Sutra Semporna dalam fesyen

Sutra Semporna dalam fesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di satu sudut indah Borneo, terdapat komuniti unik yang hidup seiringan dengan laut iaitu masyarakat Bajau Laut. Mereka adalah penjaga warisan yang menjadikan laut sebagai rumah, ruang bermain dan sumber rezeki.

Di perairan jernih Semporna, Sabah, rumah panggung mereka terapung megah di atas air, berakar pada tradisi dan bergerak mengikut alunan kehidupan. Dunia mereka adalah warna, tekstur dan bunyian alam yang tidak dapat ditiru oleh mana-mana metropolis.

Minggu ini, inspirasi itu ditangkap dengan penuh cinta dan rasa hormat oleh seorang pereka muda, Afiq Rosdee, graduan program Sarjana Muda Reka Bentuk Fesyen (Kepujian) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Koleksi tahun akhirnya, Bajautopia, adalah terjemahan moden kepada kisah hidup masyarakat Bajau Laut, menerusi lensa fesyen kontemporari.

Bertemakan Prism & Horizon, Afiq menjadikan setiap helaian dalam koleksi ini sebagai naratif bukan sekadar pakaian, tetapi penghormatan terhadap kekuatan, ketahanan dan keindahan budaya asal-usulnya.

Menarik tentang Bajautopia ialah keupayaan Afiq menyatukan unsur tekstil semula jadi seperti jut dan linen ke dalam reka bentuk yang berstruktur dan berseni.

Dia tidak takut bermain dengan siluet besar dan teknik tenunan yang menggemakan dinding rumah tradisional Bajau.

Hasilnya adalah koleksi yang bukan sahaja memikat mata, tetapi juga mengangkat suara komuniti yang jarang diketengahkan dalam arus fesyen utama.

Kalau anda rasa terinspirasi untuk berfesyen ala Bajautopia, berikut beberapa gaya yang boleh dicuba untuk mencipta semula magis Borneo dalam stail harian.

Pertama, fokus pada pilihan aksesori yang organik. Barang kemas dan aksesori daripada rotan, manik kaca laut atau kulit siput akan menyerlahkan elemen asli yang bersahaja tetapi penuh karakter.

Kemudian, pilih tona warna bumi dan laut. Bayangkan biru laut, hijau lumut, dan pasir keemasan. Ia bukan sahaja menenangkan mata, malah menyatu dengan alam sekeliling.

Dari segi potongan pakaian, jangan takut untuk bereksperimen dengan siluet yang dramatik.

Padanan top berstruktur dengan seluar lurus atau kain tenun yang flowy boleh mencipta keseimbangan elegan dan unik.

Akhir sekali, mainkan tekstur dengan memilih fabrik yang tidak terlalu licin, berserat atau raw edges. Elemen ini bukan sahaja memberikan kedalaman visual tetapi membawa sentuhan kesenian dan ketukangan.

Dengan Bajautopia, Afiq Rosdee mengajak kita bukan sahaja untuk bergaya, tetapi menghargai, mendalami dan memperjuangkan keindahan budaya yang menjadi identiti negara.

Fesyen bukan sekadar rupa, ia adalah tentang rasa, akar dan keberanian untuk bercerita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN