PUTRAJAYA: Penyanyi dan komposer, Naim Daniel, 28, bersyukur masih menerima tawaran membuat persembahan meskipun sedang berdepan perbicaraan kes dakwaan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun.
Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin berkata, fokus utamanya kini lebih tertumpu kepada kerja penulisan lagu.
“Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran persembahan, namun saya lebih berhati-hati dalam memilih.
“Buat masa ini, saya mahu beri tumpuan penuh terhadap penulisan kerana itu saluran terbaik untuk saya berkarya.
“Ia juga tanggungjawab saya sebagai penyanyi dan anak seni,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Putrajaya pada Jumaat.
Menurut penyanyi lagu Lelaki Gila itu, dia turut memberi perhatian terhadap kesihatan mental dengan memastikan dirinya kekal aktif dan dikelilingi oleh individu yang menyokongnya.
“Saya pastikan sentiasa berada dalam kalangan insan tersayang termasuk keluarga dan rakan-rakan.
“ Selain itu, saya juga kekal cergas. Kalau diri sendiri tidak sihat, bagaimana saya mahu jalani hari dengan baik?
“Cukup tidur, fokus dan kekalkan inspirasi dalam penulisan lagu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Naim mengakui kehilangan beberapa peluang sepanjang proses perundangan berjalan namun kekal positif menghadapinya.
“Ini bukan perjalanan mudah. Sudah tentu ada perkara yang saya terlepas. Tapi saya percaya setiap ujian hadir untuk mendewasakan saya. Hidup mesti diteruskan.
“Jadi saya sibukkan diri dengan perkara yang berfaedah,” katanya.
Hari ini, Mahkamah Sesyen menetapkan 15, 16 dan 18 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan bagi kes tersebut.
Terdahulu, pada 18 Ogos lalu, Naim hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bersama peguamnya bagi menyerahkan dokumen pembelaan berhubung kes berkenaan.
Pada 17 Jun lalu, Naim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun 7 bulan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, kira-kira pukul 8.56 malam pada 19 Mei 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. – UTUSAN