Sehingga kini, masih tiada langkah berkesan untuk memastikan tiada lagi kewujudan kes baharu HIV di negara ini.
Justeru, pendekatan pengurangan kemudaratan diwujudkan dalam konteks kesihatan awam bagi mengurangkan kesan buruk sesuatu perlakuan, tanpa semestinya menghapuskannya sepenuhnya.
Presiden Harm Reduction Action Network (HaRAN), Dr. Anita Suleiman berkata, langkah tersebut bukan bermakna menggalakkan kegiatan seks bebas dan membiarkan risiko HIV terus menular.
Namun, ia merupakan satu-satunya langkah terakhir untuk memastikan penurunan kes HIV di negara ini secara signifikan.
Ketagihan penggunaan dadah secara berlebihan dan berhubungan intim secara tidak dikawal amat sukar untuk dibendung, malah sukar untuk membuat seseorang berhenti.
Dalam usaha menangani penularan HIV secara lebih berkesan dan realistik, pendekatan pengurangan kemudaratan terbukti sebagai salah satu strategi paling berkesan yang juga diamalkan di negara-negara lain.
“Pendekatan ini tidak memaksa individu meninggalkan terus tabiat berisiko itu.
“Sebaliknya, langkah ini memberi mereka sokongan dan alat bagi mengurangkan risiko jangkitan,” katanya dalam program Persidangan Meja Bulat Pengurangan Kemudaratan baru-baru ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan 60 peratus bersamaan 49,200 individu daripada 82,000 orang yang hidup dalam kalangan HIV di seluruh negara pada akhir tahun 2024, masih belum disaring dan didiagnosis.
Data tersebut menimbulkan kebimbangan kerana individu yang dijangkiti HIV lazimnya tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal jangkitan, menjadikan pengesanan awal semakin sukar.
Salah satu inisiatif utama dalam pendekatan ini ialah program pertukaran jarum bersih.
Menerusi program tersebut, pengguna dadah dibekalkan dengan jarum suntikan baharu secara percuma.
Katanya, selain mengurangkan risiko penularan HIV, ia juga dapat menghindari peningkatan penyakit Hepatitis B dan C yang sering berlaku akibat perkongsian jarum kotor.
Inisiatif tersebut juga membuka ruang kepada penagih untuk mendapatkan rawatan dan khidmat sokongan yang diperlukan.
Selain itu, inisiatif seperti pembekalan kondom secara percuma kepada golongan berisiko tinggi seperti pekerja seks, remaja, pasangan sesama jenis dan pengguna dadah terus diperkukuh.
“Penyediaan kondom secara mudah dan terbuka ini dapat menghalang penularan HIV dan jangkitan penyakit kelamin lain.
“Ia juga mendidik masyarakat tentang pentingnya hubungan seksual yang selamat dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Kaedah itu juga dapat membantu mengurangkan kehamilan yang tidak dirancang terutama dalam kalangan remaja.
TERAPI GANTIAN METHADONE
Anita berkata, langkah menggantikan heroin dengan methadone merupakan langkah terbaik menurunkan risiko perkongsian jarum.
Katanya, sifat dadah methadone lebih selamat dan tidak menyebabkan kesan euforia yang berbahaya, sekali gus dapat diberi atau diambil secara terkawal kepada penagih.
Melalui rawatan tersebut , penagih dapat mengurangkan kebergantungan secara berperingkat, sekali gus mengurangkan keperluan untuk menyuntik dadah.
Katanya, industri kesihatan yakin langkah tersebut dapat membantu menstabilkan gaya hidup penagih dan mengurangkan kadar jenayah berkaitan bahan terlarang itu.
Malah, penggunaan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP)pada masa kini semakin diiktiraf sebagai kaedah pencegahan tambahan yang sangat berkesan.
“PrEP merupakan ubat yang diambil setiap hari oleh individu yang belum dijangkiti HIV tetapi berada dalam kategori berisiko tinggi seperti pasangan kepada individu HIV positif.
“Sekiranya diambil secara konsisten, PrEP mampu mencegah penularan HIV dengan keberkesanan sehingga 99 peratus melalui hubungan seksual.
“Ia melengkapi langkah pencegahan lain seperti penggunaan kondom dan saringan berkala serta memberi lebih banyak pilihan kepada individu untuk melindungi diri,” katanya.
Beliau berharap penggunaan PrEP dapat mengembalikan momentum pengurangan kes dalam lima tahun akan datang.
PENGURANGAN KEMUDARATAN DALAM ISLAM
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, ] program-program yang dijalankan bagi langkah pengurangan kemudaratan HIV dan AIDS tidak bercanggah dengan peraturan Islam.
Katanya, isu HIV bukan dianggap sebagai masalah kesihatan semata-mata memandangkan Pesakit HIV juga mempunyai hak-hak sebagai manusia.
Pesakit tidak sepatutnya dianggap sebagai beban, sebaliknya perlu disantuni dengan kasih sayang untuk mengajak mereka kembali ke pangkal jalan.
Justeru, golongan itu layak menerima rawatan, di samping masyarakat bekerjasama membimbing pesakit HIV agar boleh kembali ke kehidupan yang normal.
Dalam konteks rawatan penyakit seperti HIV, doktor dan petugas kesihatan bukan sekadar menjalankan tugas perubatan.
“Malah kakitangan kesihatan berperanan sebagai individu yang menyebarkan kasih sayang dan harapan kepada pesakit.
“Mereka menjadi jambatan antara pesakit dan peluang untuk membina semula kehidupan bukan hanya dari aspek kesihatan fizikal, tetapi juga daripada segi emosi, mental dan spiritual,” jelasnya.
Pendekatan penuh empati oleh petugas kesihatan mampu menyuntik semangat baharu kepada pesakit yang mungkin telah hilang arah dan keyakinan diri.-UTUSAN










