Petanda anak kecil alami kemurungan

Petanda anak kecil alami kemurungan

Hilang selera makan, terlalu pendiam dan gangguan tidur antara gejala awal anak kecil mengalami kemurungan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ali (bukan nama sebenar) sering membawa buku latihan yang dipenuhi lukisan pelik ke sekolah. Bukan gambar rumah, bunga atau pelangi seperti kebanyakan kanak-kanak lain.

Sebaliknya, contengan berwarna gelap, wajah menjerit dan bayang-bayang besar memenuhi setiap halaman.

Lukisan itu menjadi isyarat awal ada sesuatu yang tidak kena dengan emosi murid tahun dua itu.

Rupa-rupanya, anak kecil itu sedang bergelut dengan kemurungan, dipercayai berpunca daripada suasana rumah yang penuh tekanan.

Menurut Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali, masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak boleh dikesan seawal usia tiga hingga lima tahun.

“Namun, kebanyakan kes hanya mula dikenal pasti apabila mereka mula bersekolah, selepas tanda-tanda tingkah laku yang ketara muncul.

“Antara gejala awal termasuk menjadi terlalu pendiam, agresif, gangguan tidur, hilang selera makan, menjauhkan diri daripada rakan serta prestasi akademik yang merosot secara tiba-tiba,” katanya.

shazli Ezzat Ghazali (dua dari kanan) bersama panel lain dan penganjur Forum Kesedaran Awal Kesihatan Mental Kanak-kanak di Pusat Pakar Psikologi Az-Zahrah, Bangi, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian semasa Forum Kesedaran Awal Kesihatan Mental Kanak-kanak anjuran Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia dan Pakar Psikologi Az-Zahrah.

Selain itu, tekanan akademik, persekitaran keluarga yang tidak stabil serta penggunaan gajet secara berlebihan antara punca utama yang menyumbang kepada peningkatan kes.

“Kanak-kanak hari ini banyak terdedah kepada media sosial. Mereka mudah mengalami tekanan kerana buli siber, perbandingan sosial dan keinginan untuk kelihatan sempurna,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi satu kes melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 11 tahun yang mengalami kemurungan selepas dibuli kerana bentuk badannya di media sosial.

“Murid ini mula mengasingkan diri, tidak mahu ke sekolah dan menjadi murung dalam tempoh yang agak lama,” katanya.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, sebanyak 922,318 kanak-kanak berumur lima hingga 15 tahun dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental.

Angka itu bersamaan 16.6 peratus kumpulan umur tersebut dan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 7.9 peratus pada tahun 2019.

“Ini sangat membimbangkan dan kita tidak boleh anggap remeh,” katanya.

TIGA TAHAP

Masalah kesihatan mental kanak-kanak boleh dibahagikan kepada tiga tahap iaitu ringan seperti pemalu berlebihan, sederhana seperti kemurungan dan gangguan tingkah laku, serta tahap teruk melibatkan trauma, bipolar atau autisme.

Katanya, rawatan seperti terapi bermain, kaunseling keluarga dan terapi tingkahlaku kognitif (CBT) banyak membantu jika intervensi dilakukan awal.

“Kami di Klinik Psikologi Klinikal dan Kaunseling UKM menerima rujukan kes berterusan setiap minggu daripada doktor dan pihak sekolah,” ujarnya..

Sebanyak 255 daripada 317 kes kanak-kanak yang dirujuk ke Klinik Psikologi UKM sepanjang tahun 2024 adalah dari sekolah, hospital, klinik kesihatan dan pusat swasta.

“Ia mewakili 80 peratus daripada keseluruhan kes.

“Selebihnya masih menunggu giliran kerana kapasiti rawatan terhad memandangkan hanya sekitar 10 orang pakar psikologi klinikal bertugas,” katanya.

Peningkatan itu seiring dengan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan guru, namun dalam masa sama, turut menunjukkan realiti betapa seriusnya isu kesihatan mental di peringkat awal usia.

Namun, sikap segelintir ibu bapa yang masih menafikan keadaan anak atau malu untuk mendapatkan rawatan antara cabaran menangani isu tersebut.

“Ada yang anggap anak mereka hanya manja atau degil. Ini sangat berbahaya kerana melambatkan intervensi dan boleh mengakibatkan komplikasi emosi jangka panjang,” katanya.

Tambahnya, kesihatan mental sebahagian daripada kesihatan keseluruhan dan tidak patut dipandang remeh.

“Peranan ibu bapa, guru dan masyarakat amat penting dalam mengenal pasti tanda-tanda awal serta menyediakan sokongan emosi kepada kanak-kanak ini.

“Kesihatan mental anak-anak adalah pelaburan masa hadapan negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN