Masjid Bani Haram lokasi mukjizat

Masjid Bani Haram lokasi mukjizat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bumi Madinah al-Munawwaroh tidak pernah sunyi daripada cerita-cerita agung membabitkan sejarah mulia Nabi Muhammad SAW.

Bahkan, setiap inci tanah al-Madinah penuh dengan kisah suka duka sepanjang keberadaan Rasulullah di sana.

Antara lokasi penting yang sewajarnya menjadi lokasi ziarah kaum muslim tatkala menziarahi Madinah adalah Masjid Bani Harom (masjid keturunan harom).

Masjid ini dikenali dengan nama itu kerana orang-orang Arab daripada keturunan Harom bin Ka‘b bin Ghonm bin Ka‘b Bin Salimaĥ pernah tinggal di sekitarnya.

Menurut al-Imam al-Samhudiyy; masjid ini turut dikenali dengan panggilan Masjid Bani Harom al-kabir (Masjid Bani Harom besar) kerana terdapat satu lagi masjid digelar Masjid Bani Harom al-soghir (Masjid Bani Harom kecil).

Namun, Masjid Bani Harom al-soghir seperti dinyatakan oleh al-Imam al-Samhudiyy sudah tidak diketahui lokasinya.

 

LOKASI SOLAT RASULULLAH SAW
Kalangan sejarahwan berbeza pandangan dalam menentukan adakah Masjid Bani Harom di pinggiran Gunung Sal‘ ini pernah menjadi antara lokasi solat Rasulullah SAW.

Sebahagian besarnya berpendirian Rasulullah SAW pernah mendirikan solat di masjid ini dengan berpegang kepada hadis diriwayatkan Saidina Jabir bin ‘Abdulloh iaitu Rasulullah SAW pernah bersolat di Masjid Bani Harom yang terletak di satu lokasi bernama al-Qō‘.

 

KISAH KAHAK DI DINDING MASJID
Dalam riwayat al-Imam Muslim, Rasulullah SAW pernah mendatangi masjid di perkampungan Saidina Jabir bin ‘Abdulloh lalu Baginda mendapati ada kahak yang melekat di bahagian qiblat masjiditu.

Rasulullah yang ketika itu memegang tangkai kurma ibnu tob mengikis kahak dengan tangkai itu.

Setelah itu, baginda menegur sahabat supaya jangan lagi meludah kahak ke arah hadapan sewaktu mereka mendirikan solat.

Seterusnya, Rasulullah SAW meminta wangian.

Maka, seorang pemuda dengan segera pulang ke rumahnya untuk mengambil al-kholuq (sejenis wangian).

Setelah itu, dia datang semula ke masjid, lantas menyerahkan al-kholuq kepada Rasulullah SAW.

Baginda pun meletakkan al-kholuq di bahagian hujung tangkai kurma ibnu tob yang ada di tangannya ketika itu, lalu menggosokkannya ke dinding masjid yang pernah dikotori kahak.

Menurut al-Imam al-Samhudiyy, masjid yang disebut dalam riwayat al-Imam Muslim itu adalah Masjid Bani Harom yang terletak tidak jauh dari Masjid al-Fath.

 

MUKJIZAT MAKANAN SEDIKIT JADI BANYAK
Menurut Fadhilat al-Shaykh Gholi Muhammad al-Shanqitiyy di dalam kitab al-Durr al-Thamin, Masjid Bani Harom dibina di atas tapak rumah Saidina Jabir bin ‘Abdulloh yang menyaksikan mukjizat makanan sedikit menjadi banyak.

Kisah ini adalah kisah Saidina Jabir bin ‘Abdulloh yang menjemput Rasulullah SAW dan beberapa sahabat baginda untuk datang menjamah sedikit makanan yang disediakan oleh keluarga nya.

Dia menyediakan sedikit makanan kepada Rasulullah SAW setelah melihat baginda kelaparan ketika sibuk mengawasi pasukan tentera Peperangan al-Khondaq.

Setelah dijemput, Rasulullah SAW berteriak dengan kuat mengajak para sahabat yang menggali parit untuk makan di rumah Saidina Jabir bin ‘Abdulloh.

Ini sangat menggemparkan Saidina Jabir bin ‘Abdulloh kerana masakan yang disediakannya terlalu sedikit dan hanya boleh dijamah oleh beberapa orang sahaja.

Namun, kuasa Allah yang maha memberi rezeki, telah berlaku di rumah ini. Adunan roti barli dan kuah daging kambing yang didoakan baginda menjadi hidangan yang dapat mengenyangkan 1,000 tetamu yang datang ke rumah Saidina Jabir bin ‘Abdulloh.

Lebih menarik, setelah semua tetamu pulang dalam keadaan kekenyangan, Saidina Jabir bin ‘Abdulloh mendapati adunan roti barlinya tidak berkurangan sama sekali seolah-olah ia belum dimasak menjadi roti.

Malah, kuah daging kambing juga tidak berkurangan sama sekali seakan-akan belum pernah dicedok.

Menurut al-Shaykh ‘Abdulloh Abu Dzikri, peristiwa bersejarah di dalam rumah ini telah berlaku pada hari kelima penggalian parit iaitu pada Jumaat, 5 Syawal tahun kelima hijrah bersamaan 27 Februari 627 Masehi.

 

MASJID ATAU RUMAH?
Oleh kerana wujud dua kenyataan ulama mengenai status sebenar Masjid Bani Harom pada zaman Rasulullah SAW sama ada ia adalah masjid atau rumah Saidina Jabir bin ‘Abdulloh, maka ini pastinya menimbulkan persoalan.

Kedua-dua pandangan ini seolah-olah saling bertentangan kerana tidak boleh sesuatu bangunan adalah masjid dan rumah individu dalam masa sama.

Maka, bagi meraikan kedua-dua kenyataan ulama di atas, saya berpendapat kemungkinan Masjid Bani Harom pada asalnya adalah rumah Saidina Jabir bin ‘Abdulloh yang pernah dihadiri oleh Rasulullah SAW pada hari Jumaat 5 Syawal tahun kelima hijrah bersamaan 27 Februari

627 Masehi semasa peristiwa mukjizat makanan yang sedikit menjadi banyak.

Setelah peristiwa itu, rumah tersebut mungkin diwaqafkan sebagai masjid dan dikenali sebagai Masjid Bani Harom yang telah menyaksikan pula peristiwa kahak di dinding sebelah kiblat masjid tersebut.

 

KEMUNGKINAN MASJID KE-7
Terdapat enam masjid yang berada tidak jauh dari kawasan penggalian parit semasa Peperangan al-Khondaq.

Masjid-masjid ini pernah menjadi lokasi solat Rasulullah SAW semasa perang.

Enam masjid itu ialah Masjid al-Fath, Sayyidina Salman al-Farisiyy, Sayyidina Abi Bakr al-Siddiq, Sayyidina Umar Ibni al-Khottob, Sayyidina ‘Aliyy Ibni Abi Tolib dan Sayyidina Sa‘d Ibni Mu‘adz.

Sekalipun jumlahnya hanya enam, namun masjid-masjid ini dipanggil dengan sebutan al-Masajid al-Sab‘ah yang bermaksud tujuh masjid.

Maka timbul tanda tanya apakah sebenarnya masjid yang ketujuh?

Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan masjid ketujuh.

Ada yang berpandangan ia adalah Masjid al-Rōyaĥ yang terletak di atas Gunung Dzubâb.

Ada juga yang menyatakan masjid itu adalah Masjid al-Qiblatayn dan Masjid Bani Harom.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN