Replika gergasi ikan nun menjadi tarikan utama dalam pameran tahunan 100 Heroes of Islam yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Denai Alam, baru-baru ini.
Pameran anjuran Seven Skies Islamic International School (SSIIS) itu bertujuan memperkasa pendidikan berteraskan nilai Islam dan teknologi moden.
Pengetua SSIIS, Djohann Iskandar Kwan Abdullah berkata, replika tersebut diilhamkan daripada kisah agung Nabi Yunus AS, yang menjadi antara tokoh utama yang ditonjolkan dalam pameran kali ini.
“Kisah Nabi Yunus AS ditelan ikan nun mengajar kita tentang keikhlasan taubat,keteguhan hati dan kasih sayang Allah yang tidak bertepi.
“Setelah meninggalkan kaumnya dan dihukum dengan ditelan oleh ikan besar, baginda bertaubat dengan penuh keinsafan di dalam perut ikan nun (disebut sebagai ikan paus oleh kebanyakan ulama).
“Dengan rahmat Allah, baginda diselamatkan dan dimuntahkan ke darat dalam keadaan lemah dan sakit. Allah SWT kemudian menunjukkan kasih sayangNya dengan menumbuhkan pokok labu atau yaqteen untuk memberi teduhan dan pemulihan kepada baginda,”katanya.
Tambahnya, bagi menghidupkan semula ibrah daripada kisah agung tersebut, kios pameran Nabi Yunus AS menawarkan pengalaman interaktif dan reflektif melalui aktiviti ‘penanaman biji labu’ sebagai simbol pemulihan dan harapan baharu mengingatkan para pengunjung kepada tumbuhan yaqteen yang Allah hadiahkan kepada baginda.
‘Pesanan dari Perut Ikan’ pula memberi ruang kepada pengunjung untuk menulis doa atau luahan hati di ruang simbolik menyerupai perut ikan, menggalakkan iperhubungan hati.
Djohann Iskandar yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam bidang pendidikan berkata,di kios pameran Fatimah al- Fihriyyah, pengunjung dibawa mengimbas kembali legasi wanita agung itu melalui paparan replika Universiti Al-Qarawiyyin yang diasaskan pada tahun 859 Masihi.
“Artifak pendidikan seperti manuskrip lama, kotak pensil dan pencetak tradisional serta hidangan Maghribi yang melambangkan budaya asal beliau dipamer bagi menghargai sumbangan besar sebagai pengasas universiti pertama di dunia dan simbol keunggulan wanita dalam dunia ilmu.
“Dalam lipatan sejarah Islam yang gemilang, nama Fatimah al-Fihriyyah terpahat sebagai seorang tokoh wanita luar biasa. Di Universiti Al-Qarawiyyin inilah para ilmuwan Islam dan bukan Islam berkumpul untuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang termasuk sains, perubatan, matematik, fiqh, bahasa dan falsafah,” katanya.
Lebih membanggakan, penubuhan institusi ilmu terulung ini dicetuskan oleh seorang wanita menjadi bukti jelas wanita Islam memainkan peranan penting dalam pembentukan tamadun dan penyebaran ilmu sejak zaman dahulu.
DEMONSTRASI INTERAKTIF
Kios pameran Ibnu Sina pula menjemput pengunjung mendekati dunia perubatan Islam zaman silam dengan paparan bahan herba, alat perubatan tradisional dan demonstrasi asas sains kesihatan.
“Inovasinya membina sebuah kincir angin yang membantu menyiram tanaman secara automatik, selain memudahkan penyediaan makanan untuk ternakan amat membanggakan. Pameran produk inovasi tersebut lengkap dengan kehadiran seekor kambing sebagai contoh haiwan ternakan.
“Ibnu Sina, seorang tokoh ilmuwan Islam yang terkenal dengan sumbangan besar dalam bidang perubatan dan falsafah, juga dikenali dengan kecerdikan dan kreativiti sejak zaman mudanya,” katanya.
Selain itu, pameran tersebut turut memaparkan tokoh dari Turki, Sultan Abdul Hamid II.
Suasana Empayar Uthmaniyyah dihidupkan dengan diorama Kereta Api Hijaz Uthmaniyyah serta manisan Turki yang disediakan oleh pelajar dan guru.
“Laluan tersebut menghubungkan Damsyik di Syria ke Madinah al-Munawwarah, merentasi lebih 1,300 kilometer padang pasir yang mencabar.
“Tujuan utama pembinaannya adalah untuk memudahkan perjalanan jemaah haji dari pelbagai wilayah Islam seperti Turki, Syam dan Iraq ke Tanah Suci secara lebih cepat, murah dan selamat. la juga menjadi strategi penting bagi memperkukuh pengaruh politik Uthmaniyyah di wilayah Hijaz serta menyatukan umat Islam di bawah panji khalifah.
“Walaupun operasinya tidak diteruskan, kesan sejarahnya masih dapat dilihat di beberapa negara seperti Jordan dan Arab Saudi,”jelasnya.
Tambahnya, Kereta Api Hijaz kekal sebagai lambang warisan agung dunia Islam yang mencerminkan kebijaksanaan dan visi besar Sultan Abdul Hamid II untuk membina perpaduan umat melalui inovasi dan kecintaan terhadap agama.
Pameran tahun ini menyaksikan kolaborasi istimewa pihak SSIIS bersama Light Art VR dalam memperkenalkan pengalaman realiti maya (VR) yang membolehkan pengunjung ‘menyelami kisah tokoh-tokoh Islam secara digital 6 dimensi (6D).
Sementara itu, Ketua Jabatan Pengajian Islam, Mohammed Brik berkata, pameran itu bukan sekadar menghidupkan kembali legasi tokoh-tokoh agung dalam sejarah Islam tetapi mendedahkan pengunjung dengan kurikulum di SSIIS.
SSIIS yang sudah wujud sejak beberapa tahun lalu mengaplikasikan kurikulum Early Years Foundation Stage (EYFS) United Kingdom(UK) untuk prasekolah, UK National Syllabus untuk sekolah rendah dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) Cambridge bagi sekolah menengah.
“Pelajar turut menerima pendidikan islam menyeluruh yang merangkumi Pengajian al-Quran, Pengajian Islam dan Bahasa Arab. SSIIS juga telah menerima pengiktirafan sebagai Elite Winner bagi Anugerah Kurikulum Inovasi Private Education Entrepreneur Association of Malaysia (PEEAM) atas dedikasi dan komitmennya dalam menawarkan pendidikan bersepadu yang menyeluruh, seimbang antara keperluan duniawi dan ukhrawi,” katanya..-UTUSAN










