Ketekunan dan iltizam mendalam terhadap ilmu menjadikan anak jati Kampung Batu Yon, Bukit Betong ini antara tokoh akademik dan penulis ilmiah paling prolifik di negara ini.
Sepanjang lebih 30 tahun berkhidmat di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Rasid Muhamad menerima empat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) masing-masing pada tahun 1999, 2003, 2008 dan 2014 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam dunia akademik.
Ketokohan beliau turut diangkat melalui penganugerahan Tokoh Khidmat Masyarakat UiTM Pahang pada tahun 2007 dan 2009 serta Tokoh Penulis UiTM Pahang bagi tahun 2010 dan 2015.
Paling membanggakan, beliau dinobatkan sebagai Penulis Prolifik oleh Kumpulan Karangkraf pada tahun 2015.
Fokus utama penulisan Dr. Haji Rasid banyak berkisar kepada bidang sejarah peradaban Islam, ketamadunan, pemikiran Islam, pengurusan berteraskan syariat serta isu-isu semasa melibatkan cabaran ummah menghadapi era globalisasi.
Baginya, penulisan bukan sekadar memenuhi kehendak akademik atau pasaran, tetapi menjadi medan jihad intelektual untuk menyampaikan fikrah Islam secara berkesan dan bersandarkan hujah yang kukuh berpandukan al-Quran dan Sunnah.
Beliau percaya, penulisan ilmiah yang tersusun dan menyentuh kehidupan sebenar masyarakat mampu menggerakkan kesedaran membina ummah yang lebih celik ilmu, kritis dalam pemikiran dan akhlak yang mantap.
“Menulis satu amanah dan tanggungjawab untuk menyampaikan pesan-pesan kebenaran serta menyumbang dalam usaha memandaikan ummah sekadar yang saya mampu,” ujarnya yang masih menulis aktif menulis..
Rasid membuktikan pena adalah senjata dakwah paling berkesan dan ilmunya bukan sekadar untuk menara gading tetapi turut meresap ke akar umbi masyarakat demi membina bangsa yang berilmu dan bertamadun.
Beliau memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu Yon sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama al-Maidah ad-Diniyah, Padang Tengku, Kuala Lipis.
Minat mendalam terhadap ilmu agama mendorongnya menyambung pengajian menengah atas di Kolej Islam Klang dari tingkatan empat hingga tingkatan enam.
Kemudian, beliau meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum meraih Sarjana Sains Pentadbiran Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2004.
Beliau mula menulis sejak tahun 1993 dengan karya sulung bertajuk Islam: Kefahaman dan Penghayatan serta Tamadun Islam: Konsep, Pengaruh dan Masa Depan yang diterbitkan oleh Arena Ilmu Sdn. Bhd. Sejak itu, beliau terus aktif menulis melalui penerbitan UiTM dan Karangkraf.
TERUS BERKARYA
Setakat ini, beliau telah menghasilkan sekurang-kurangnya 21 buah buku dan lebih 34 kertas kerja ilmiah yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan dan pemikiran Islam, khususnya dalam konteks sejarah, ketamadunan dan isu kontemporari ummah.
Antara karya penting beliau termasuk Matra Tamadun Islam (1996, ABIM), Pengurusan Islam: Teori dan Praktis (2010, UiTM), Menjejaki Keindahan Islam (2010), Merintis Kecemerlangan Islam (2010), serta Menyelami Pengurusan Umar Abdul Aziz (2011), yang semuanya membawa pendekatan dakwah segar berasaskan sumber klasik dan kontemporari.
Buku Soalan Bocor Dari Kubur (2001) terbitan Karya Bestari Karangkraf menjadi antara karya paling laris dan diulang cetak lebih empat kali.
Begitu juga dengan Menyelami Pengurusan Umar Abdul Aziz yang mendapat sambutan luar biasa kerana keupayaannya mengangkat model kepimpinan khalifah Islam secara praktikal dan realistik.
Antara buku terbaharu beliau yang terus menarik perhatian ialah Aku Anak Penoreh Getah (2020), Islam Nan Indah (2021), Jalan Lurus Ke Syurga (2024) dan Membina Negara Madani (2024).
Semuanya diterbitkan oleh Santai Ilmu Publication dengan gaya bahasa yang santai tetapi tetap menyampaikan mesej dakwah mendalam.
Kemuncaknya, pada Jun 2025, beliau menerbitkan karya terbaharu berjudul Mutiara Wasiat Imam Hassan al-Banna yang menghimpunkan huraian serta penghayatan terhadap Sepuluh Wasiat tokoh gerakan Ikhwanul Muslimin itu yang kekal relevan sepanjang zaman.
Wasiat tersebut antara lain menekankan keutamaan mendirikan solat tepat pada waktunya, membaca al-Quran, menjaga akhlak, menghindari perbalahan remeh, menjaga lidah daripada mengumpat serta berusaha menjadi Muslim yang berdisiplin, berilmu dan bermanfaat kepada masyarakat.
Buku tersebut memberi nafas baharu terhadap pemikiran Hassan al-Banna dengan menyampaikan mesej dakwah secara santai, namun mendalam dan meresap ke dalam jiwa pembaca yang dahagakan bimbingan rohani dalam dunia serba mencabar hari ini.-UTUSAN










