Masjid al-Qiblatain atau Masjid Dua Kiblat adalah antara masjid di Madinah yang wujud sejak zaman Rasulullah SAW lagi.
Nama itu diberikan kerana berlaku pertukaran kiblat dari Masjid al-Aqsa ke Masjidil Haram semasa solat didirikan.
Sebelum ini, ia dikenali dengan nama Masjid Bani Salimah kerana terletak di perkampungan Banu Salimah bin Sa’d.
Menurut beberapa pandangan, Masjid al-Qiblatain juga dahulunya dikenali sebagai Masjid Bani Haram al-Kabir (Masjid Bani Haram Besar) bagi membezakannya dengan Masjid Bani Haram al-Saghir (Masjid Bani Haram Kecil).
Namun, nama itu dibantah oleh al-Imam al-Samhudiyy kerana ia merujuk kepada Masjid Bani Haram yang terletak di Gunung Sal‘.
KISAH PENUKARAN KIBLAT
Kitab Subul al-Huda Wa al-Ro-shad Fi Siroh Khayr al-‘Ibad menyatakan semasa Rasulullah SAW tiba di Madinah, solat masih lagi dilaksanakan dengan mengadap Masjid al-Aqsa.
Suatu hari, Rasulullah SAW menziarahi Saidatina Ummu Bishr binti al-Baro’ di perkampungan Banu Salimah bin Sa’d.
Saidatina Ummu Bishr menyediakan masakan untuk memuliakan kedatangan baginda ke rumahnya.
Ketika masuk solat zuhur, Rasulullah SAW dan para sahabat kemudian bersolat di Masjid Bani Salimah di kampung itu.
Ketika baginda rukuk di rakaat ketiga, Allah SWT mewahyukan ayat ke-144 daripada surah al-Baqarah yang menyatakan kiblat ditukar dari Masjid al-Aqsa ke Masjidil Haram.
Rasulullah SAW terus menukar arah kiblatnya dengan cara berpusing ke arah dinding belakang masjid yang ketika itu menghadap Masjidil Haram.
Tindakan baginda diikuti oleh para makmum lelaki serta perempuan dengan berjalan ke arah sama agar berada betul-betul di belakang Rasulullah SAW yang sudah pun berada di dinding belakang masjid.
Maka para jemaah lelaki setelah bergerak ke belakang, sudah berada pula di hadapan jemaah perempuan.
Jemaah wanita pula mereka memusingkan diri ke arah dinding belakang masjid dengan memastikan kedudukan baharu berada di belakang jemaah lelaki.
Rakaat pertama dan kedua bagi solat zuhur adalah dengan menghadap Masjid al-Aqsa manakala baki dua rakaat lagi menghadap Masjidil Haram.
Oleh kerana pertukaran kiblat terjadi semasa solat zuhur di masjid Kampung Banu Salimah bin Sa’d, maka ia kemudian dikenali sebagai Masjid al-Qiblatain yang bererti Masjid Dua Kiblat.
PANDANGAN LAIN
Al-Shaikh Abdullah Abu Dzikri menyatakan penurunan ayat ke-144 daripada surah al-Baqarah ini berlaku pada hari Jumaat 15 Syaaban tahun ke-2 Hijriah bersamaan 10 Februari 624 Masihi.
Namun, pada pandangannya ayat ini tidak turun semasa Rasulullah SAW mendirikan solat zuhur di Masjid Bani Salimah, sebaliknya diwahyukan sewaktu baginda di Masjid Nabawi.
Rasulullah SAW memaklumkan penurunan ayat tersebut kepada para sahabat semasa khutbah Jumaat di Masjid Nabawi
Maka al-Shaikh Abdullah Abu Dzikri berpendapat ayat tersebut mungkin diwahyukan ketika baginda berkhutbah atau ayat tersebut turun sebelum khutbah Jumaat lalu dibacakan semasa baginda menyampaikan khutbah.
Menurut al-Shaykh Abdullah Abu Dzikri lagi, setelah selesai berkhutbah, Rasulullah SAW dan para sahabat melaksanakan solat Jumaat, namun masih lagi dengan menghadap Masjid al-Aqsa.
Setelah masuk waktu Asar, barulah baginda dan para sahabat melaksanakan solat tersebut secara menghadap ke arah Masjidil Haram.
Ini bermakna solat terakhir dilaksanakan dengan menghadap Masjid al-Aqsa adalah solat Jumaat manakala solat yang mula-mula dilaksanakan Rasulullah SAW dan para sahabat secara menghadap Masjidil Haram adalah solat asar.
TEMPOH AL-AQSA MENJADI KIBLAT
Adapun dari sudut tempoh Rasulullah SAW melaksanakan solat fardu yang lima secara menghadap ke arah Masjid al-Aqsa; al-Shaiykh Abdullah Abu Dzikri menyatakan peristiwa Israk Mikraj mensyariatkan lima solat fardu secara menghadap Masjid al-Aqsa berlaku pada Jumaat malam Sabtu pada tarikh 27 Rejab 3 tahun terakhir sebelum hijrah bersamaan 8 Mac 620 Masihi.
Maka dengan membandingkan antara tarikh peristiwa Israk Mikraj dengan penukaran arah kiblat ke al-Masjidil Haram iaitu Jumaat 15 Syaaban tahun ke-2 Hijrah bersamaan 10 Februari 624 Masihi, kita dapat mengambil kesimpulan tempoh Masjid al-Aqsa menjadi kiblat solat menurut kalendar hijrah adalah 4 tahun 18 hari atau 19 hari.
Menurut kalendar Masihi pula secara tepatnya adalah 3 tahun 10 bulan 34 hari iaitu sekitar 3 tahun 11 bulan.
Perincian ini menunjukkan Rasulullah SAW yang tiba di Madinah pada 8 Rabiulaawal tahun pertama Hijrah bersamaan 20 September 622 Masihi telah melaksanakan solat di Madinah dengan menghadap ke arah Masjid al-Aqsa selama 16 bulan 37 hari atau 38 hari menurut kalendar hijriah bersamaan setahun 5 bulan 7 hari atau 8 hari.
PERKUBURAN MULIA TEPI MASJID
Perkuburan Banu Salimah atau Perkuburan Banu Haram ini jarang diketahui secara mendalam oleh para penziarah sekalipun ia berada sangat dekat dengan Masjid al-Qiblatayn.
Saya mendapati ada dua kelebihan bagi perkuburan ini:
Pertama: Beberapa sahabat Rasulullah SAW yang syahid dalam Perang Uhud dikebumikan oleh ahli keluarga mereka di Perkuburan Banu Salimah. Antaranya ialah Saidina Abu ‘Amroh bin Sakan.
Kedua: Seorang tabiin, Ka‘b al-Ahbar pernah menyebut kepada seorang tabiin, Abu Sa’id al-Maqburiyy yang ciri-ciri Perkuburan Banu Salimah menepati perkuburan menurut kitab Taurat iaitu seramai 70,000 orang yang dikebumikan di situ akan dibangkitkan pada hari kiamat tanpa dihisab oleh Allah SWT.
Maka Abu Sa’id al-Maqburiyy mewasiatkan kepada anaknya, Sa’id al-Maqburiyy agar jenazahnya disemadikan di perkuburan ini.
Wasiat itu akhirnya ditunaikan oleh si anak yang menguburkan ayahnya di Perkuburan Banu Salimah.
-PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










