DUNIA selam skuba sering dikaitkan dengan lelaki malah, jurulatihnya pun sinonim dalam kalangan beach boys.
Namun, seiring dengan perubahan zaman, semakin ramai wanita menceburi sukan ini termasuk bergelar jurulatih.
Antaranya ialah Dr. Nabila Talib, 36, yang merupakan jurulatih selam skuba Persatuan Profesional Pengajar Selam (PADI) merangkap Pengarah Operasi Drive Buddy Malaysia.
Penglibatannya bermula sejak 2017 lagi dan hingga kini sudah lebih 40 kali selaman skuba dilakukan.
Paling menarik, dia tergolong antara 10 jurulatih wanita yang aktif di Malaysia.
Katanya, minat terhadap sukan ini tercetus daripada aktiviti renang yang merupakan hobinya.
“Pertama kali saya melakukan selam skuba ialah pada 2013 gara-gara terpengaruh dengan kawan-kawan dan daripada situlah saya mula mengenali kategori-kategorinya.
“Disebabkan saya sudah biasa berenang dan turut bergelar jurulatih renang, maka saya tidak berdepan dengan cabaran ketika di awal melakukan selam skuba,” katanya baru-baru ini.
Terpesona dengan keunikan dan kecantikan batu karang serta ikan-ikan di dasar laut, Nabila kemudian nekad untuk memantapkan skilnya dengan bergelar jurulatih selam skuba.
Langkah itu bukan sahaja untuk memenuhi impiannya meneroka dasar laut dengan lebih serius, malah bagi mendidik masyarakat mengenai aktiviti selam skuba.
“Dulu, bila sebut pasal selam skuba, orang selalu bayangkan beach boys jadi jurulatih tetapi sekarang sudah ramai profesional seperti pensyarah, jurutera dan pegawai kerajaan berjinak-jinak dalam kerjaya ini.
“Selam skuba bukan lagi sekadar aktiviti riadah dan kini ia merupakan satu bentuk pembangunan kendiri yang membuka peluang baru dari segi kemahiran serta sumber pendapatan,” katanya.
Justeru, Nabila percaya lebih ramai wanita dapat menyertai aktiviti itu bagi memperkasakan diri sekali gus keluar dari zon selesa masing-masing.
Antara destinasi yang menjadi kegemarannya untuk mengajar para pelatih ialah di Pulau Redang di Terengganu dan Sipadan, Sabah.
Dia tidak menafikan yang kerjayanya itu mencabar kerana perlu mengurangkan risiko kecederaan, masalah peralatan dan gangguan pernafasan pelatih ketika di dalam laut.

Kurang pengajar wanita
Walaupun penyertaan wanita dalam aktiviti selam skuba meningkat, namun hakikatnya jumlah jurulatih golongan itu masih lagi berkurangan.
Nabila mengakui yang bidang itu masih lagi didominasi lelaki kerana skop kerjanya yang menuntut kekuatan fizikal dan ketahanan mental tinggi.
“Selain mengajar, jurulatih juga perlu bertanggungjawab menyediakan peralatan selam termasuk mengangkat tangki oksigen seberat 20 kilogram.
“Tugasan ini menjadi cabaran utama bagi wanita yang memiliki saiz tubuh lebih kecil atau kekuatan fizikal terhad,” katanya.
Katanya, bagi situasi menyelamat pula, ia memerlukan tindakan pantas dan menggunakan banyak tenaga.
Justeru, tidak hairanlah permintaan untuk menjadi pengajar selam skuba wanita kini mendapat sambutan tinggi.
Bimbingan daripada jurulatih wanita dapat memberikan keselesaan kepada peserta tambahan pula mereka arif dengan keperluan dan kebimbangan kaum hawa.
Bahkan, badan selam antarabangsa seperti PADI turut menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita melalui program yang disediakan.

Hobi hujung minggu
Kini, aktiviti selam skuba bukan sahaja menjadi hobi hujung minggu, malah gaya hidup baharu yang menawarkan pengalaman unik dan bermakna.
Pengarah Kursus PADI, Dr. Samir Muhazzab Amin berkata, perkembangan tersebut dapat dilihat menerusi peningkatan ketara dalam jumlah pelancong dan penduduk tempatan yang sanggup melaburkan masa dan wang untuk aktiviti tersebut.
“Jika dahulu sesi selam skuba boleh ditempah secara santai dan tanpa membuat janji temu lebih awal, namun kini, situasinya amat berbeza.
“Di kebanyakan pulaa dan pusat selam popular, tempahan perlu dibuat lebih awal, terutama pada musim cuti dan hujung minggu,” katanya.
Peningkatan aktiviti skuba memberi sumbangan langsung kepada sektor pelancongan, sekali gus, dapat mewujudkan lebih banyak penginapan, pengangkutan dan perkhidmatan sokongan.
Melihat kepada perkembangan industri selam skuba yang pesat, katanya, Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan universiti pertama dan satu-satunya yang menawarkan selam skuba dalam kokurikulum pelajar.
Katanya, pendekatan itu sekali gus dapat memudahkan pelajar untuk lulus dalam bidang bukan akademik dan dalam masa sama turut diberi sijil pengiktirafan kemahiran.
Program diterajui Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) melalui projek Pembelajaran dan Latihan Universiti Putra Malaysia (UPMET) yang berakhir tahun lepas itu menerima seramai 600 peserta.
Peserta kemudian diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Sijil itu dapat digunakan untuk mencari pekerjaan berkaitan dengan selam skuba termasuk sebagai jurulatih.
Prosedur kerjaya jurulatih selam skuba
Untuk menjadi pengajar bertauliah, seseorang perlu menguasai kemahiran menyelam dalam pelbagai keadaan dan kedalaman laut.
Antara kursus teori yang diberikan ialah berkaitan tekanan, pernafasan dan fisiologi manusia di bawah air serta kelestarian marin.
Selain itu, latihan turut merangkumi aspek keselamatan termasuk pertolongan cemas dan penyelamatan sebagai persediaan dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan di laut.
Kata Samir Muhazzab, elemen lain yang diterapkan ialah komunikasi berkesan “Boleh dikatakan mereka yang telah mempelajari aspek-aspek sebagai pelatih penyelam skuba mempunyai kemahiran yang lebih cekap berbanding dengan para penyelam skuba daripada anggota
badan-badan beruniform,” katanya.
Sementara itu, katanya, mana-mana individu hanya layak digelar jurulatih profesional apabila mereka meningkatkan kemahiran sehingga ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Namun, salah satu halangan terbesar bagi mendapatkan pensijilan profesional ialah kosnya yang tinggi iaitu antara RM50,000 hingga RM60,000, bergantung kepada jenis agensi pelatih selam skuba.
Justeru dia berharap, wujud inisiatif bagi membantu orang ramai yang ingin terlibat sebagai jurulatif selam skuba.










