Berbeza daripada kebanyakan pencipta kandungan yang hanya menumpukan pada hiburan, seorang anak muda berbangsa Cina ini, menggunakan TikTok sebagai wadah menyemai semangat perpaduan.
Memanfaatkan pengikutnya yang kini mencecah 578,000 ribu lebih di aplikasi tersebut, Wee Chuan Chin, 31, atau lebih dikenali sebagai Abe Wee, tampil berkongsikan pengalaman dan pengetahuan tentang budaya dan agama masyarakat Malaysia.
Dua tahun berturut-turut, Abe Wee meneruskan cabaran untuk berpuasa penuh pada bulan Ramadan.
Katanya, tindakannya itu berjaya mempengaruhi pembuat kandungan bukan Muslim yang lain mencontohinya.
Namun, semua yang dilakukan itu bukanlah kandungan semata-mata.
Sebaliknya, usaha untuk menghormati serta memahami agama Islam yang dianuti majoriti rakyat Malaysia.
Pengalaman tersebut bukan sahaja menguji ketahanan fizikalnya, malah memberikan perspektif baharu terhadap pengorbanan dan disiplin yang dilalui oleh masyarakat Muslim setiap tahun.
Sudah tentu, usahanya menerima pelbagai reaksi daripada penonton.
“Ada yang menyokong kerana melihat kesungguhan memahami pengalaman umat Islam, namun tidak kurang juga yang mempersoalkan tindakan saya.
“Bagaimanapun, saya tetap menganggap pengalaman tersebut sebagai satu cara untuk mendekatkan dirinya dengan nilai perpaduan dan saling menghormati,” katanya.
Tidak terhenti di situ,baru-baru ini Abe Wee turut aktif berkongsi mengenai adat tradisional pelbagai kaum, termasuk masyarakat di Sabah dan Sarawak yang jarang diketahui oleh warga Semenanjung.
Usahanya ini membuka ruang kefahaman yang lebih luas mengenai kekayaan budaya yang ada di Malaysia.
KELUARGA PERPADUAN
Bukan hanya dirinya, malah keluarganya juga sangat suka dengan adat budaya Malaysia yang berbilang bangsa.
Bersempena sambutan kemerdekaan baru-baru ini, beliau berkongsi kandungan istimewa bersama keluarga.
Ibunya menyediakan nasi lemak, hidangan kebangsaan yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia, sementara Abe Wee dan ahli keluarganya tidak ketinggalan mengenakan busana tradisional berbeza seperti motif borneo, baju Melayu tradisional dan baju kurung.
Menurut perkongsiannya, nilai hormat dan kasih terhadap kepelbagaian bangsa dan agama rakyat di Malaysia, datang daripada didikan bapanya yang merupakan seorang bekas tentera.
Katanya, pesan ayahnya sentiasa tersemat di hati mengenai perpaduan adalah amanah penting sebagai rakyat Malaysia dan ia perlu bermula daripada rumah.
Kongsi masakan Malaysia
Masakan juga menjadi jambatan penyatuan keluarga Abe Wee.
Dia sering berkongsikan resipi-resipi istimewanya ibunya yang handal memasak pelbagai sajian daripada kaum India, Melayu dan Cina versi halal.
Tidak hairanlah, tetamu yang berkunjung ke rumah sering kagum apabila mengetahui makanan seperti mi rebus, laksam atau nasi kerabu yang dihidangkan sebenarnya dimasak sendiri oleh ibunya, bukan dibeli dari luar.
Bahkan, ahli keluarga sebelah mertuanya juga kagum apabila mengetahui seorang wanita Cina mampu memasak pelbagai juadah tradisi kaum lain dengan begitu baik.
Bagi Abe Wee, inilah keunikan sebenar Malaysia iaitu keupayaan untuk memahami, menerima dan meraikan budaya berbeza.
Jejaka ini berharap generasi muda tidak mudah terpengaruh dengan kumpulan yang cuba memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya meneruskan semangat perpaduan yang sudah lama menjadi identiti negara.
Bahkan, melalui kandungan-kandungan yang dihasilkan, dia mahu masyarakat menilai semula keindahan Malaysia yang mengandungi pelbagai cabang budaya nan indah.-UTUSAN











