Sebanyak enam tan abu naskhah al-Quran yang telah dimampatkan dalam bentuk kiub dilupuskan ke Laut China Selatan bagi memelihara kemuliaan dan kesucian kalam Allah.
Pelupusan itu dilakukan selepas melalui proses pembakaran terkawal di Kompleks Pemuliaan al-Quran Negeri Pahang yang terletak di Chenor.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Noridzuan Abd. Manan, jumlah itu sebahagian daripada lebih 50 tan naskhah al-Quran yang dilupuskan secara sistematik sejak kompleks berkenaan mula beroperasi Januari tahun lalu.
“Sehingga kini, kami telah menerima lebih 61 tan bahan berunsur al-Quran lama rosak yang sukar dibaca dan tersalah cetak dari seluruh negeri.
Semua naskhah ini diperoleh daripada masjid, surau, institusi pondok, sekolah dan juga individu yang prihatin,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kompleks tersebut baru-baru ini.
Menurut beliau, kompleks yang dibina pada 2022 dengan kos RM280,000 itu kini menjadi pusat pelupusan teks al-Quran terbesar di Malaysia.
Fasiliti pelupusan itu turut dilengkapi dengan mesin insinerator khas yang mampu memproses sehingga 500 kilogram bahan dalam satu sesi pembakaran secara terkawal dan selamat.
“Abu yang terhasil tidak dibuang begitu sahaja. Ia dimampatkan menjadi kiub khas dan kemudiannya dilupuskan ke dasar Laut China Selatan dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” jelasnya.
Tambahnya, pelupusan melalui laut dilakukan bagi memastikan penghormatan terakhir terhadap kalam suci dipelihara dengan penuh tertib dan beradab.
Kompleks berkenaan juga terbuka kepada orang ramai yang ingin menghantar naskhah al-Quran rosak, lusuh atau tersalah cetak untuk dilupuskan mengikut kaedah syarak.
Orang ramai boleh datang sendiri. Pihak kami sentiasa menerima dengan tangan terbuka demi menjaga kemuliaan al-Quran yang menjadi panduan hidup umat Islam,” ujarnya.
Katanya, kesedaran masyarakat terhadap pelupusan yang betul semakin meningkat hasil usaha berterusan JAIP bersama agensi berkaitan melalui ceramah, bengkel dan kempen kesedaran di seluruh negeri.-UTUSAN










