasi tanpa mengenal erti penat.
“Saya adalah generasi dan individu keenam dalam keluarga yang menyulam kelingkan.
“Mujurlah saya sempat berguru dengan nenek saudara ketika dia masih sihat, kalau tidak mungkin seni kraf ini sudah lama hilang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita lanjut, sejak kecil dia sudah terbiasa melihat Nik Rahimah yang berkhidmat sebagai tukang jahit di Istana Kelantan itu menyulam kelingkan.
Tetapi tidak pernah terdetik di hatinya untuk mencuba, sehinggalah pada 2006, dia diajak menyertai kursus pendek sulaman itu selama enam bulan bagi menggantikan individu yang menarik diri.
“Kebetulan ketika itu saya balik bercuti di kampung dan secara tidak sengaja menjadi peserta bidan terjun,” katanya.
Daripada situ, minatnya terhadap kraf kelingkan mula bercambah.
Dia aktif membantu nenek saudaranya menjalankan demonstrasi dan dalam masa sama, membuka tempahan selendang kelingkan.
Pelanggannya terdiri daripada kalangan kerabat, kenamaan dan pengumpul.

Bahkan, Nik Marhamah turut mengajar mereka yang berminat untuk mendalaminya.
Inisiatif itu digerakkan menerusi projek The Silver Lining dengan kerjasama Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) dan Yayasan Hasanah.
Misinya adalah untuk memelihara warisan di samping melahirkan lebih ramai generasi pelapis dalam kalangan belia.
Setakat ini, seramai 20 pelajar berjaya mengikuti projek itu.
Bagaimanapun, tidak ramai penyulam mampu bertahan dalam bidang ini kerana kos bahan mentah yang tinggi.
Tambahan pula, kelingkan menggunakan benang logam dan jarum pipih bersadur emas, perak atau tembaga, di samping fabrik premium seperti sifon dan sutera

Kesabaran tinggi, teliti
Lulusan Diploma Reka Bentuk Fesyen di International Fesyen Traning Centre (IFTC) ini berkata, pembuatan kelingkan menuntut ketelitian, kreativiti dan kesabaran tinggi.
Apatah lagi, untuk menghasilkan motif ikonik seperti bunga ros, kaki ayam, kulit etok dan kacang putih.
“Awal-awal memang susah tetapi bila sudah tahu tekniknya, semua jadi mudah.
“Mungkin sebab saya ada asas menjahit dan berpengalaman tengok nenek menyulam, lalu membantu saya lekas mahir,” katanya.
Kongsinya, kawalan gerakan tangan amat penting bagi memastikan sulaman cantik.
Jika ditarik terlalu laju, benang boleh rosak dan menjadi keriting.
Manakala, benang yang kendur atau ketat pula menyebabkan bentuk sulaman cacat.
Bagi pantang-larang pula, seseorang tidak boleh memakai losen dan minyak wangi ketika kerja-kerja menyulam.
“Benang emas sangat sensitif dan warnanya boleh berubah kalau terkena bahan tersebut mahupun peluh,” katanya.

Jadi rebutan pengantin
Dahulu, selendang kelingkan merupakan busana rasmi golongan kerabat.
Tetapi kini, ia turut digayakan oleh orang awam.
Malah, aksesori itu menjadi pilihan bakal-bakal pengantin untuk dipakai di hari bahagia.
“Trend ini makin popular sejak lima tahun lalu.
“Mungkin sebab semakin ramai yang sudah mengenali dan tahu tentang kelingkan,” katanya.
Dari segi harga pula, jelasnya, ia bermula dari RM3,000 ke atas bergantung kepada rekaan.
Selendang paling mahal yang pernah dihasilkannya ialah RM20,000 dengan saiz sepanjang tiga meter.
“Disebabkan ia rumit, purata tempahan yang diambil terhad kepada lapan helai sahaja, setiap tahun,” katanya.
Sepanjang terlibat dalam bidang ini, Nik Marhamah turut menghasilkan motif-motif baharu seperti bunga kangkung dan ketam guri riben.
Selain Kelantan, seni kraf kelingkan juga terdapat di Selangor dan Sarawak.










