PETALING JAYA: Pelakon, Datin Atikah Suhaime berang apabila dirinya dihentam segelintir pengguna media sosial, TikTok secara melulu kerana tidak menjaga pemilihan makanannya meskipun sudah selesai menjalani tempoh berpantang.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Atikah menyifatkan kritikan tersebut sebagai keterlaluan sedangkan ibunya sendiri yang menyediakan hidangan tersebut.
“Saya tak faham makcik Facebook dah mula bermaharajalela dalam TikTok. Rasa macam TikTok pun dah tak selamat dah.
“Ada ke patut rata-rata yang komen di TikTok, pari berbisa lah, nanti anak saya kembung.
“Takkanlah mama saya sendiri nak racun anaknya? Agaklah,” katanya.
Atikah turut menegaskan dirinya sudah habis berpantang dan tidak perlu diberi nasihat berkaitan pemakanan oleh individu yang tidak menjaga penampilan sendiri.
“Lepas itu, sibuk lagi cakap pasal makanan pantang, sedangkan saya sudah habis berpantang.
“Orang yang komen pasal makanan pantang itu pun masing-masing dah macam peti sejuk tiga pintu.
“Tiada satu pun yang sibuk komen pasal pantang dan awet muda itu macam mama saya. Awak rasa saya nak dengar ke? Memang malas nak buat Mukbang lepas ini,” katanya.
Tambah pelakon drama Cinta Tiada Ganti itu, dia tidak memerlukan nasihat daripada individu yang tidak menjaga penampilan diri sendiri.
“Kalau awak sendiri tak nampak awet muda atau berbadan langsing, tolonglah, saya tak perlukan nasihat tentang pantang.
“Nasihatkan diri sendiri, cantikkan diri dulu baru nak nasihat orang lain. Ada hati nak cakap itu ini, masing-masing pun macam senduk,” katanya.
Sebelum ini, Atikah memuat naik video menjamah hidangan asam pedas pari dan menerima pelbagai reaksi dari kalangan pengguna media sosial.
Untuk rekod, Atikah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Lokman Teh pada 21 Januari tahun lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Lyla Mulan Teh, pada 8 Mac lalu.
habis//