Selain dikitar semula dan dilupuskan, komponen terpilih dalam bagasi terpakai boleh diubah suai menjadi alas gelas.
Inisiatif yang digerakkan jenama bagasi popular, Samsonite itu bertujuan memberi peluang kedua kepada bagasi-bagasi yang dikumpulkan menerusi kempen tahunannya, luggage trade-in.
Pengurus Besar Samsonite Malaysia, Ambert Khoo berkata, item eksklusif itu diperbuat sepenuhnya daripada plastik kitar semula.
Katanya, pelanggan yang menyertai kempen itu hanya perlu membawa resit ke kedai Samsonite terpilih untuk menebusnya.
Bagi yang tidak menyertainya, mereka masih boleh mendapatkan alas gelas itu dengan membuat sebarang pembelian di kedai Samsonite terpilih.
“Secara tidak langsung, alas gelas ini menjadi kenangan bermakna sepanjang perjalanan kempen trade-in.
“Item edisi khas ini boleh ditebus mulai hari ini,” katanya.
Kempen tahunan luggage trade-in membolehkan pelanggan menaik taraf bagasi dengan menukar bagasi lama, tanpa mengira jenama, saiz atau keadaan.
Tahun ini, ia berlangsung dari 16 Mei hingga 13 Julai lalu dengan menampilkan koleksi Nuon dan Octolite Neo yang direka untuk pengembara moden, menggabungkan teknologi terkini dan bahan lestari.









