KETIKA memikul dua tong petrol seberat 25 liter setiap satu untuk dibawa ke Gunung Kinabalu, pemuda ini tiba-tiba terjatuh ke belakang.
Kejadian cemas itu hampir meragut nyawa Jvy Mius, 28, namun semangat untuk terus berbakti sebagai porter tidak pernah pudar.
Semua itu dilakukannya demi menyara keluarga terutama adik yang masih belajar.
“Saya sudah berjanji mahu menanggung persekolahan adik dari tingkatan lima hingga ke Institut Pendidikan Guru (IPG).
“Enam tahun saya bekerja sebagai porter untuk memastikan dia berjaya menggenggam segulung ijazah,” katanya baru-baru ini.
Biarpun pekerjaan itu jarang menjadi pilihan generasi muda, Jvy nekad memilih laluan sukar demi kelangsungan hidup dan tanggungjawab terhadap keluarga.
Bapanya juga merupakan porter dan bertitik-tolak daripada situ timbul minat untuknya melakukan kerja sama.
Apatah lagi, selepas tamat tingkatan enam, dia tidak berpeluang menyambung pelajaran atas faktor kewangan.
Sepanjang enam tahun bergelar porter, pelbagai jenis barangan diangkut antaranya keperluan harian, bekalan makanan dan kelengkapan mendaki bagi pelanggan yang ingin menawan puncak gunung.
“Keluarga saya tidak mewah, jadi untuk teruskan hidup, saya tiada pilihan selain bekerja,” ujarnya.
Katanya, tugasan sebagai porter di Gunung Kinabalu amat mencabar kerana bilangan pendaki yang tidak pernah surut.
Pendakian berlaku setiap hari dan keadaan itu menjadikan khidmat porter sangat diperlukan tanpa henti.
Tambahnya, bayaran porter biasanya dikira berdasarkan berat beban dibawa dan mesti dipersetujui oleh pihak agensi terlebih dahulu.
“Kami diperlukan untuk angkat barang-barang pendaki seperti beg pakaian, dapur mudah alih dan sebagainya. Lagi berat barang, lagi lumayan bayarannya.
“Kalau harga terlalu murah, kami tidak akan ambil tugasan itu kerana tidak berbaloi,” katanya.
Jvy pernah mengangkat satu set barangan (genset) seberat 400 kilogram yang memerlukan seramai 30 porter untuk membawanya ke puncak gunung.
Katanya, bayaran untuk tugasan itu mencecah ribuan ringgit, bergantung kepada berat dan bilangan porter diperlukan.

Cuaca halangan terbesar
Namun, wang bukanlah segalanya kerana cabaran fizikal dan mental juga menjadi taruhan besar bagi kerjaya ini.
“Setiap hari kami angkat beban berbeza dan bila bangun keesokannya, badan memang sakit-sakit.
“Kadang-kadang kena tahan sakit dan keletihan, ditambah pula dengan keadaan cuaca ekstrem yang sering menjadi halangan terbesar.
“Saya pernah mendaki dalam hujan lebat, angin kencang dan suhu negatif dua darjah celsius. Ketika itu, ramai porter nekad berpatah balik, namun saya dan dua lagi rakan tetap meneruskan misi,” katanya yang demam dan berdarah hidung.
Dalam pada itu, kata Jvy, porter berbeza dengan malim gunung kerana mereka hanya memfokuskan kepada mengangkut barang.
Justeru, seseorang perlu menjalani latihan fizikal dan mental kerana tugasan sebagai porter memerlukan ketahanan luar biasa.
Namun begitu, masih ada segelintir masyarakat kampung yang memandang remeh tugas ini, menganggap ia mudah kerana terbiasa mengangkat barang di kampung.
“Mereka kata angkat barang di kampung perkara biasa, jadi ia boleh dibuat. Tapi bila sudah naik gunung, baru mereka tahu susahnya,” katanya.
Justeru, Jvy tidak lokek bertanya dan belajar daripada rakan-rakan porter berpengalaman bagi menimba ilmu dan maklumat sebelum melakukan pendakian.
“Setiap orang ada kadar kelajuan masing-masing, saya biasanya bawa 20 hingga 30 kilogram dan ambil masa tiga hingga empat jam,” katanya.
Sambung belajar
Kini, Jvy kembali menunaikan impian lamanya untuk menyambung pelajaran.
Dia kini menuntut di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam bidang perniagaan.
“Saya tidak mahu jadi porter sepanjang hayat. Badan kita ada had. Stamina akan menurun dan tidak boleh kekal kuat selamanya,” jelasnya.
Baginya, usia bukan halangan untuk seseorang menimba ilmu pengetahuan.
“Orang cakap saya dah selesa jadi porter, sudah dikenali.
“Namun, saya tetap mahu keluar dari zon itu dan capai impian menggulung ijazah,” katanya.










