Bagi sesetengah orang, berendam dalam ais selama beberapa minit pun sudah satu penyeksaan.
Namun, bagi Hamlatul Hawary,38, pengalaman berenang dalam tasik bersuhu 5.7 darjah Celsius di Magribi menjadi antara detik paling berharga dalam hidupnya.
Berbekalkan semangat kental dan latihan secara ‘DIY’ di garaj rumah, lelaki ini menjadi rakyat Malaysia pertama yang menyahut cabaran Ice Swim Morocco, baru-baru ini.
Keberanian itu juga melayakkan beliau menerima pengiktirafan pencapaian dari pihak Malaysia Book of Records (MBR) sebagai First to Compete In Ice Swim Morocco.
“Kesakitan dan kesukaran berenang di dalam tasik sejuk sukar digambarkan kerana ia merupakan satu pengalaman yang memeritkan mental dan fizikal.
“Objektif penyertaan adalah bagi mendapatkan pengetahuan dan pengalaman berenang di permukaan air bersuhu ais untuk mengumpul maklumat serta menjadi rujukan berkenaan kesan tindak balas kepada tubuh badan apabila menghadapi cold shock,” katanya yang juga pengasas Hawary Sports Centre (HSC).
Penganjuran ICE Swim Morocco mendapat pengiktirafan daripada International Ice Swimming Association (IISA). Setiap peserta wajib lulus saringan kesihatan termasuk ujian ECG untuk memastikan keselamatan dalam keadaan ekstrem.
NYARIS LEMAS
Bagi menghadapi cabaran ekstrem itu, latihan dan persiapan lengkap dilakukan sejak awal.
Beliau menggunakan bot getah yang diisi ais untuk menjalani latihan di rumah memandangkan tiada kolam ais profesional yang disediakan di negara ini.
Hamlatul hanya menjalani latihan lapan hari sahaja di garaj rumah dengan menggunakan bot getah, empat kampit ais sehari bagi menyediakan suhu air sekitar enam hingga tujuh darjah Celsius.
“Selepas beberapa hari, badan mula lebam dan saraf terasa mencucuk-cucuk. Saya tidak boleh tidur malam. Doktor pun nasihat kepada saya supaya hentikan latihan untuk sementara waktu,” katanya.
Namun, dugaan di lokasi sebenar lebih mencabar.
Ada satu detik cemas yang hampir meragut nyawanya.
Ketika pertandingan berlangsung, terjadi insiden pelampung keselamatan bertukar menjadi ‘perangkap’ di dalam air.
“Kami dibekalkan pelampung yang diikat pada pinggang. Tetapi saya sedikit cuai sebab tidak periksa betul-betul. Apabila mula berenang, tali pelampung itu melorot sampai ke leher dan mula mengikat kaki saya,” katanya.
Situasi itu menyebabkan pergerakannya terhalang dan dalam suhu sejuk melampau yang mula menyerang saraf, beliau mula terasa lemas.
“Orang selalu cakap sejuk sampai ke tulang. Tetapi di sana, sejuknya sampai ke saraf. Memang sakit sangat. Ketika itu emosi mula terganggu, semangat pun goyah. Saya baru 50 meter, tetapi hendak patah balik memang mustahil,” kongsinya.
Dalam keadaan genting itu, bot keselamatan mula memantau rapat namun, ia tidak mematahkan semangat Hamlatul yang nekad meneruskan pertandingan.
“Selepas 100 meter, saya buang pelampung dan saya tanggalkan terus sebab hendak mengelak daripada terus tersangkut. Semasa insiden itu berlaku, saya tahu saya sedang lemas tetapi tetap berenang,” ujarnya.
Dengan fizikal semakin lemah dan hipotermia mula memberi kesan, beliau hanya bergantung pada kekuatan mental dan zikir yang tidak henti-henti.
“Saya sampai ke pusingan pertama 250 meter dan sepatutnya kena teruskan untuk cukup 500 meter, tetapi penguatkuasa beritahu kalau tidak larat, boleh naik. Saya fikir keselamatan, jadi saya akur dan naik,” katanya reda.
Walaupun tidak menamatkan 500 meter penuh, semangat luar biasa yang ditunjukkannya berjaya memukau ramai peserta dan penganjur.
“Benda yang sepatutnya jadi alat keselamatan akhirnya jadi cabaran paling besar saya. Tapi saya tetap habiskan separuh jarak. Saya tidak berhenti separuh jalan,” tegasnya.
Hamlatul bukan sahaja pelatih renang, malah seorang aktivis keselamatan air yang sudah melatih ribuan pelajar sejak menubuhkan HSC pada 2013. Baginya, renang bukan sekadar sukan,tetapi ilmu kehidupan.
“Keselamatan air sangat penting, terutamanya untuk komuniti bumiputera yang kurang pendedahan. Saya mahu buka peluang dan kesedaran itu,” katanya.
Pengalaman ekstrem ini menjadi lambang perjuangan beliau yang tidak mudah mengalah dan menjadi inspirasi kepada ramai anak muda di luar sana.
“Kita tidak perlu tunggu semuanya sempurna, yang penting ada semangat, disiplin dan doa. Kalau tidak habis sekalipun, jangan berhenti separuh jalan. Cuba sampai ke tahap tertinggi yang kita mampu,” katanya mengakhiri perbualan.-UTUSAN









