Suami isteri pekak gigih jual koktel jeli

Suami isteri pekak gigih jual koktel jeli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAMBAR isyarat terima kasih, sama-sama, assalamualaikum dan helo terpampang kemas di hadapan gerai kecil milik pasangan pekak ini.

Ia bukan sekadar hiasan, tetapi petunjuk awal yang mereka berkomunikasi tanpa suara.

Mohd. Yusoff Yahaya, 42, dan isterinya Asma Nurhaili Salim, 44, memulakan perniagaan minuman koktel jeli berwarna-warni di Desa Pandan, Kuala Lumpur sejak setahun lalu.

Langkah berani itu diambil demi mencari sumber pendapatan yang lebih stabil selepas berhenti kerja sebagai pemandu e-hailing.

“Sebelum ini saya bawa Grab tetapi terpaksa berhenti sebab sakit buah pinggang dan saraf.

“Dengan sokongan isteri yang merupakan suri rumah, kami cuba nasib berniaga berbekalkan modal serendah RM500 sahaja,” kata Mohd. Yusoff baru-baru ini.

Sesi temu bual ini diterjemahkan oleh anak sulungnya, Muhammad Al Amin yang boleh berbahasa isyarat dan sering membantu ibu bapanya di gerai.

Selain koktel jeli berharga RM7, Mohd. Yusoff turut menjual air limau kasturi berharga RM4 untuk bekas kecil dan RM5 (bekas besar).

Menceritakan cara pembuatan minuman itu, katanya, resipi dipelajari melalui perkongsian di TikTok.

Katanya, segala proses penyediaan termasuk memasak jeli yang mengambil masa kira-kira dua jam itu dilakukan sendiri tanpa bantuan isteri.

Selain berniaga di gerai, pasangan ini turut menyertai acara-acara bagi meningkatkan lagi jualan.

Raih RM3,000 sebulan
Mohd. Yusoff bersyukur perniagaan kecilnya itu mendapat sambutan menggalakkan dan mampu menjana pendapatan mencecah RM3,000 sebulan.

Dengan rezeki itu juga dia dapat menyara keluarga dan menampung persekolahan empat anak yang berusia antara empat hingga 13 tahun.

Seperti keluarga lain, katanya, mereka tidak lari daripada dihimpit masalah kewangan.

“Dulu, saya selalu lewat bayar yuran sekolah anak-anak dan terpaksa berjimat-cermat dalam semua segi.

“Alhamdulillah, kehidupan sekarang sederhana baik dan segala perbelanjaan sekolah serta kereta tidak pernah tertangguh,” katanya.

Mereka turut menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM450 setiap seorang selain zakat sebanyak RM500.


Guna kaedah visual dengan anak
Pasangan ini bertuah kerana keempat-empat anak mereka adalah normal dari segi pendengaran dan pertuturan.

Asma Nurhaili berkata, seawal mungkin anak-anak diajar menggunakan bahasa isyarat sebagai bahasa pertama mereka.

Dia turut bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang baik dan sangat mudah diajar.

“Kami tidak dapat mengajar anak-anak membaca seperti ibu bapa normal lain.

“Kaedah yang digunakan adalah secara visual dengan menunjukkan objek, barang, warna atau apa sahaja diikuti bahasa isyarat,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN