Berhabis ratusan ribu ringgit demi warisan nusantara

Berhabis ratusan ribu ringgit demi warisan nusantara

Mohamad Muzammir Mohd. Basari bersama barang antik dan artifak yang disimpan di Galeri Warisan Semantan, miliknya yang terletak di Kampung Batu Empat, Jalan Maran-Temerloh. – UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Kalau tidak keluar mencari barang lama dalam seminggu pun, saya jadi gelisah.” Itu pengakuan jujur anak muda, Mohamad Muzammir Mohd. Basari, 32, yang tekad menjadikan minat terhadap barang antik sebagai misi melestarikan warisan Melayu dan Nusantara.

Bermula dengan hanya beberapa keping wang lama lebih sedekad lalu, kini lebih 1,000 koleksi antik tersusun kemas di Galeri Warisan Semantan, miliknya yang terletak di Kampung Batu Empat, Jalan Maran-Temerloh.

Koleksi peribadi Muzammir terdiri daripada senjata tradisi seperti pedang, keris, tombak.

Selain itu, dia juga memiliki koleksi barangan logam tembaga, pending, caping, kerambit dan pelbagai jenis cincin dari zaman silam.

Lebih membanggakan, beliau juga berjaya mengumpul mata wang kuno dari era Kesultanan Melayu, selain syiling dari seluruh dunia, menjadikan galerinya umpama mini muzium sejarah.

“Antara paling saya sayang ialah pedang Makara tahun 1890 yang saya beli di Riau, Indonesia pada 2019 dengan harga kira-kira RM1,200. Tapi nilainya bukan pada harga, sebaliknya sejarah dan kisah di sebalik senjata itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun, satu koleksi yang benar-benar membuka mata ramai ialah Keris Salang sepanjang 48 sentimeter berasal dari Chenor yang dipercayai milik seorang pembesar bergelar dari zaman silam.

Menurut Muzammir, keris itu diserahkan oleh seorang waris tua ketika negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 dan hanya disedari keistimewaannya selepas dinilai oleh seorang pengkaji keris.

“Kata rakan saya, ini bukan keris biasa. Ia keris kuasa.

“Berdasarkan bentuk dan teknik tempaannya, ia hanya ditempa di Chenor iaitu kawasan penting dalam sejarah pentadbiran Kesultanan Melayu dan perkembangan awal Islam di Pahang,” jelasnya.

Walaupun tidak pernah disahkan secara rasmi, Muzammir yakin keris itu menyimpan nilai sejarah luar biasa, apatah lagi Chenor pernah menjadi pusat penting peradaban Melayu.

JELAJAH PASAR KARAT

Biarpun masih muda, minat terhadap barang antik muncul secara spontan sejak 2012.

Sejak itu, dia sanggup menjelajah ke pasar karat di seluruh negara, misalnya Indonesia demi memenuhi cita rasa sejarahnya.

“Kalau orang lain sanggup berhabis untuk gajet atau kereta mewah, saya pula berhabis ratusan ribu ringgit untuk artifak Melayu,” katanya sambil tersenyum.

Sebagai ahli Persatuan Sejarah Negeri Melaka, Muzammir menitikberat aspek ketulenan dan penjagaan koleksi, malah tidak pernah terfikir untuk menjual walaupun ada pihak menawarkan harga yang tinggi.

“Bagi saya, ini semua bukan koleksi untuk jual beli. Ini khazanah bangsa. Saya mahu ia kekal sebagai bahan rujukan dan tatapan generasi akan datang,” katanya bernada tegas.

Antara strategi yang digunakan adalah menyimpan gambar Sultan-Sultan Pahang dari dahulu hingga kini sebagai penghormatan kepada sistem Kesultanan Melayu yang menjadi tunjang sejarah negeri ini.

“Kesultanan Pahang sendiri bersambung dari Melaka. Banyak artifak dan cerita yang belum digali. Saya rasa bertanggungjawab untuk bawa ia ke permukaan kembali,” katanya yang turut dikenali dalam kalangan penggiat sejarah sebagai Lela Rentaka.

JEJAK DALAM TALIAN

Selain itu, Muzammir juga aktif membeli barang dari dalam talian dan pelbagai platform media sosial yang kini membuka lebih banyak peluang untuk menjejak warisan lama yang sukar ditemui di kedai biasa.

Ruangan galeri khas di rumahnya bukan sahaja menjadi tempat menyimpan, tetapi juga sebagai lokasi berkongsi ilmu kepada pelawat dan pelajar yang datang menimba ilmu sejarah.

“Saya harap suatu hari nanti dapat buka muzium sendiri. Tidak perlu besar, asalkan boleh beri manfaat kepada masyarakat, terutama orang muda yang semakin jauh dari sejarah nenek moyang mereka,” katanya.

Muzammir berpendapat warisan Melayu tidak akan kekal sekadar dalam buku, tetapi perlu dizahirkan secara fizikal agar dapat dirasai, dipegang dan difahami oleh masyarakat umum.

Katanya, dunia Melayu bukan sahaja kaya dengan nilai estetika tetapi juga dengan falsafah dan teknologi tinggi dalam pertukangan logam, seni ukiran dan perhiasan tradisi.

Harapannya agar anak muda mula menjejak semula akar sejarah bangsa, kerana hanya dengan tahu asal usul, barulah tahu ke mana harus dituju.

“Bangsa yang besar ialah bangsa yang tahu menghargai sejarahnya,” katanya mengakhiri perbualansambil menunjukkan sekeping syiling lama Kesultanan Johor yang tertera tahun 1784.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN