Siapa sangka kain cadar dan langsir terpakai boleh diangkat menjadi busana fesyen eksklusif.
Itulah kelainan yang bakal dibawa oleh pereka muda tanah air, Salahuddin Hilmi, 27, sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2025.
Katanya, ilham untuk mengolah semula barangan itu selari dengan segmen Rekaan Demi Kelestarian yang disertainya.
“Selain cadar dan langsir, saya turut menggunakan fabrik daripada beg galas serta baju hujan.
“Koleksi sulung ini menampilkan sebanyak 12 busana feminin serta uniseks dengan menggunakan rona asas seperti hitam, putih dan biru navy,” katanya selepas majlis pelancaran KLFW baru-baru ini.
Salahuddin merupakan antara tiga pereka yang terpilih dalam segmen khas itu bersama-sama Raja Irfan dan Mei Mei.
Penyertaan mereka susulan kemenangan dalam pertandingan Pencarian Pereka KLFW 2024, tahun lalu.
Katanya, proses penyediaan koleksinya kini sudah mencapai tahap 80 peratus dan dijadualkan diperagakan pada hari ketiga, iaitu 6 Ogos depan.
Sementara itu, Pengasas KLFW, Andrew Tan berkata, edisi ke-13 acara fesyen terbesar negara itu bakal menampilkan lebih 55 pereka dan jenama tanah air.
Antaranya termasuk kemunculan semula pereka fesyen terkenal seperti Ezzati Amira, Hatta Dolmat, Maarimaia, Mimpikita, Neonate dan Private Stitch.
Masing-masing bakal mempersembahkan koleksi yang melangkaui sempadan dan menyumbang kepada kepelbagaian gaya di pentas KLFW.
Turut menjadi tumpuan ialah barisan bintang baharu seperti Akmal Hakim, ShazNash, Ugly Pretty, Huntilanak dan Mokjy.
“Satu lagi penampilan yang sangat dinantikan ialah daripada Radzuan Radziwill dan artisan bespoke, Teh Firdaus, yang masing-masing dikenali dengan sentuhan couture ikonik buat selebriti A-lister dan kerabat diraja,” katanya.
KLFW berlangsung selama seminggu dari 4 hingga 10 Ogos bertempat di lokasi sama iaitu Esplanade, Taman KLCC.










