Sambil berlari pun boleh melukis?

Sambil berlari pun boleh melukis?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KREATIF! Ada-ada sahaja idea orang kita. Ada kura-kura, rama-rama, kucing, tirannosaurus, anak anjing, orang lidi pegang belon, bunga raya, keris dan macam-macam lagilah ‘lukisan’ yang mereka hasilkan.

Lebih mengagumkan, semua karya ini dihasilkan tatkala beriadah. Dengan menggabungkan sedikit imaginasi, jam pintar dan kudrat, sambil berlari pun mereka boleh melukis!

Fenomena sebegini kini menjadi satu trend dalam kalangan mereka yang aktif berlari dan hiking.

Dalam media sosial, mereka berlumba-lumba menunjukkan kejayaan menghasilkan karya-karya sebegini.

Mereka menceritakan pengalaman masing-masing dan tidak lokek berkongsi petua.

Takut ketinggalan atau fear of missing out (fomo) seperti kata budak-budak gen Z sekarang, saya sahut cabaran berkarya sambil beriadah ini.

Pilihan saya? Mahu lukis siput senyum di Putrajaya.

Untuk tujuan ini, terlebih dahulu saya memperoleh fail GPX yang menyimpan data sistem kedudukan sejagat (GPS) daripada netizen yang pernah melakukannya.

Dalam fail berkenaan mempunyai laluan-laluan perlu saya ikut yang kemudian dimuat turun ke dalam jam pintar.

Laluan-laluan inilah yang akan membentuk imej yang mahu dihasilkan. Jadi, wajib ikut kerana kalau tidak, tidak menjadilah ‘lukisan’ tersebut.

Dalam peta, untuk menghasilkan ‘lukisan’ siput senyum ini, jarak perjalanan yang perlu ditempuhi adalah kira-kira 13 kilometer.

Mencabar jugalah untuk berlari dalam jarak sebegini, tapi saya tetap mahu cuba.

Maka, bermulah misi saya dari Marinara Putrajaya. Berpandukan navigasi pada jam pintar, saya mula berlari-lari anak mengikut laluan-laluan ditetapkan di sekitar pusat pentadbiran ibu negara itu.

Di peringkat permulaan banyak kelebihan berpihak pada saya. Hari itu cuti hujung minggu, tidak banyak kenderaan, maka mudah untuk saya melintas jalan.

Begitu juga cuaca. Paginya hujan maka sejuklah sikit rasanya.

Mulalah rasa sedikit riak seraya hati berkata, “senang dan cepatlah nampaknya aku boleh habiskan lukis siput senyum ini.”

Bagaimanapun, ia tidak semudah yang saya jangkakan. Laluan-laluannya banyak berbukit. Tahap kecergasan saya pula bukan seperti atlet, mencungap setiap kali mendaki.

Kemuncak cabaran adalah pada kilometer ke-10. Dengan kecerunan hampir 70 meter, saya terpaksa mendaki dan mengelilingi Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sejauh kira-kira 500 meter.

Ketika itu tenaga sudah habis diperah, rasa penat yang teramat sangat. Otot betis hampir kejang, lutut terasa sedikit pedih seperti dihiris pisau.

Air dalam botol minuman berkapasiti 500 milimeter sudah habis diteguk. Sama juga dengan gel tenaga yang dibawa, pun habis disedut.

Baju dan seluar jangan ceritalah, basah dek peluh, macam kena simbah air. Mulalah timbul penyesalan.

Hati pun berbisik, “kenapalah aku buat kerja bodoh ini?” Rasa macam nak menyerah kalah sahaja!

Mengenangkan mahu berkongsi pengalaman ini dalam media sosial, saya kuatkan semangat untuk menghabiskan misi.

Mujurlah lagi dua kilometer nak sampai ke lokasi penamat, laluannya banyak yang menuruni bukit.

Akhirnya, selepas berlari dan berjalan sejauh 12.52 kilometer dalam tempoh dua jam 12 minit, saya berjaya menyiapkan ‘lukisan’ siput senyum.

Puas, bangga pun ada ketika usia sudah masuk 5-siri ini! Kini, barulah saya faham kenapa ramai sukakan aktiviti sebegini.

Ia memberikan satu motivasi kepada mereka untuk menamatkan misi kerana ada cabaran-cabaran perlu dilalui.

Apabila berjaya, ia mencetuskan satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Paling penting, badan dan minda menjadi lebih sihat melakukannya.

Kalau ditanya sama ada saya mahu ‘melukis’ imej-imej lain, pasti jawapannya, ya! Ini kerana setiap ‘lukisan’ ada cabaran-cabaran tersendiri.

Saya difahamkan, ada yang terpaksa merangkak. Tidak kurang juga yang sesat kerana tersilap laluan. Hmm…rasanya selepas ini nak ‘lukis’ unicorn di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pula!

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN