Esok, negara akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-68. Memandangkan semua bercuti, apa kata hidangkan menu istimewa, nasi lemak Jalur Gemilang.
Bukan sahaja cantik, malah dapat menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan ahli keluarga. Jom cuba.
Bahan-bahan:
-1 cawan beras (basuh dan toskan)
-1 genggam beras pulut (untuk dapatkan tekstur yang melekat)
-1 cawan santan cair
-1 helai daun pandan (simpul)
-Sedikit hirisan halia
-1 ulas bawang merah (ketuk)
-1 batang serai (ketuk)
-½ sudu kecil halba (pilihan jika suka aroma lebih harum)
-Garam secukup rasa
Cara masak nasi:
*Bahagikan kepada dua bahagian (1 untuk nasi putih biasa dan untuk nasi warna biru)
1. Masukkan semua bahan dalam periuk nasi.
2. Gaul rata, biar rasa masin lemak secukupnya.
3. Masak seperti biasa.
4. Untuk nasi berwarna biru, masukkan pewarna biru bagi mendapatkan warna yang lebih cantik. Boleh juga gunakan pewarna semula jadi daripada bunga telang.
Sambal Tumis
-10 biji cili kering (rendam dan rebus lembut. Kemudian, kisar halus)
-3 ulas bawang merah
-1 ulas bawang putih
-1 sudu besar asam jawa + ½ cawan air
-1 sudu besar gula merah / gula biasa
-Garam secukup rasa
-Minyak masak
Cara masak sambal:
1. Tumis bahan kisar sampai pecah minyak dan naik bau.
2. Masukkan air asam jawa, gula dan garam.
3. Masak hingga sambal pekat dan seimbang pedas serta sedikit manis.
Lauk dan Hidangan
-Telur rebus (potong bentuk bintang dengan hujung pisau)
-Telur dadar (digoreng atas kuali tidak melekat dan dibuat bentuk bulan)
-Ikan bilis (goreng garing)
-Kacang tanah (goreng)
-Timun (dihiris)
Cara Hias Nasi Lemak
-Gunakan bekas berbentuk hati untuk mendapatkan hasil yang tepat.
-Letak nasi berwarna biru dan putih seperti dalam gambar.
-Hias sambal di atas nasi membentuk jalur bendera. (Boleh juga gunakan piping bag supaya lebih mudah).
-Buat jalur sambal sebanyak empat jalur.
-Buat pucuk bunga raya.
-Hias telur rebus dan telur dadar menjadi bulan dan bintang.
-Hias telur dadar yang berbentuk bulat kecil pada hujung bunga raya.
-Letakkan pinggan nasi lemak itu di atas daun pisang.










