Jenayah kopiah putih moden dan purba

Jenayah kopiah putih moden dan purba

akhir-akhir ini sering tular mengenai individu berpewatakan agamawan melakukan perbuatan tidak senonoh. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekali lagi kain putih yang dipakai agamawan negara dicemari secalit dakwat hitam ditumpahkan segelintir individu yang menumpang jubah, serban serta kopiah agamawan demi kepentingan nafsu serakah. Begitulah lumrahnya, mata lebih mudah tertumpu pada tompokan hitam yang secalit berbanding putih sucinya ratusan ela si kain putih.

Masyarakat gempar dengan pendedahan terbaharu melibatkan salah laku seorang lelaki yang berpewatakan seorang agamawan. Tidak perlu diulas lanjut perincian jenayahnya, cukuplah ia menjadi pengajaran kepada semua betapa pakaian luaran mudah menipu. Inilah yang Allah gambarkan pada pakaian tipu yang diperagakan si munafik.

Firman Allah SWT bermaksud: Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan keterampilan); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih)… (al-Munafiqun 63:4).

Cakap golongan ini juga sangat manis sehingga boleh menyebabkan pendengar terkena sakit kencing manis yang memudaratkan jiwa dan raga.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya) dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan (al-Baqarah 2:204-205).

Agama adalah pembimbing manusia. Manusia tidak mampu hidup sebagai manusia yang hakiki tanpa bimbingan agama. Manusia yang tidak beragama seumpama layang-layang tidak bertali. Walaupun bebas terbang di udara tanpa batas dan kekang, ia berkemungkinan jatuh terhempas tanpa kubur atau nisan.

Agama juga seumpama perisian jiwa yang diperlukan manusia. Sebuah komputer super tidak mampu berfungsi sempurna tanpa perisian yang setanding dengannya. Begitu juga manusia! Hidupnya akan hilang fungsi serta matlamat tanpa perisian jiwa. Oleh itu, agamawan yang

Allah muliakan dengan ilmu agama perlu bertanggung jawab membimbing manusia ke jalan yang benar. Tugas mereka melengkapkan jasad kasar manusia dengan perisian jiwa berasaskan agama adalah tugas murni yang sangat besar. Pastinya Rasulullah SAW tersenyum menyambut anda di telaga Kawthar baginda kelak kerana anda telah menyambung tugas baginda.
meninggalkan perbuatan

Firman Allah SWT bermaksud: Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya (Ali ‘Imran 3:79).

Hujung ayat ini sangat relevan dengan kemuliaan ilmu yang Allah SWT berikan kepada para agamawan. Selain itu, ia juga memberi amaran keras lagi tegas kepada agamawan agar tidak menunggang agama demi kepentingan sendiri sebagaimana yang pernah dilakukan ilmuwan Ahli Kitab.

Pun begitu, agama juga boleh menjadi racun berbisa jika tiada keikhlasan di hati. Janji dan kilauan agama boleh menjadi umpan yang senang disambar mangsa. Fenomena menunggang agama untuk kepentingan peribadi bukan perkara baharu. Ia ialah ulangan sejarah manusia berilmu yang jahat ribuan tahun dahulu.

Firman Allah SWT bermaksud: Wahai orang beriman! Sesungguhnya banyak di antara para pendeta dan agamawan (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya (al-Tawbah 9:34).

Firman Allah SWT: Dan Kami pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di serata) dunia ini. Antara mereka ada yang soleh dan ada juga yang tidak demikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat). Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata: “Akan diampunkan kelak dosa kami” padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi. Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya? Dan juga (mereka mengetahui bahawa) negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mahu mengerti? (al-A’raf 7:168-169).

Oleh itu, agamawan di luar sana perlu sentiasa bermuhasabah agar yang tempang serta cacat pada diri sendiri segera disedari dan dibaiki. Jangan sampai agama yang mulia ini dipandang tempang atau cacat kerana salah laku anda. Ingat! Anda sepatutnya berada pada baris hadapan menjaga agama sesuai dengan Maqasid atau Objektif Syariah yang utama iaitu menjaga agama dari pencerobohan, penyelewengan atau pengabaian.

Ayuh kita amalkan doa Nabi SAW ini agar ia mampu mengekang nafsu yang sukar untuk kenyang mahu meraih untung gelap dengan menunggang agama.

Doa baginda SAW bermaksud: “Ya Allah! Aku mohon perlindugan dengan-Mu dari ilmu yang tidak memberi manfaat, dari hati nurani yang tidak tunduk (kepada kebesaran, keagungan Allah), dari nafsu yang tidak kenyang dan dari doa yang tidak diperkenankan (Sahih Muslim, 2722).-UTUSAN

Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) adalah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Masyarakat Pusat Bahasa UIAM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN