Asimetri pemberontakan Jesselton

Asimetri pemberontakan Jesselton

dIMENSI dramatik melalui potongan dan tekstur menjadi kekuatan rekaan ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Potongan asimetri, tekstur berlapis serta perincian utiliti kasar memberi dimensi dramatik pada koleksi fesyen ini.

Seolah-olah membangkitkan kembali naratif ketidakseimbangan di era perang.

Ditambah pula dengan penggunaan palet warna kelabu dan biru-kelabu yang menggambarkan penentangan senyap serta emosi mendalam.

Pereka muda, Nurul Syafiqah Nayan, 22, berkata, koleksi itu mengangkat kisah sejarah yang kurang dikenali iaitu pemberontakan Jesselton di Sabah pada 10 Oktober 1943.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Fesyen di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini tertarik dengan semangat perjuangan senyap yang ditunjukkan oleh rakyat tempatan semasa zaman penjajahan Jepun.

“Kisah ini membuka mata saya tentang keberanian dan kekuatan dalaman yang tidak selalu ditonjolkan secara lantang tetapi memberi impak besar.

“Daripada situ, saya mula terfikir bagaimana menterjemahkan rasa dan emosi dalam sejarah Jesselton melalui bentuk, tekstur, warna dan potongan pakaian.

“Saya mahu mengangkat kisah sejarah secara visual dan simbolik supaya pemakainya bukan sekadar memakai, tetapi juga membawa satu cerita,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, pemilihan siluet moden dengan potongan berstruktur memberikan gambaran kekuatan dan ketegasan.

Dia turut meng­gabungkan tekstur fabrik berat dan berlapis bagi mengekspresikan beban sejarah dan kenangan dalam kisah Jesselton.

Tempoh selama empat bulan diambil bagi menyiapkan koleksi bertajuk Resistansi Senyap itu.

Antara cabaran yang dilaluinya ialah untuk menyempurnakan teknik jahitan dan kemasan seperti zip, kain tampal serta ikat celup agar konsisten dengan konsep.

“Teknik ikat celup secara berperingkat digunakan bagi menghasilkan kesan ombre.

“Ombre melambangkan kenangan yang pudar dan perubahan emosi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×