Tradisi mengemping padi masih meriah di pinggir Sungai Pahang

Tradisi mengemping padi masih meriah di pinggir Sungai Pahang

NORAZIAH Kassim (duduk) sedang menunjukkan proses padi ditumbuk di dalam lesung indik sebelum menjadi emping. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKTIVITI membuat ‘emping’ atau mengemping merupakan warisan orang Melayu sinonim dengan kehidupan penduduk yang tinggal di kawasan sawah sejak zaman dahulu.

Warisan tersebut cukup signifikan untuk terus menyuburkan semangat ukhuwah dan kesatuan apabila penduduk beramai-ramai berderau melakukan aktiviti tersebut selepas musim menuai.

Masyarakat Melayu Kampung Gintong yang tinggal di pesisir Sungai Pahang, Jerantut antara yang masih mengekalkan warisan mengemping padi, iaitu satu proses menghasilkan makanan ringan untuk sajian bersama keluarga, jiran dan pengunjung selepas musim menuai.

Penduduk, Noraziah Kassim, 65, berkata, walaupun emping kini tidak lagi popular dalam kalangan generasi hari ini berbanding sebelum ini, warisan budaya orang Melayu di situ perlu sentiasa dihidupkan.

Ia bertujuan mencerminkan kehidupan petani di kawasan sawah yang harmoni dan kaya dengan semangat bergotong-royong.

“Setiap kali musim menuai berakhir, saya dan petani di sini akan berkumpul untuk buat emping. Padi daripada sawah seluas 200 hektar kami tuai dahulu, selepas itu barulah kami proses jadi emping untuk dimakan bersama keluarga dan jiran.

“Malah, emping ini turut dikenali dalam kalangan pengunjung termasuk wakil agensi kerajaan, pelajar universiti dan pelancong daripada luar yang singgah di kampung ini sebelum meneruskan perjalanan ke Taman Negara Kuala Tahan,” katanya di Kampung Gintong, Jerantut baru-baru ini.

Warga emas itu berkata, selain ditumbuk untuk makanan keluarga, hasil tanaman ini juga disimpan di kepuk (padi) untuk dibuat emping ketika keperluan bagi pihak Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) menyambut dan meraikan pengunjung yang singgah di situ untuk melihat proses membuat emping.

Proses membuat emping yang mudah menyebabkan ia masih diteruskan dalam kalangan orang-orang tua, namun semakin kurang diminati oleh generasi muda hari ini.

“Padi yang baharu dituai akan direndam selama satu hingga dua hari dan air rendaman perlu ditukar setiap hari supaya padi kekal segar.

“Selepas itu, padi digoreng menggunakan sudip buluh dan sabut kelapa hingga ia ‘meletup’ seperti bertih, sebelum dimasukkan ke dalam lesung indik untuk ditumbuk,” katanya.

Lesung indik atau lesung kaki, iaitu jenis lesung yang dipijak serentak oleh beberapa orang lelaki atau wanita digunakan untuk meleperkan padi menjadi emping dan ditampi sekali lagi untuk mengasingkan isi dan kulitnya.

“Di kampung ini, emping dimakan mengikut selera, sama ada dengan kuah santan dicampur gula kabung atau bersama kelapa parut muda dan gula yang digaul bergantung amalan orang-orang tua di beberapa tempat,” katanya.

ELAK DITELAN ZAMAN

Seorang lagi penduduk, Hariani Zakaria, 62, berkata proses menggoreng memerlukan padi dikacau tanpa henti dalam kuali panas sehingga kering sepenuhnya.

“Sekiranya tidak digoreng cukup panas, agak sukar mengasingkan ‘bahan’ atau kulit padi daripada isinya dan kemungkinan masih melekat selepas ditumbuk dan ditampi untuk mendapatkan emping,” katanya.

Hariani yang juga merupakan pesawah kampung itu berkata, tidaklah sesukar mana untuk membuat emping dan dia hanya melihat orang-orang tua sebelum mencuba menghasilkannya sendiri.

Katanya, golongan muda perlu mempelajari cara membuat emping bagi mengelakkan warisan pesawah padi pupus ditelan zaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Shahrul Nizam Harun, 46, berkata, aktiviti mengemping masih disuburkan oleh penduduk di situ kerana ada mengusahakan tanaman padi seluas 200 hektar berbanding tempat lain di negeri ini.

“Masyarakat di sini menyajikan emping ketika minum petang sesama keluarga dan jiran yang bertandang. Keunikan warisan mengemping kampung ini cukup dikenali oleh pengunjung luar kerana kampung ini antara destinasi pelancongan berasaskan budaya dan pertanian,” katanya.

Ujarnya, aktiviti tersebut sudah sinonim sebagai acara tahunan pentadbiran daerah itu untuk menarik pengunjung dari dalam dan luar daerah yang ingin melihat sendiri proses pembuatan emping, selain memperkenalkan tradisi ini kepada generasi hari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN