Sindrom Stockholm dorong mangsa jatuh cinta dengan pendera

Sindrom Stockholm dorong mangsa jatuh cinta dengan pendera

mangsa memilih bersama pendera walaupun didera fizikal dan emosi disebabkan Sindrom Stockholm.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai tertanya-tanya mengapa segelintir mangsa penderaan rumah tangga memilih untuk kekal dalam hubungan toksik?

Fenomena ini sukar difahami, tetapi dapat dijelaskan melalui satu keadaan psikologi yang dikenali sebagai Sindrom Stockholm.

Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zaireeni Azmi berkata, sindrom tersebut merujuk kepada situasi di mana mangsa mengalami keterikatan emosi terhadap pendera.

Walaupun kedengaran ganjil dan bertentangan dengan logik, keadaan tersebut dikenal pasti dalam pelbagai insiden penderaan jangka panjang.

Mangsa menganggap pendera adalah penyelamat dan bukan ancaman.

Malah, sesetengah mangsa sanggup bertindak mempertahankan si pendera daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Justeru, dalam isu keganasan rumah tangga yang mana mangsa masih memilih untuk kekal bersama dengan pasangannya, dapat dikaitkan dengan Sindrom Stockholm.

“Walaupun mempunyai kerjaya dan kebebasan bergerak, namun, ramai wanita tetap kembali ke rumah yang penuh penderaan kerana kawalan emosi dan psikologi yang mendalam oleh si pelaku.

“Kuasa dan manipulasi yang digunakan oleh si pelaku membuatkan mangsa berasa takut, terikat dan tidak mampu melepaskan diri walaupun secara zahirnya mereka kelihatan bebas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

STIGMA TERHADAP MANGSA

Lebih menyedihkan, dalam situasi tersebut, beban stigma sentiasa diletakkan ke atas wanita.

Apabila mangsa mengambil keputusan untuk kekal dalam hubungan akan dikata bodoh tetapi kalau keluar, dilabel janda, gagal dalam rumah tangga atau tidak tahu sabar.

Masyarakat masih terlalu cepat menghukum tanpa memahami konflik dalaman yang dialami oleh mangsa.

Katanya, wanita yang cuba keluar daripada hubungan keganasan rumah tangga juga sering tersepit dengan rasa bersalah, malu dan ketakutan terhadap penerimaan masyarakat.

“Terdapat mangsa yang terpaksa bertahan kerana anak-anak, malah ada yang tidak mampu berdikari daripada segi kewangan kerana tidak pernah bekerja dan menguruskan duit sendiri.

“Bahkan, ramai yang tidak mendapat sokongan dari keluarga sendiri, sebaliknya, percaya seorang isteri layak dipukul jika melakukan kesalahan. Hal ini membuatkan wanita tersebut tiada tempat untuk berpaut,” katanya.

Tambahan pula, sistem sokongan seperti pihak berkuasa dan agensi berkaitan kadangkala kurang empati dan tidak cukup terlatih untuk menangani kes penderaan dengan berkesan.

Lebih membimbangkan, mereka masih terperangkap dalam naratif lapuk keganasan rumah tangga perlu diselesaikan secara dalaman.

Berdasarkan kes-kes sebelum ini, apabila wanita hadir untuk membuat laporan, mereka disuruh sabar, maafkan dan menjaga aib suami, seolah-olah keselamatan dan maruah dirinya tidak penting.

Ini semua mencerminkan kegagalan sistem untuk memahami betapa sukarnya proses keluar daripada hubungan yang menyakitkan.

Terdapat kajian menunjukkan wanita yang didera, kemudian mengalami sindrom Stockholm mampu bertahan selama lebih kurang lima tahun sebelum benar-benar sedar pasangan tidak akan berubah.

Katanya, undang-undang sedia ada belum mencukupi jika pelaksanaannya kurang telus dan tidak disertai dengan kefahaman serta empati daripada pihak berkuasa.

“Kita perlukan pendidikan kepada masyarakat, latihan kepada pegawai yang menerima aduan serta jaringan sokongan yang benar-benar berfungsi. Mangsa perlu rasa selamat dan disokong, bukan dipersalahkan,” katanya.

Selain itu, masyarakat harus berhenti menyalahkan mangsa dan jangan ditambah lagi dengan beban stigma yang menjadikan mereka lebih sunyi dan tersepit.

Masyarakat perlu memahami keganasan rumah tangga bukan salah mangsa dan mewujudkan persekitaran yang membolehkan mangsa bertindak wajar demi keselamatan tanpa rasa takut atau malu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN