AIR mata Pegawai Waran I (B) Abd. Rahim Mad. Din menitis sebaik melihat kolam tempatnya direndam 30 tahun lalu dalam sesi lawatan ke Komando Pendidikan Marinir (Kodikmar) Karang Tekok, di Baluran, Indonesia baru-baru ini.
Kolam tersebut menyimpan 1,001 kenangannya bersama 31 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) lain yang tekad mengharungi pahit getir kursus asas komando di Indonesia sehinggalah terbentuknya unit komando Pasukan Khas Laut (Paskal).
Mengimbau semula kenangan tersebut, Abd. Rahim, 72, berkata, dia baru berusia 24 tahun ketika mengikuti kursus selama tiga bulan, bermula penghujung Julai sehingga Oktober 1977.
Dalam tempoh empat bulan itu, pelbagai latihan dijalaninya seperti selaman, larian dan abseiling yang menuntut ketahanan fizikal serta mental.
“Saya masih ingat kami tiba di markas Kodikmar kira-kira pukul 11 malam selepas lebih tujuh jam perjalanan dari Surabaya.
“Belum sempat keluar dari trak, terdengar bunyi tembakan mesingan dan raifal bertalu-talu diikuti jeritan ‘jongkok’ (membongkok) saling bersahutan.
“Saya terpinga-pinga sebab tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rupa-rupanya, barulah lelaki itu tahu yang mereka dalam simulasi peperangan dengan dikawal selia para jurulatih.
Abd. Rahim yang ketika itu sangat lapar dan dahaga diarahkan masuk ke dalam parit yang kedalamannya separas pinggang.
“Kemudian, kami disuruh merangkak masuk ke sebuah kolam takungan dan berendam beramai-ramai, dalam keadaan lengkap berpakaian perang serta topi besi yang agak berat.
“Jurulatih beri amaran tidak boleh nampak kepala dan dalam erti kata lain kami perlu menyelam tanpa dinyatakan tempoh masa tertentu.
“Hampir lemas juga dibuatnya, lantas saya angkat kepala sebab tidak tahan dan nampak semua anggota pun buat benda sama,” katanya.

Abd. Rahim antara anggota yang mengikuti Kursus Komando Hutan Marinir (Kohut) kumpulan pertama di Sekolah Khusus Marinir Pusat Pendidikan Infantri (Sesus Pusdiktif) Surabaya, Indonesia bersama Leftenan Yunus Ahmad dan LRSM Jalaludin Nek.
Kumpulan kedua dan ketiga dihantar secara berperingkat melibatkan kekuatan seramai 97 anggota.
Sekembalinya kumpulan ini ke tanah air, mereka dikenali sebagai Komando Laut TLDM dan meneruskan tugas di Rejimen Keselamatan TLDM, yang bertanggungjawab menjaga Pangkalan TLDM Woodlands, Singapura.
Rejimen ini mempunyai empat kompeni di bawah pemerintahan Komander Chang Chee Cheong-pegawai dari Malaysia Special Service Unit (MSSU) yang dilatih Special Boat Service Royal Marines Commando dari United Kingdom (UK) pada tahun 1965.
Tambahnya, kolam itu juga secara tidak langsung mengingatkannya kepada rakan-rakan seperjuangan yang sudah meninggal dunia.
“Kami harungi segala pahit getir bersama-sama. Boleh dikatakan kami tidur sebantal dengan mimpi yang sama selama tempoh tersebut,” jelasnya.
Secara amnya, latihan Paskal dikenali sebagai antara yang paling mencabar di dunia, bukan hanya di Malaysia.
Ia menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi, selain melibatkan pelbagai kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap anggota.
Abd. Rahim merupakan antara 30 ahli Persatuan Veteran Paskal TLDM (PVKL TLDM) yang menyertai lawatan muhibbah ‘Napak Tilas’ dengan diketuai oleh Laksamana Madya (B) Datuk Nasaruddin Othman (B) pada 14 sehingga 18 Julai lalu.
Antara aktiviti yang diadakan ialah menyaksikan beberapa siri Latihan Asas Komando Marinir seperti latihan dopper (anggota merangkak sambil ditembak di sisi dengan peluru hidup).
Di samping itu, mereka turut dibawa ke Pantai Situbondo bagi menyaksikan Latihan Asas Komando Pasukan Katak (Kopaska).
Lokasi lawatan lain ialah di Gunung Bromo yang menjadi sebahagian tempat latihan ketika menjalani Latihan Asas Komando sekitar tahun 1970an dan 1980an.
Terdahulu, katanya, setiap anggota TLDM yang mahu menjadi anggota Paskal perlu mengikuti latihan asas komando yang meliputi pelbagai peringkat seperti seperti pemanasan, kem, hutan, paya dan laut.
Peringkat paling mencabar adalah praktikal tawanan perang jika tertangkap oleh musuh.
Cedera ketika abseiling
Walaupun menjalani latihan berbeza iaitu Kopaska bagi kumpulan kedua, namun kata Nasaruddin, Kodikmar tetap menyimpan memori baginya.
“Kursus diadakan di kawasan lain, tetapi terselit kenangan yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila antaranya kecederaan ketika latihan abseiling.
“Kaki saya terseliuh dan mereka letakkan pula air panas, lalu menyebabkan bahagian itu melecur,” katanya.
Beliau yang merupakan pengasas Paskal menyifatkan lawatan tersebut sangat bermakna bagi mengukuhkan ikatan silaturahim antara dua negara.
“Kami sangat terharu dengan layanan diberikan sejak awal tiba di lapangan terbang sehinggalah berlepas pulang. Itu menandakan hubungan antara kedua-dua negara cukup akrab, tanpa sebarang keraguan atau pertikaian,” jelasnya.
Latihan hampir sama
Daripada segi latihan, taktik dan pergerakan antara Paskal, Kor Marinir atau Kopaska adalah hampir sama.
“Apa yang diajar mengenai taktik dan pergerakan ketika kursus latihan di Indonesia atau di Malaysia sama sahaja.
“Tiada bezanya walaupun peranan, tugas atau modul mungkin berbeza,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, terdapat ‘teknologi’ yang dipakai ketika di Indonesia suatu ketika dahulu, masih digunakan di Malaysia sehingga kini.
“Dalam kursus asas komando Paskal, setiap pelatih akan menggunakan toggle rope berbentuk bulat dan diletakkan di belakang bahu.
“Tujuannya bagi memastikan fizikal pelatih asas komando tegap dan melebarkan bahu,” jelasnya.
Sehingga kini, pelbagai siri latihan telah dilaksanakan antara Paskal dan pasukan khusus dari Indonesia seperti Eksesais Pahlawan.
Selepas ditubuhkan secara rasmi pada 1 Oktober 1982, Paskal terus berkembang daripada segi keanggotaan, kelengkapan aset dan cemerlang dalam pelbagai misi sama ada dalam atau luar negara.-UTUSAN










