IMPIAN untuk tampil bergaya dengan kanta lekap dibeli dalam talian hampir meragut penglihatan segelintir wanita di negara ini.
Pengalaman ngeri itu dikongsikan Ayu, 23, (bukan nama sebenar) yang mula berasa tidak selesa pada bahagian mata selepas beberapa hari menggunakan kanta lekap yang dibeli di platform e-dagang.
Bermula dengan rasa berpasir, matanya kemudian menjadi merah, berair, bengkak, pedih dan semakin sensitif terhadap cahaya.
Keadaan bertambah buruk apabila penglihatannya mula kabur hingga memaksanya mendapatkan rawatan kecemasan di hospital.
Hasil pemeriksaan mendapati dia mengalami jangkitan serius pada kornea.
Sehingga kini, Ayu masih menjalani rawatan dan belum pulih sepenuhnya.
Presiden Pertubuhan Akademi Optometri Malaysia (PAOM), Prof. Dr. Bariah Mohd. Ali berkata, trend pembelian kanta lekap dalam talian tanpa nasihat pakar merupakan tindakan berisiko tinggi.
Ujarnya, ramai pengguna terutama golongan muda tidak menyedari kanta lekap adalah alat perubatan, dan bukan sekadar barangan kosmetik.
Justeru, pembeliannya memerlukan preskripsi dan pemeriksaan menyeluruh oleh optometris berdaftar dengan Majlis Optik Malaysia (MOC).
“Kanta lekap berwarna yang tidak berkualiti lazimnya mengandungi pigmen mudah tertanggal dan boleh melekat pada permukaan mata.
“Ia sekali gus menyebabkan infeksi seperti ulser kornea, keradangan dan buta.
“Malah, kajian turut mendapati risiko penyakit mata itu meningkat sehingga lima kali ganda jika memakai kanta lekap dalam talian,” katanya.
Kanta lekap adalah alat bantuan optik diperbuat daripada polimer khas yang dipasangkan di atas permukaan anterior mata untuk tujuan tertentu.
Pada awalnya, kanta lekap direka untuk tujuan rawatan penyakit okular.
Namun, dengan perkembangan teknologi, fungsi kanta lekap makin meluas termasuk membetulkan ralat refraksi, memulihkan penglihatan dan sebagai medium penghantaran ubat untuk rawatan penyakit mata.
Rata-rata pengguna kanta lekap dalam talian hanya menyedari risikonya apabila keadaan mata sudah di tahap serius.
Justeru, penting untuk seseorang mengenali tanda-tanda awal jangkitan mata yang kerap diabaikan.
Ia bermula dengan rasa berpasir atau benda asing di dalam mata disusuli dengan kemerahan, pedih, berair dan rasa tidak selesa yang berterusan.
Mata turut menjadi sensitif terhadap cahaya, malah penglihatan semakin kabur atau tidak jelas.
Bariah yang juga pensyarah optometri dan sains penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, gejala ini boleh mengundang kecacatan kekal pada penglihatan jika tidak dirawat segera.
“Jika mata tiba-tiba merah serta sakit, hentikan pemakaian kanta lekap serta-merta dan dapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya.
Tambahnya, populariti pemakaian kanta lekap semakin meningkat saban tahun, sekali gus mendedahkan lebih ramai pengguna kepada risiko jangkitan, terutama apabila dibeli dalam talian.
Apatah lagi dengan harganya yang sangat murah, sekali gus memudahkan akses oleh remaja dan pengguna kali pertama.
“Di rantau Asia, pemakaian kanta lekap selalunya atas tujuan kosmetik demi untuk mengubah warna atau membesarkan saiz iris.
“Malah, di Malaysia, ia turut dijual atau disewakan kepada pengantin untuk tampil lebih berseri di hari bahagia masing-masing.
“Aktiviti penjualan dan penyewaan ini amat berbahaya dan harus dihentikan kerana risiko infeksi kornea adalah sangat tinggi, terutama jika kanta lekap itu dikongsi,” katanya.
Kaedah penjagaan
Bagi mengelakkan sebarang komplikasi, pemakaian kanta lekap memerlukan penjagaan rapi dan disiplin tinggi.
Setiap hari, kanta lekap perlu ditanggalkan, dicuci dan direndam dalam larutan khas sekurang-kurangnya semalaman sebelum boleh digunakan semula keesokannya.
Malah, tangan juga mesti dibersihkan sebelum menyentuh kanta lekap bagi mengelakkan jangkitan kuman.
Kata Bariah, kanta lekap perlu dicuci menggunakan larutan nyahprotein sekurang-kurangnya seminggu atau sebulan sekali bergantung kepada keadaan permukaan kanta.
“Ini penting untuk menanggalkan kotoran yang terkumpul seperti protein dan lipid yang boleh menjejaskan keselesaan serta kebersihan kanta lekap,” katanya.
Selain itu, setiap jenis kanta lekap mempunyai jangka hayat tertentu sama ada harian atau bulanan dan perlu dibuang mengikut tempoh disyorkan.
Beliau turut menyarankan penggunaan ubat pelembap bagi mengurangkan simptom mata kering atau rasa berpasir ketika memakai kanta lekap.
Tambahnya, semua arahan penjagaan itu biasanya diberikan secara terperinci oleh juruoptik semasa proses pembelian.
Justeru, pembelian daripada saluran yang sah dan berlesen sangat penting bagi mendapatkan bimbingan betul.
“Kebiasaannya, pemakaian kanta lekap yang disyorkan adalah antara 10 hingga 12 jam sehari.
“Namun, tempoh itu turut bergantung kepada jenis material kanta lekap dan tujuan pemakaian,” katanya.
Bariah turut menggalakkan pengguna membuat pemeriksaan lanjutan setiap tiga ke enam bulan untuk memastikan kesihatan mata kekal berada dalam keadaan baik.
Golongan tidak sesuai pakai kanta lekap
Walaupun kanta lekap sering digunakan untuk tujuan kosmetik atau bergaya, hakikatnya bukan semua orang boleh menggunakannya.
Menurut Bariah, kira-kira 10 peratus populasi dunia dikesan tidak sesuai memakai kanta lekap kerana masalah kesihatan tertentu.
Antaranya, individu yang mengalami masalah mata kering kronik, ekzema, pesakit diabetes dan perokok tegar.
Semua faktor itu boleh menjejaskan keselesaan dan meningkatkan risiko jangkitan atau keradangan apabila memakai kanta lekap.
Oleh itu, pemeriksaan mesti dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan sama ada sesuai untuk menggunakan kanta lekap.-UTUSAN











