Daripada kru kabin yang berkhidmat selama 15 tahun, kini lelaki ini mengukir nama dalam dunia seni hiasan menggunakan belon.
Bukan sekadar belon biasa, tetapi belon bunga yang dihasilkan dengan kreativiti tinggi hingga mampu menarik perhatian komuniti luar negara.
Syed Shahrizal Syed Othman, 44, atau dikenali sebagai Abang Belon mula berkecimpung dalam dunia belon sejak 10 tahun lalu.
Namun, hanya dua tahun kebelakangan ini, dia memberi sepenuh tumpuan kepada bidang tersebut.
“Saya bermula dengan membuat penghantaran kejutan dan tempahan belon, cuma sekarang saya fokus sepenuhnya pada seni belon bunga,” jelasnya.
Katanya, keghairahan menghasilkan belon timbul apabila melihat reaksi gembira pelanggan.
Selain itu, dia juga merupakan antara perintis yang memperkenalkan konsep belon bunga di Malaysia ketika pandemik Covid-19.
“Masa tu belum ramai buat belon bunga dan saya ambil peluang mempelajarinya.
“Siapa sangka, teknik unik ini mendapat perhatian dari luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Filipina,” katanya.
Syed Shahrizal berkata, ada segelintir yang menyangka hasil kerjanya itu adalah rekaan komputer atau kecerdasan buatan (AI).
“Ramai yang tidak percaya itu belon dan mereka sangka ia hasil AI,” tambahnya.

ANJUR KELAS
Disebabkan keunikan sentuhannya, dia turut menerima permintaan untuk mengendalikan kelas belon dari luar negara, namun buat masa ini fokusnya tertumpu kepada pasaran tempatan.
Malah, dia juga bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) melalui Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKJP).
Program itu bertujuan melatih mereka yang berminat untuk menceburi bidang belon secara lebih serius.
Kini, Syed Shahrizal giat memperluaskan kelas seni belon ke tahap lebih tinggi termasuk teknik lanjutan dan rekaan 3D.
“Sebelum ini kita hanya ajar dekorasi biasa. Tapi selepas ini, kita nak pergi lebih jauh dan belajar teknik kompleks,” katanya.
Menariknya, banyak idea baharu muncul secara spontan, terutama semasa sesi siaran langsung di media sosial.
Katanya, media sosial memainkan peranan sangat penting dalam mempromosikan perniagaan belonnya.
“Jangan terkejut, ramai orang suka tengok proses kreatif kita buat sesuatu secara langsung,” katanya.
Namun dia tidak selalu melakukan siaran langsung, tetapi apabila dilakukan, impaknya sangat besar.
“Bila kita buat live, algoritma media sosial membantu menaikkan kandungan.
“Dulu masa saya aktif buat live, saya bayangkan orang nak tengok hasil akhir tu. Sampai ada siaran yang mencecah 1.5 juta tontonan dengan engagement mencecah 80,000,” jelasnya.
Katanya, tanpa media sosial, agak sukar untuk perniagaan kreatif sepertinya berkembang.
“Kalau tiada media sosial, bagaimana nak buat pemasaran dan susah untuk perniagaan bergerak,” katanya.

CIPTA ABC
Syed Shahrizal berkata, antara cabaran terbesar dalam penghasilan belon adalah ketahanan kerana sifat material lateks mudah kecut dalam masa singkat.
“Sebab itu saya cipta satu produk khas, penjagaan belon mutlak (ABC) bagi melindungi belon agar dapat tahan lebih lama sehingga dua minggu,” jelasnya.
Dari segi rekaan pula, inspirasi banyak datang daripada media sosial luar negara, namun diolah dengan identiti sendiri.
“Saya tak salin bulat-bulat dan cuba ubah ikut kreativiti. Sebab itulah produk saya lain daripada lain, eksklusif dan asli,” katanya.
Syed Shahrizal percaya identiti adalah kunci dalam membina keunikan sesuatu jenama.
“Sebab itu orang sanggup bayar lebih untuk belon saya, contohnya, belon berharga RM100 tapi kos penghantaran RM200 namun mereka sanggup membayarnya kerana nilai kreativiti,” kongsinya.
Tambahnya, pelanggan di Malaysia juga menggemari barangan eksklusif yang tidak boleh didapati di tempat lain.
“Itulah kekuatan saya cipta sesuatu yang susah ditiru. Sebab itu pelanggan datang balik,” katanya.
Sementara itu, katanya, aspek teknikal dalam mengendalikan belon tidak boleh dipandang ringan.
“Kena tahu jenis belon sesuai untuk dalam atau luar bangunan. Jangan pam terlalu banyak. Semua ini kena belajar daripada pengalaman,” katanya.










