Sungai Berang, Hulu Terengganu yang digelar Little Amazon sememangnya menjadi tumpuan pencinta alam untuk aktiviti berkayak sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
Apa tidaknya, di kiri dan kanan, pokok-pokok berusia ratusan tahun memayungi pengembaraan di samping menjadi habitat kepada pelbagai haiwan liar.
Peluang itu dimanfaatkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Menerong dan Kumpulan Lebah & Kelulut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk berkayak sambil menjejak kelulut di destinasi ini.
Pengerusi KRT Kampung Menerong, Muhammad Alwi To berkata, ekspedisi sejauh 8.5 kilometer itu bermula di pelancongan berasaskan komuniti (CBT) Kalang Rengas, Kampung Gunung dan berakhir di Kampung Pengkalan Ajal.
“Program ini diadakan sempena Hari Lebah Sedunia 2025 dan kita berjaya menjejaki beberapa spesis termasuk yang susah dijumpai iaitu sayap putih atau nama saintifiknya homotrigona anamitica.
“Penemuan-penemuan kelulut ini menjadi satu lagi daya tarikan berkayak di Sungai Berang ini di samping dapat menambah ilmu,” katanya baru-baru ini.
Menurut Ketua Kumpulan Lebah & Kelulut UMT, Prof. Dr. Shamsul Bahri Abd. Razak, kesemua 21 peserta dapat mempelajari banyak ilmu tumbuh-tumbuhan di tebing sungai Little Amazon Sungai Berang.
Katanya, Antara kelulut Indo-Malaya yang ditemukan di darat dan sepanjang laluan sungai itu ialah geniotrigona thoracic, heterotrigona itama, lophotrigona canifrons dan homotrigona anamitica.
Seorang peserta dari Putrajaya, Abdul Rahman Mohd. Fadzil, 25, teruja dapat turut serta dalam eksplorasi itu dan melihat keindahan Little Amazon.
“Rasa seperti menggembara ke alam lain kerana suasana di sepanjang laluan cukup damai dengan ditemani bunyi arus sungai, unggas serta burung.
“Selain berkayak, kami juga mengenali spesis kelulut yang sesuai atau tidak untuk diternak,” katanya.










